Serahan Memorandum GATERA kepada SPR

MEMORANDUM GATERA KEPADA SURUHANJAYA PILIHANRAYA MALAYSIA

MEMORANDUM GATERA KEPADA SURUHANJAYA PILIHANRAYA MALAYSIA

ETIKA DAN KEADILAN DALAM PILIHANRAYA UMUM KE-13

GATERA (Gerakan Intelektual Rakyat), sebuah perkumpulan yang terdiri daripada sasterawan, profesor, para ilmuwan, seniman, profesional, dan aktivis masyarakat, merasa amat resah dan rusuh hati menyaksikan suatu suasana yang bukan saja tidak memperlihatkan adab, tetapi juga sering mengabaikan etika dan imbangan kewarasan dalam kempen pra-Pilihanraya Umum Ke-13 ini.

Demi digerakkan oleh hasrat untuk mendapatkan atau mengekalkan kuasa para calon dan pemimpin mereka mempergunakan berbagai-bagai cara dan kaedah yang dapat dianggap sebagai tidak pun memperlihatkan etika dasar atau landasan moral. Oleh yang demikian masyarakat dipersaksikan unsur keganasan jasmani dan kata-kata, fitnah, ucapan lucah dan tidak sedikit pula, penyalahgunaan kuasa. Semua ini dilakukan di luar batasan agama dan budi bahasa masyarakat Malaysia. Seterusnya media massa elektronik dan bukan elektronik menyambung, menyumbang atau membuka ruangnya kepada segala yang dianggap salah oleh masyarakat Malaysia ini.

Pada masa yang sama GATERA melihat bahawa pihak-pihak yang ditugaskan atau yang bertanggungjawab, khususnya SPR, tidak cepat bertindak untuk menjalankan tanggungjawabnya supaya kempen kotor dan keji dapat dibendung. Hingga kini SPR masih belum berjaya meyakinkan sebahagian besar rakyat dalam aspek integriti dan amanah sewaktu menjalankan tugas-tugasnya, seperti yang terbayang dalam isu dakwat dan peti undi pos. Hal begini tidak patut berlaku dalam negara yang sudah lebih dari 50 tahun mencapai kemerdekaanya dan berpengalaman mengadakan pilihan raya berkali-kali.

Sebagai rakyat Malaysia yang beradab dan bertamadun mereka bukan saja berhak mendapat pembelaan sewajarnya, tetapi juga menuntut bahawa segala kegiatan kempen mengikut lunas-lunas yang bersopan, beretika dan adil. Tanpa semua unsur ini demokrasi yang menjadi teras negara tiada maknanya sama sekali. Seterusnya, mereka yang melanggar semua nilai-nilai dan batasan hukum ini harus segera diadili.

Oleh yang demikian GATERA mendesak SPR supaya menggunakan segala kuasa yang diamanahkan kepadanya bagi membetulkan keadaan yang amat pincang dan tidak madani ini.

Yang benar,

DR. SHAHARIR BIN MOHAMAD ZAIN
Ketua GATERA

Print Friendly, PDF & Email