Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan

Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan*
Shaharir b.M.Z.
Pusat Dialog Peradaban
Universiti Malaya

Abstrak

Makalah ini mengandungi kupasan punca-punca konfliknya pembangunan dari aspek teorinya dan amalannya. Ini termasuklah konfliknya makna pembangunan dengan development, konfliknya sejarah projek pembangunan di Eropah  dengan pembangunan di Malaysia, konfliknya teori pembangunan Barat dengan teori pembangunan yang sepatutnya, iaitu dalam acuan kita sendiri, konfliknya tanggapan sarjana Barat dengan sarjana kita terhadap konsep pembangunan, dan konfliknya amalan projek pembangunan kita dengan matalamat pembangunan itu sendiri. Selain daripada “pengajaran” drp amalan pembangunan selama ini yang ditunjukkan negatif sifatnya, model pembangunan kerajaaan Sriwijaya abad ke-7 M yang bermatalamatkan subhagia rakyatnya yang begitu kontras sifatnya dipaparkan bagi mendapat pengajaran baharu zaman ini. Beberapa syor penambah-baikan pembangunan sekarang dipaparkan.

  1. Kenal Pembangunan

Kita kenal istilah pembangunan mulai Rancangan Lima Tahun Pertama Malaya 1956-1960 yang menumpukan kepada sektor ekonomi luar bandar sehingga rakyat menyekutukan pembangunan dengan pembangunan luar bandar sahaja. Namun datangnya Rancangan Malaysia Pertama 1965-1970 (Penyambungan Rancanganan Malaya kedua 1961-1965) istilah pembangunan ditujukan kepada seluruh negara (yang pastinya termasuklah Bandar, iaitu pembangunan bandar) (Lihat Internet 1). Rakyat mula melihat pembangunan bukan lagi cuma penerokaan tanah hutan belantara untuk penanaman dan penempatan baharu sahaja yang menjanjikan senang-lenangnya para peneroka nanti (walaupun atas tangisan flora-fauna, dan mungkin sekali orang asal di tempat berkenaan) tetapi yang lebih ketaranya pembinaan bangunan baharu (gedung perniagaan, kilang-kilang dan rumah-rumah kediaman) di dalam kawasan Bandar. Pembangunan dijadikan wahana untuk pengindustrian negara, dan Barat menjadi modelnya sehingga pembangunan juga disetarakan dengan pemBaratan atau pemodenan dengan kefahaman yang positifnya. Sekali gus pembangunan kita semakin menampakkan ciri-ciri kejasmanian dan kebendaan semata-mata, iaitu pembinaan bangunan sehingga pembangunan (proses bangun) menjadi semakin tepat kepada pem-bangunan-an (proses membina bangunan). Inilah yang menempa sejarah pembangunan negara kita yang tersendiri yang bertukar tujuannya kepada melahirkan kekayaan individu yang bersenang-lenang dan seterusnya akaun kekayaan negara yang melonjak tetapi semakin besarlah pula rakyat yang berlinangan kesedihan nasibnya akibat terpinggir atau dipinggiri oleh arus pembangunan sebegini. Ternyata negara semakin kaya (KDNK semakin meningkat) tetapi jurang yang bersenang-lenang dengan yang berlinang tidaklah juga berubah seperti yang sepatutnya/dijanjikan bahkan adakala semakin meluas (Lihat jadual indeks GINI di bawah yang berhubung dengan isu ini). Bukti yang lebih tepat kesenjangan agihan kekayaan negara dipersaksikan oleh pernyataan Raja Nazrin bahawa 78 % penanggung keluarga di Malaysia berpendapat kurang daripada RM3 ribu sebulan (Lihat akhbar perdana pada 2 Okt 2014) dan pernyataan Menteri Kewangan Kedua Malaysia (Borneo Post 19 March 2013) seramai 6.1 juta penerima BRIM (mereka yang kurang drp RM3 ribu sebulan) yang kira-kira berkesimpulan yang serupa. Apakah sebenarnya “pembangunan” yang kita ambil daripada “development” itu?

Jadual 1: Indeks GINI Malaysia mengikut kajian World Bank dan Jabatan Statistik Malaysia

Tahun                                               Indeks GINI (0 sempurna dan 100 amat buruk)

1985                                                        48

1990                                                       47

1995                                                         49

*2000                                                      45

*2005                                                       48

2009                                                          46

2012                                                          43 (lebih buruk drp Thailand 40, Indonesia 37 dan India 33)

         * drp Jabatan statitik Malaysia sahaja

  1. Makna Pembangunan

Perkataan “pembangunan” pastinya ada sudah lama dalam bahasa Melayu dengan makna “proses bangun atau membang” tetapi sejak 1956 perkataan ini dipadankan dengan istilah Inggeris development yang juga sering dipadankan dengan “kemajuan”. (Perkataan terakhir itu amat positif bunyinya, walaupun konsep “maju” itu sendiri, mengikut pengertian bahasa Inggeris, progress, advance dsbnya cukup berkonflik dengan nilai “maju” kita sendiri yang dipengaruhi oleh Islam). Tidak hairanlah pebangunan sentiasalah disekutukan dengan pemajuan atau kemajuan. Development mulai dijalankan di Eropah selepas Perang Dunia Kedua bagi tujuan mengembalikan keadaan ekonomi dan sosial negara-negara di Eropah yang menerima bahana Perang tersebut. Projek pembangunan ekonomi ini diprakarsai oleh Amerika Syarikat 1948 sebagai suatu usaha pembinaan semula negara-negara Eropah yang runtuh/roboh hampir segala-galanya (bukan bangunan sahaja) akibat Perang Dunia II. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Truman memaparkan prinsip pembangunannya (prinsip development Truman):

“Yang kami bayangkan ialah sebuah program pembangunan berasaskan konsep kira-bicara yang adil berdemokrasi …. Pengeluaran yang lebih hebat adalah kunci kepada kemakmuran dan keamanan. Dan kunci kepada pengeluaran yang lebih hebat ialah penerapan ilmu teknik dan sains moden yang lebih bersungguh-sungguh.” [Terjemahan penulis terhadap sebahagian drp ucapan Truman bersumberkan: Economic development , http://en.wikipedia.org/wiki/Economic_development]

Jelaslah konsep pembangunan Barat yang asalnya ini melibatkan keadilan berdemokrasi, pengeluaran yang cekap dan banyak, dan penerapan sains dan teknologi yang hebat. Sejauh mana pembangunan kita menerapkan konsep pembangunan asli ini memanglah banyak yang tidak kesampaiannya, tetapi perkara ini tidak dibicarakan di sini secara terusnya. Gantinya dibicarakan teori dan amalannya sahaja kerana teori pembangunan adalah hasil dukungan konsep pembangunan asal ini dengan perluasan mengikut acuan sarjana-sarjana Barat.

Sarjana Barat memang menyahut konsep pembangunan Truman ini dengan mengutarakan teori bersesuaiannya sehingga tahun 1960-an bahawa kerajaan/pemerintah Negara Membangun (Developing Nation) semestinya berperanan utama dalam mempromosi pengindustrian dan sekali gus membuahkan teori pemodenan dan pembangunan sebagai agen pertumbuhan ekonomi (walaupun pertumbuhan ekonomi boleh sahaja berlaku tanpa “pembangunan”, dan kini diakui ekonomi berasaskan pengekalan pertumbuhan pada aras berapa pun adalah ekonomi yang tidak terlestarikan; ringkasnya pembangunan terlestarikan beroksimoron, iaitu bertentangan parah, dengan pertumbuhan dan ini akan dibicarakan berasingan nanti). Dalam tempoh pembangunan ekonomi di bawah kawalan pemerintah ini (sehingga 1970-an) jugalah ahli teori memperakukan bahawa pembangunan semestinya memfokuskan terlebih dahulu kepada pembangunan modal insan dan pengagihan semula kekayaan negara. Inilah juga yang diretorikkan oleh kerajaan kita, walaupun aspek retorik pembangunan modal insan ini baharu sahaja munculnya sejak zaman Pak Lah sahaja. Seterusnya, setelah tepunya pulangan dasar liberalisme terpimpin ini, maka dasar liberaru (neo-liberalisme), iaitu peniadaan peranan kerajaan/pemerintah dalam pembangunan, dimunculkan dalam tahun 1980-an yang menekankan kepada agenda perdagangan bebas dan Pengindustrian Gantian Impot (Import substitution industrialization), iaitu pengurangan barang impot yang digantikan dengan buatan sendiri. Ternyata, projek pembangunan Eropah yang ditunjangi oleh teori-teori itu berjaya. Bukti nyatanya, lebih separuh daripada Negara Maju sekarang (berjumlah 40-an) adalah negara-negara di Eropah (yang hancur dalam Perang Dunia II dahulu). Laluan teori pembangunan inilah yang cuba dilalui oleh negara kita sejak dari mulanya lagi, tetapi bukan secara sepenuhnya seperti Penggantian Gantian Impot itu amat ketinggalan dalam pembangunan kita. Maka sesuai dengan hukum alamlah bahawa pemikiran impot terutamanya jika diambil secara berpilih akan menimbulkan banyak konfliknya seperti yang akan dipertuntunkan nanti.

Dengan kejayaan projek pembangunan di Eropah itulah maka pembangunan di anggap satu cara untuk memajukan sesebuah negara dan seterusnya menciptakan kesejahteraan, kemakmuran …. dan akhirnya kebahagiaan, walaupun indeks-indeks ini tidak pernah pula menjadi sasaran dasar utama pembangunan kita, bahkan tidak pernah sarjana kita terlibat dalam pembinaan modelnya (Lihat sorotannya oleh Shaharir 2008). Sebenarnya sejak 1970-an lagi kritikan dari kalangan ahli ekonomi Barat pun terhadap pembangunan mulai timbul kerana pembangunan dilihat membawa kesengsaraan atau kemerosotan kebahagiaan mereka. Ini dibicarakan lagi pada akhir makalah ini.

Persoalan yang menerbitkan konflik dalam pembangunan ialah maksud “kejayaan” , “kemajuan” dan “kebahagiaan” yang amat sarat dengan nilai atau kebudayaan itu. Pendukungan sesuatu bangsa akan makna tiga perkara ini mengikut acuan Eropah itulah yang menimbulkan konflik. Sebahagiannya dibicarakan di sini.

  1. Konflik makna pembangunan dengan development

Perkataan Inggeris, develop mengalami perubahan makna asalnya buat pertama kalinya akibat keperluan istilahnya dalam teknologi terawal fotografi dalam abad ke-19 M. Dalam fotografi, develop dimaksudkan “mencuci gambar” , developer bermaksud “pencuci gambar” ; Underdeveloped bermaskud “tak cukup bersih cuci gambar”. Kemudian mulai 1948, menerusi projek pembangunan Truman itu, baharulah muncul development sebagai bermaksud “keadaan ekonomi” dan seterusnya perkataan develop, developing, developed, underdeveloped membawa pengertian yang khusus dalam konteks ekonomi ini.

Sebelum berlakunya perubahan di atas, asalnya, perkataan Inggeris develop diambil daripada Perancis, developer atau desveloper , dalam sekitar pertengahan abad ke-17 M dengan makna “buka lipatan”, “buka bungkusan” atau “buka tutupan/hijab”; “menjelaskan makna”. Kemudian digunakan juga untuk konteks pembuatan fotograf itu mulai pertengahan abad ke-19 M. Istilah development yang membawa makna proses, iaitu “pembukaan lipatan”, “pembukaan bungkusan” atau “pembukaan tutupan/hijab” muncul kira-kira seabad kemudian dan sekaligus pula muncul makna baharunya, berhubung dangan hartanah, “menyerlahkan kemungkinan terpendamnya” dan seabad lagi (akhir abad ke-19 M) mendapat makna baharu lagi ke atas hartanah itu, iaitu “penambah-baikan yang dilakukan ke atas tanah baharu menerusi penanaman dan pendirian bangunan dsbnya” dan seterusnya pada awal abad ke-20 mendapat makna ekonomi, “ keadaan kemaraan/kemajuan ekonomi” (state of economic advancement).

Dalam bahasa Melayu sejarah makna “bangun” dan “pembangunan” sebelum abad ke-20 M tidaklah diketahui (terutama segi etimologinya) melainkan maknanya agak berbeza daripada develop Inggeris itu. Perkataan “bangun” bukan daripada Sanskrit kerana berdasarkan kamus Inggeris-Sanskrit di internet, perkataan Sanskrit yang dipadankan dengan develop ialah jaayante; developed ialah pravriddhae dan pravriddhaah; developing ialah prabhavishhnu; dan development ialah praagalbhya; manakala rise dalam Sanskrit ialah udaya, abhudaya dan bhaagyodaya. Perkataan “bangun” juga bukan daripada bahasa Arab kerana mengikut kamus Inggeris-Arab di internet, develop ialah tatdwyr/tatwir, tduwr/tur, nawm dan zhur/zuhr, manakala development ialah tatdwyr atau tanmiyah; walaupun ada kemungkinan datangnya daripada qum seperti dalam Suraht al-Muzammir itu (apabila Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW bangun/qum drp berselimutnya). Oleh itu sehingga kini, “bangun” boleh diangap perkataan Melayu/Malayonesia asli. Perkataan “bangun” dalam bahasa Melayu tiada hubungannya dengan lipatan, bungkusan atau tutupan itu tetapi berhubung dengan jatuh, terlantar, baring, tidur dsbnya. Jika tiadalah pengaruh makna develop dan development dari bahasa Inggeris itu, konsep pembangunan Melayu sewajarnya jauh lebih baik daripada konsep-konsep Inggeris itu, apatah lagi dengan amalan pembangunan kita selama ini. Nampaknya kita membelakangi makna asli dan murni “bangun” kita dan “pembangunan” dalam bahasa kita itu dan membina kefahaman “bangun” dan “pembangunan” kita sama seperti dalam bahasa Inggeris itu: cuci (gambar) pencuci (gambar) dikembangkan kpd kegiatan ekonomi: cuci dulu segala-galanya tempat yang mahu “dimajukan” itu. Dalam bahasa Melayu abad ke-20 hingga kini, padanan develop segi ekonomi ialah “maju” atau “bangun”; development dipadankan dengan “kemajuan” atau “pembangunan”; developed dipadankan dengan “maju”, seperti dalam negara maju/Negara Maju =developed nation; developing dipadankan dengan “membangun” seperti dalam developing nation =negara membangun/Negara Membangun. Kedua-dua konsep “maju” dan “membangun” itu tentunyalah sama dengan konsep dalam bahasa Inggeris itu (mengikut konsep ilmu Barat, ilmu bukan dalam acuan kita sendiri) . Inilah konflik awal-awalnya pembangunan, iaitu bersenang-lenangnya kita dengan konsep pembangunan orang tanpa keinsafannya terhadap konsep “pembangunan” kita sendiri walaupun sudah lamalah berlinangnya air mata sekumpulan yang tidak bermaya melakukan sesuatu terhadap ilmu ini.

Apa lagi konfliknya? Ada beberapa lagi yang terasnya yang akan diperkatakan di bawah ini.

  1. Konfliknya Pembangunan sebagai Pertumbuhan Ekonomi

Pertamanya, konsep pembangunan Barat yang asalnya tiadalah bertujuan untuk pertumbuhan ekonomi seperti yang berlaku sekarang. Ekonomiawan Barat sekali pun sering mengkritik berleluasanya penyamaan pembangunan dengan pertumbuhan. Malaysia jelas melakukan penyamaan ini. Pengejaran kadar pertumbuhan negara menerusi pembangunan mewujudkan sesektor penyerta pembangunan itu bersenang-lenang tetapi pada sektor lainnya yang lebih besar lagi berlinanganlah air matanya. Rist (2009), dalam buku sejarah pembangunannya, berhujah pembangunan beginilah yang berlaku selama ini (pra-2009 lagi) yang menjadikan hasil pembangunan itu tidak lebih daripada sebuah “delusi ijmak” (khayalan sepakatan) yang kenyataannya hanya menghasilkan hubungan pasaran yang meluas sahaja, dan mereka inilah yang bersenang-lenangnya sedangkan yang lainnya berlinanganlah air matanya. Beberapa tahun daripada itu memang ramai sarjana yang mengkritik tentang adanya konflik yang parah dalam pembangunan dan contoh sarjana itu yang sering diketengahkan ialah Postel (1990) kerana sekaligus beliau mengesyorkan supaya ilmu ekonomi (economics) sekarang yang dianggapnya begitu tidak peduli kepada keseimbangan ekologi ditukar namanya kepada eco-nomics dengan maksud eco daripada ecology (mungkin diMelayukan juga sebagai eko-nomi), ada sempang selepas eco/eko itu bagi membezakan eco/eko dalam economics/economy dalam bahasa Inggeris atau ekonomi dalam bahasa Melayu yang asalnya drp oiko perkataan Yunani yang diLatinkan oeco dan bermakna “rumah tangga”). Istilah eco-nomic tajaan Postel itu memang tidak laku kerana kekeliruannya yang jelas dengan istilah yang sedia ada. Sehingga kini hanya beberapa buah makalah dan buku sahaja yang berjudul mengandungi istilah ini dan buku yang terlarisnya ialah oleh Bartlelmus (2008) yang sudah beberapa kali diulangcetak atau disunting semula. Namun buah fikirannya amat berpengaruh dan menjalar dalam segenap bidang ekonomi sekarang. Postel memberi contoh bagaimana pemimpin negara dan sekelompok pemodal atau niagawan akan bersenang-lenang jika sesebuah projek pembangunan dilaksanakan dengan akaun kekayaan negara dilakukan seperti biasa yang berikut:

Pertumbuhan ekonomi amat rapat dengan sukatan penuding prestasi ekonomi terkenal , Keluaran Negara Kasar (KDNK). Peningkatan KDNK (sering dikaitkan dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi) dianggap kesihatan negara berkenaan bertambah baik dan sekaligus diandaikan rakyatnya pun bertambah senang-lenang. Postel berhujah tidaklah demikian halnya kerana kesilapan dalam perakaunan KDNK itu, iaitu tiadanya penolakan susut nilai dalam hisab KDNK itu akibat pembangunan itu. Tiadalah hisab susut nilai terhadap hutan, tanah-tanih, mutu udara, dan kurniaan alam tabii yang lain akibat “pembangunan” yang menjana kekayaan itu. Kita boleh tambah lagi perkara susut nilai akibat pembangunan ini seperti perihal kebudayaan (yang boleh ditakrifkan dengan agak tepatnya sebagai agama, ilmu, dan bahasa atau boleh diaksiomkan sebagai “agama” sahaja) yang lagi terkeluar dalam perakaunan KDNK itu. Hakikatnya, kekayaan tabii daripada semua jenis benda (daripada hasil pembangunan) menguncup tanpa munculnya kehilangan atau kerugian itu dalam akaun negara. Contoh yg diberi oleh Postel ialah tentang pemotongan balak yang hasilnya dikira sebagai pendapatan lalu dimasukkan ke dalam hisab KDNK itu, tetapi tiadalah penolakan atas penyusutan nilai hutan berkenaan yang menjadi aset ekonomi yang dapat memberi hasil negara kelak, jika diurus dengan baiknya. Akibatnya, hisab KDNK itu berupa pendapatan dan kekayaan yang dikembungkan (diinflasikan) sahaja sehingga mencipta suatu silap mata atau ilusi tentang lebih bagusnya negara/rakyat berkenaan berbanding dengan sebenarnya dan boleh melestarikan aras konsumpsi yang lebih tinggi daripada yang mungkin sebenarnya. Pendeknya, model ekonomi yang bersaskan pada pembangunan tidak peduli kepada persoalan keadilan dan kebersesamaan pengagihan nikmatnya atau sengsaranya. Pembangunan selalulah tidak menghiraukan keadaan berlakunya sesebuah pelaburan yang menghasilkan satu pulangan bersihnya, tetapi akibatnya sekumpulan yang secara nisbahnya sudah berada akan bertambah senang-lenangnya tetapi yang tidak berada akan bertambah kurang beradanya hingga berlinanglah air matanya. Pelaburan tetap dilakukan dan projek pembangunan begitu akan tetap diteruskan sambil diretorikkan projek itu mempromosikan progres . Itu konflik besarnya!

  1. Aksiom Manusia Homoeconomicus Berkonflik dengan Ummatanwwasatdan

Teori pembangunan yang sedia ada berasaskan pada teori ekonomi berlandaskan aksiom manusia ini makhluk homoeconomicus (Bahasa Latin yang dikekalkan dalam istilah ekonomi dalam Bahasa-bahasa Eropah termasuk Inggeris), yang bererti makhluk yang rasional yang sentiasa merasionalkan keperluan pulangan yang paling tinggi atau istilah keramatnya optimum atau maksimum. Malah ilmu ekonomi sekarang ditakrifkan sebagai ilmu selok-belok membuat sesuatu atau menghasilkan sesuatu secara optimum, ringkasnya ilmu pengoptimuman. Istilah optimum itu berasal daripada Latin optimus yang bermakna “paling baik” atau “terbaik” yang diartikulasikan menerusi matematik pengoptimuman dengan takrif keoptimuman sebagai keadaan yang ekstrim atau melampau, iaitu maksimum (=paling tinggi nilainya) atau minimum (=paling rendah nilainya), atau yang jarang digunakan, maksimum dan minimum hampir serentak berlaku (dinamai titik pelana). Penggunaan matematik pengoptimuman mengaburkan mata dan melemahkan hati hampir semua orang termasuk sarjana dunia bahawa kononnya konsep “optimum” itu bersifat semesta, neutral atau bebas nilai dan bebas budaya. Sudah lamalah sarjana yang mengkritik pembangunan terlepas pandang bahawa satu daripada punca yang menghasilkan senang-lenang dan berlinangnya dalam pelaksanaan pembangunan ialah ialah penerimaan kepada konsep “paling baik” itu ialah optimum. Kefahaman inilah yang menjadikan para pelaksana pembangunan itu tidak berhati mulia tetapi bersifat individualis, egois, rakus, tamak dan sebagainya. Bagi orang Islam pun sudah lama menghayati nilai pengoptimuman ini sehingga sudah terlupalah ajaran agamanya yang tidak pernah mengiktiraf manusia atau insan homoeconomicus bahkan mengajar aksiom kemanusiaan atau keinsanan yang istilahkan sebagai ummatanwwasatdan yang mengajar doktrin “paling baik itu ialah wusta” yang secara kebetulan dirakamkan dalam peribahasa Melayu sebagai doktrin keberpadaan , “buat baik berpada-pada”. Doktrin ini (sepatutnya sudah lama) mendesak sarjana Muslim khususnya supaya merevolusikan teori pembangunan yang berasaskan ilmu ekonomi berpaksikan pengoptimuman kepada yang berpaksikan pewustaan. Sarjana Muslim perlu mengartikulasikan makna wusta (wustdo, wasatdiyyah) sehingga matematik pengoptimuman dapat digantikan dengan matematik pewustaan. Permulaannya sudah dilakukan oleh Shaharir (2005, 2006, 2011, 2013), iaitu takrif popular wusta sebagai pertengahan atau sederhana bahkan purata pun tidak tepat, malah kefahaman itu tidak berdaya untuk dimatematikkannya sebagai alternatif kepada pematematikan konsep optimum itu. Wusta ialah yang adil dan seimbang yang lebih halus lagi sehinga matematiknya lebih canggih dan kusut daripada matematik purata dan sebagainya itu (Lihat juga Umbaian makalah ini)

  1. Konflik dalam Pembangunan Terlestarikan

Kesedaran dan keinsafan sarjana terhadap banyaknya konflik pembangunan itulah yang menimbulkan konsep dan ilmu serta amalan yang bukan sebarang pembangunan tetapi pembangunan yang mampu sekurang-kurangnya mempertahankan apa-apa yang bagus sekarang sehingga generasi demi generasi yang akan datang; dan pembangunan ini dinamai “pembangunan terlestarikan” (sustainable development). Konsep pertamanya pembangunan ini muncul pada tahun 1987 berpaksikan pada laporan suruhanjaya pembangunan anjuran Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipengerusikan oleh Brundtland lalu dikenali sebagai Suruhanjaya Pembangunan Terlestarikan Brundtland.
Oleh sebab pelaksanaan pembangunan telestarikan tidak pernah berjaya (atau mencapai sasaran yang ditetapkan hingga kini pun walaupun sudah banyak kritikan dan penambahbaikan projek ini seperti yang telah disorot oleh Shaharir (2012a) maka dikenalpastilah puncanya ialah teori ekonomi yang banyak mengabaikan atau terlepas pandang akan sifat-sifat azali manusia atau insan yang lebih tepat bukannya menerima homoeconomicus itu. Umpamanya konsep keterlestarian yang diterimapakai sehingga kini ialah “perancangan ekonomi bermultimatalamat sehingga tercapainya matalamat-matalamat itu seoptimumnya” . Punca besar konfliknya ialah penetapan matalamat dan kepercayaan kepada konsep optimum itu. Matalamat ekonomi di mana jua pun rata-rata banyak ditentukan atau dipengaruhi oleh nilai homoeconomicus itu (bukannya ummatanwwasatdan) sehingga terabailah, terlepas pandanglah atau sengaja tidak dipedulikan ekologi dan alam sekitar, dan kebudayaan. Matalamat pembangunan ekonomi kita sekarang yang hanya bermatalamat tunggal, melahirkan rakyat yang berpendapat tinggi, pastinya tidak pun memenuhi matalamat pembangunan terlestarikan berasaskan homoeconomicus sekalipun. Pembangunan selama ini pun tidak pernah diasaskan atau dinilai berasaskan manusia ummatanwwasatdan, iaitu pembangunan bermultimatalamat yang bertujuan melestarikan tiga unsur penting makhluk (yang memang sering dikhutbahkan tetapi tidak pernah dipedulikan oleh pihak yang berwajib,ilmuwan dan kuasawan): harta, keselamatan dan agama (terutamanya perkara terakhir itu). Pembangunan kita selama ini sentiasa menyusutkan harta umat berkenaan (biasanya tanah atau rumah atau hasil-mahsul tabii). Lihat sahaja nasib harta umat di Taman Midah (peneroka Felda), di Damansara (orang asal), Kg Abdullah Hukum dan Kerinci,…… harta bertaraf Rezab Melayu (sudah 60% hilang),…. Senarainya cukup memberlinangkan air mata walaupun memang ada yang melonjak senang-lenangnya. Agama lagi teruklah! Agama sebenarnya melibatkan ilmu dan bahasa. Huntington (1993) menyamakan agama dengan kebudayaan dalam makalah/teori terkenalnya “the clash of civilization” (temakan/tembungan tamadun), Rosenthal (1972) menyamakan ilmu dengan iman dalam karya agungnya “Knowledge Triumphant” (Keagungan Ilmu), dan ahli epistemologi dan ahli linguistik yang dimulai oleh Hamboldt, diikuti oleh sarjana lebih besar lagi seperti Heidegger dan Chomsky, dan yang mutakhir ini Boroditsky dan Deutscher yang semuanya diulas dan diperkukuhkan lagi menerusi epistemologi matematik oleh Shaharir (2012b) menegaskan besarnya peranan sesuatu bahasa dalam penciptaan ilmu sehingga menerbitkan doktrin “bahasa penemu ilmu”. Pembangunan kita sudah semakin mengkerdilkan, kalau belum memupuskan makna “agama” sebegini, iaitu iman umat semakin terpisah dengan kehidupannya, budaya dan bahasa Melayu semakin termelukut/dimelukutkan, dan ilmu warisan Melayu semakin tidak diketahui/mahu tahu (tertimbus/ditimbus, terfosil/difosilkan). Apabila Kampong Banda Dalam ini dibangunkan nanti mungkin sekali nama kampong ini ditiadakan lagi dan muncullah seperti Banda Villa seperti yang telah berlaku merata tempat seluruh negara, dan ini lebih baik daripada hilangnya Bukit Bintang (menjelma Star Hill). Keselamatan tidaklah perlu dibicarakan lagi. Pembangunan yang menjanjikan penyediaan pekerjaan yang berjebah, kehidupan yang lebih menyenang-lenangkan,…berkonflik dengan perkara-perkara yang lebih asas di atas. Pembangunan manakah yang umat ingini?

Dunia kini inginkan pembangunan kebahagiaan . Sarjana ekonomi dunia pun sudah meninggalkan sains ekonomi kini yang dilabelnya sains menyedihkan (dismal science) dan gantinya sedang membina sains (ekonomi) kebahagiaan walaupun mereka mencari-cari makna perkataan itu tetapi yang jelasnya kebahagiaan berasaskan “pendapatan” sahaja tersasar. Sukatan kebahagiaan yang terbit saban tahun yang dibuat oleh berbagai-bagai pihak itu hanya berasaskan pada soalan seperti “Adakah anda rasa lebih bahagia tahun ini daripada tahun-tahun yang lepas?” , dan “Adakah penambahan pendapatan anda tahun ini mengubah rasa kebahagiaan anda”; ada yang berasaskan lama hidup, lebih berdaya pengeluaran dan kebaikan warganegara; dan ada yang lain lagi seperti penyelidik berasas di Paris menilai kebahagiaan berasaskan 11 perkara daripada kesihatan, pendidikan, kerajaan tempatan, keselamatan diri, kepuasan hati dengan kehidupan, pendapatan dan kesejahteraan amnya.   Gegerlah seluruh dunia (lebih-lebih lagi di kalangan ahli ekonomi) apabila mereka mendapati negara Bhutan adalah antara negara teratas yang bahagia, orang Masai lebih bahagia daripada jutawan atau srijutawan/bilionawan, orang akan tidak berubah rasa kebahagiaannya apabila pendapatannya sampai pada suatu tahap ambang (lihat Max-Neef 1995 dan Diener & Seligman 2004) seperti di Amerika Syarikat sekitar sebanyak US $ 16 ribu sebulan. (Di Malaysia belum diketahui). Ada pula tinjauan lain lagi yang menunjukkan Australia negara yang penduduknya paling bahagia, dan Malaysia mendapat kedudukan yang menggembirakan sesetengah ahli politik dan ahli ekonomi kita. Bangsa Bersatu pun membuat laporan tahunan (sejak dua tahun lepas) dan tahun 2013 menghebahkan negara paling bahagia di dunia ialah negara-negara di Skandinavia, AS berkedudukan 17, UK 22, Jerman 26 Jepun 43, China 93, Malaysia 56 (turun drp tahun sebelumnya 51 dan lebih rendah drp negara jiran: Singapura 30 dan Thailand 36 walaupun lebih baik drp Indonesia 76). Menariknya negara-negara industrik merosot kedudukannya berbanding dengan tahun sebelumnya. Paling buruknya Burundi, Rep. Afrika Tengah, Benin dan Tongo. Bangsa Bersatu juga membuat Jajak Gallup ke atas 10 ribu sampel dengan 5 soalan berkenaan dengan keseronokan semalam, rasa dihormati, cukup masa rehat, ketawa dan senyum dan akhirnya belajar perkara yang menarik. Didapati negara-negara Amerika Latin yang paling bahagia penduduknya. Memang ilmu ekonomi kebahagian masih dalam kekacauan!

  1. Pembangunan tidak berasaskan keperluan manusia setempat

Hampir setiap projek pembangunan dilakukan atas keperluan pemaju/pemodal sahaja dan mereka ini didorong oleh homoeconomicus-nya biasanya tidak melihat projeknya itu atas keperluan manusia di tempat pembangunan yang hendak dilakukan. Pembangunan semestilah dilakukan dengan penuh perundingan dengan penduduk berkenaan sehingga diketahui sepenuhnya perkara-perkara yang diingini oleh pnduduk berkenaan. Jika tidak, pembangunan yang terhasil tidak sekali-kali membangun manusia setempat malah manusia itu tersesar (ternyah dan diganti oleh orang lain sama sekali) dan berlinanglah mereka yang kononnya ingin dibangunkan itu. Manusia lain itu sahaja semakin bersenang-lenang, lebih-lebih lagi pemaju/pemodal itu.

  1. Pembangunan yang tiada pertimbangan sistem ekologi dan alam sekitar

Pembangunan yang menimbul konflik tradisinya ialah yang semestilah tidak membangun, malah memusnahkan, alam sekitarnya dan makhluk bukan manusia di situ, bahkan paling menaninyaya manusia asal yang mendiami hutan belantara itu. Contoh besar-besarnya, selain Rancangan FELDA dan kehilangan “hutan Simpan” , ialah pembinaan empangan tenaga hidroelektrik (demi pembangunan atau sinonimnya perindustrian) di Temenggor, Kenyir dan Bakun.

  1. Teori ekonomi pembangunan sekarang untuk siapa?

Teori pembangunan ekonomi pada peringkat awalnya memang ditujukan kepada pemerintah/kerajaan, iaitu bagaimana semestinya pemerintah/kerajaan mengurus perancangan pembangunan sesebuah negara utuk kemajuan. Akan tetapi atas dorongan kehendak homoeconomicus, teori ekonomi pembangunan itu semakin tidak ditujukan kepada kerajaan lagi sehingga akhirnya sejak 1980-an teori ekonomi liberaruisme (neoliberalisme) menunjangi teori ekonomi pembangunan yang memperkasa para pemodal atau pemaju sahaja. Teori ekonomi pembangunan telah dibina untuk pemodal/kapitalis demi pengakuran benarnya modalisme (kapitalisme), teori ekonomi pembangunan ditujukan kepada orang kaya dsbnya yang sudah senang-lenang untuk bertambah senang-lenang lagi. Teori ekonomi sudah dilarikan drp tujuan asalnya, bermula dengan ekonomia (pengurusan rumah tangga), dan menjadi sains kekayaan pada abad ke-18 dan sains orang kaya atau pemodal mulai abad ke-20. Tidak hairanlah setiap kali pembangunan berjaya, maka berlinanganlah kebanyakan para penerima bahana pembangunan itu.

Berdasarkan kajian sejarah pembangunan Barat yang dilakukan oleh Adelman dan Morris (1997), dua orang sarjana besar pembangunan dari AS, ada empat pengajarannya tentang pembangunan selama ini:

(1) proses pembangunan amatlah tidak linear dan multidurja/multifaset yang bermakna dasar yang sama tidak semestinya memberi hasil yg sama bagi setiap tempat dan amat peka pada perubahan keadaan. Ini mengimplikasikan pelaksanaan sesuatu dasar pembangunan yang ditiru daripada sesebuah negara yang telah berjaya dengan polisi itu tidak semestinya menjanjikan kejayaan yang serupa di negara kita. Lagi satu implikasi yang selalu relevan ialah penambahan peruntukan tidak semestinya menambahkan lagi pulangan yang diingini.

(2) Institusi sosio-ekonomi-politik domestik menjadi pemboleh ubah penting dalam hasil pembangunan. Umpamanya, institusi pemerintahan seperti sistem politik yang peka-tindak (responsif) terhadap kepentingan pemodal itulah yang lebih berjaya dalam pembangunan negara berkenaan, walaupun ini ada batasnya, iaitu selepas batas itu tiadalah lagi kesan apa-apa terhadap prestasi pembangunan. Hasil ini jelas menunjukkan simbiosis yang hebat antara pemodal-ekonomiawan atau pemodal-pemerintah dalam pembangunan. Pemerintah yang pro-pembangunan semestinya pro-pemodal.

(3) Proses pembangunan melibatkan pelbagai pergantian yang berertinya terhadap institusi domestik mundur, tersasar atau tak lengkap, pembekalan/penawaran faktor-faktor domestik tak cukup, dan permintaaan agregat domestik yang cacat. Inilah yang memberi kesan tangisan kepada penduduk di tempat pembangunan berkenaan yang dibincang sebelum ini semata-mata berasaskan cerapan sahaja tetapi kali ini dibukti secara ilmiah pula.

(4) Polisi (dasar/kebijaksanaan) perdagangan, pertanian, gerakan faktor antarabangsa dan pelaburan adalah faktor kritis dalam tahap kejayaan pembangunan. Lagi sekali, kajian ilmiah ini membuktikan cerapan umum dan perasaan rakyat terbanyak terhadap polisi-polisi pemerintah yang pro-pembangunan yang bertindak begitu tidak relevan dengan kesejahteraan kehidupan mereka secara terusnya.

10. Pelajaran daripada Dasar Pensubahagiaan Kerjaaan Sriwijaya Abad ke-7 M

Di samping adanya pelajaran pada “pembangunan” selama ini yang dibicarakan dalam seksyen lepas, ada pula pelajaran daripada pembangunan kerajaan lama kita lebih seribu tahun dahulu yang selama ini terfosil. Di bawah pemerintahan raja Sriwijaya bernama Sanjaya abad ke-7 M (ketujuh Masihi) sebuah polisi pembangunan asli Melayu (dipengaruhi oleh nilai Buddha) telah dirakamkan di sebuah prasasti (batu bersurat) yang ditemui di Talang Tuwo, Palembang, Sumatera. Dasar ini ditegaskan olehnya bertujuan mewujudkan rakyatnya yang subhagia (subahagia atau subagia; sama dengan su- dalam susastera). Rancangan atau projeknya ialah yang berikut :

Membina beberapa buah parlak (iaitu sejenis taman botani) dengan semestinya penuh dengan segala jenis tumbuhan yang boleh dimakan buah/isinya dan segala prasarana pelancong/musafir. Semua disediakan untuk rakyatnya secara percuma. Contoh tanaman yang disebutnya ialah nyiur, pinang, enau, rumbia, aur, buluh betung dan sepertinya. Kemudahan lainnya ialah telaga dan tempat rehat dan ibadat. Katanya semua ini ditujukan untuk subhagia semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak. Selanjutnya kerajaan juga mengadakan pemerintahan yang bertujuan rakyatnya mencapai subahagia yang perkara-perkara yang dititikberatkannya masih amat relevan dengan masa kini:

Memastikan pertanian berjaya (ladang dan kebun luas subur dan berhasil, binatang-binatang ternakan hidup segar dan biak, dan para pekerja (istilah asalnya hamba dan abdi) sihat dan setia kepada majikannya (istilah asal, tuannya).

Memastikan rakyat jelatanya jauh daripada segala bencana, siksaan dan swapnaghna (penyakit tidak dapat tidur, iaitu insomnia).

Memastikan barang usaha rakyatnya berhasil baik, tidak ditimpa sakit dan awet muda.

Memastikan segala haiwan tidak terancam pupus (lengkap semuanya).

Memastikan setiap orang memiliki sahabat yang setia dan tidak menderhaka

Memastikan isteri setia pada suaminya .

Memastikan seluruh negara tiada kecurian, kecurangan, pembunuhan dan penzinaan.

Mengaharapkan supaya setiap orang bertambah hampir dengan tahap kerohanian yang tertinggi (bertemu dengan kalyanamitra, membangun bodhichita dengan maitri, menjadi pertapa pada dang hyang Ratnatraya, sentiasa teguh bersila dengan senang membangun tenaga, keuliten, pengetahuan tentang perbezaan semua sipakala dan pemusatan fikiran, memperoleh pengetahuan, ingatan dan kecerdasan dan lagi ketetapan mahasatwa badan manikam vajracarira yang sakti tanpa upama, kemenangan, dan lagi ingatan kepada kelahiran yang sudah lampau, indria lengkap, rupa penuh, kebahagiaan, kegembiraan, ketenangan, kata manis, suara Brahma, jadi lelaki kerana kekuatannya sendiri, memperoleh cintamaninidhara, memperoleh janmawacita, karmmawacita, akhirnya beliau mendapat anuttarabisamyaksambodhi)

11. Syor

Tukar “pembangunan” kpd “pensubagiaan” (menyingkatkan istilah “pensubahagiaan”), atau

tukar tujuan pembangunan sekarang kepada pensubagiaan makhluk di tempat yang ingin dibangunkan itu. Konsep subagia perlulah dibangunkan oleh sarjana kita sendiri kerana konsep ini jauh sarat nilainya berbanding dengan konsep-konsep ekonomi yang lain.

Sudah sampai masanya KDNK atau sebarang bentuk purata ditukar kepada indeks pencapaian ekonomi yang jauh lebih baik seperti peratusan kohort pendapatan dan indeks GINI atau indeks-indeks penting dalam sukatan keterlestarian yang sedia ada atau lebih baik lagi yang kita sendiri bina.

Tukar optimum/maksimum kpd wusta/wustdo . Pulangan optimum kpd pulangan wusta/wustdo. Impak optimum kpd dampak wusta/wustdo… dan sebagainya.

%%%%%%%%%%%%%

Umbaian

Matematik Pewustaan

Jika f(x) matalamat tunggal yang diminati (oleh pihak perancang dan sebagainya; contohnya keuntungan), yang bergantung pada dasar/polisi/pembolehubah/perubah x yang tertakluk kepada kekangan R = {x: g(x) = b, x tidak negatif}, maka takat wusta/wustdo bukan lagi x* yang menjadikan f’(x*) – λ . g’(x*) =0 (kaedah Lagrangean itu) tetapi yang menyebabkan

ʃ W(x*) f(x) dx = (½) ʃ R f(x) dx , R ialah seluruh rantau kekangan itu

W(x*) suatu subrantau R yang sempadannya berupa titik-titik (dasar/polisi/pembolehubah/perubah) wusta/wustdo x*. Takat wusta boleh dibayangkan sebagai takat pengeluaran yang jumlah keuntungan seluruh pengeluaran mungkinnya ke tahap itu ialah setengah (seperdua) drp jumlah keuntungan semua pengeluaran mungkinnya.

Contohnya, titik wusta bagi matalamat 2x +3y yang y-x ≤ 0, x ≤ 1, x dan y tidak negative, ialah atas garis 2x+3y= w yang berada dalam rantau kekangan (x,y) itu dengan w ialah nilai wusta matalamat ini. Berlainan dengan titik maksimum matlamat ini, iaitu pada titik (x=1, y=1) yang berupa titik bucu segi tiga dengan dua bucu lainnya (0,0) dan (1,0). Masalah ini dapat digambarkan menerusi graf yang berikut:

Umbaian - Titik Wusta

 

 

Titik maksimum fungsi matlamat ialah apabila garis matalamat itu melalui bucu puncak segi tiga di atas, iaitu (1,1) dengan nilai maksimumnya ialah 5.

Titik wusta w tercapai apabila garis itu berada dalam segi tiga R itu kerana nilai wusta semestinya kurang daripada nilai maksimum 5 itu. Nilai ini dapat dihitung dengan menyelesaikan

Kamiran berganda 2x+3y atas rantau segi empat berbucukan (0,0), (1,0), dan pertemuan 2x+3y = w dng y=0 dan y=x, iaitu (w/2, 0) dan (w/5,w/5) = setengah kamiran 2x+3y atas R

iaitu

ʃ                        (  ʃ     (2x+3y) dx)    dy + ʃ                       (   ʃ     (2x+3y) dx)     dy

(0, w/5 )             (y,0)                                    ( 0,w/5)                 (w/5,(w-3y)/2)

 

= (½) ʃ                     (   ʃ     (2x+3y) dx)     dy

(0,1)                         (0,y)

= 2/3

Oleh itu

w3 = 20, atau w sekitar 2.7

Ini menjadi contoh bahawa nilai wusta bukannya yang difahami biasa, iaitu dalam hal ini dibayangkan sekitar 2.5

Titik wustanya ialah (x,y) di sepanjang garis 2x+3y = 2.7 yang berada dlm rantau kekangan R.

Untuk f bukan tunggal (matalamat pelbagai), iaitu yang lebih berkenyataan lagi, kita boleh ubahsuai pengoptimuman gol kepada “pewustaan gol” dan “pengoptimuman Pareto” kepada “pewustaan keparetoan” yang masih belum diformulasikan dengan lengkapnya lagi.

 

Rujukan

Adelman I. & Morris C.T. 1997. Development history and its implications for development theory:
An editorial. World Development 25 (6): 831-840. Ada dlm talian: http://are.berkeley.edu/~irmaadelman/WORLDEV.html (15 Okt. 2014)

Bartelmus P. 2008. Quantitative Eco-nomics. How Sustainable are Our Economies? Springer

Diener E. dan Seligman M.E.P. 2004. Beyond Money: Toward an economy of well-being. Psychological Science in the Public Interest 5(1): 1-31

Huntington S. P. 1993. The clash of civilizations? Foreign Affairs 72 (3): 22–49

Internet 1. Saimin Gingsari’s Blog. Rancangan Pembangunan Negara (1956-2010) http://saiminginsariipkent.blogspot.com/2009/02/selepas-merdeka-kerajaan-memberi.html

(10 Okt. 2014)

Max-Neef M. 1995. Economic growth and quality of life: A threshold hypothesis. Ecological Economics 15: 115-118.

Postel S. 1990.Toward A New “Eco”-Nomics. WorldWatch Magazine, September-0ctober, 1990

Rist G. 2009. The History of Development: From Western Origins to Global Faith . 3rd ed. Zed Books

Rosenthal F. 1972. Knowledge Triumphant. Leiden: Brill. Terjnya, “Keagungan Ilmu” diterbitkn oleh DBP 1992.

Shaharir b.M.Z.2005. Sains Matematik dan Pengurusan. Jurnal Sukatan Qualiti dan Analisis (UKM) 1(1): 1-43

——————-. 2006. Pendekatan baru terhadap konsep optimum Barat dan beberapa konsep optimum baru dalam acuan sendiri. Kesturi (ASASI) 16 (1&2): 55-96

——————-. 2008. Ekonomi Pembangunan Lwn Ekonomi Kebahagiaan. Jawhar. Jurnal Kajian Ketamadunan (Kolej Dar al-Hikmah), 5(1):1-45

——————–. 2011. PengIslaman ilmu yang melahirkan ilmu baharu. Jawhar. Jurnal Kajian Ketamadunan (Kolej Dar al-Hikmah), 8(1&2): 75-94

———————. 2012a. A new paradigm in sustainability. Journal of Sustainability Development (Canada) 5(1): 91-99

———————.2012b. Bahasa penemu Ilmu. Seminar MABBIM di Brunei, 4 April 2012

———————. 2013. Konsep kewustaan fungsi skalar tanpa kekangan. Mimeograf

 

%%%%%%%%%%%

*Makalah ini telah dibentangkan di Seminar Konflik Pembangunan anjuran PAKSI dan GATERA pada 25 Okt 2014 di Masjid Tarbiah, Kg Banda Dalam, Gombak, K. Lumpur

Muat turun PDF

Muat turun PDF

Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan – Shaharir

 

Print Friendly, PDF & Email