Perbincangan bersama SPR

Serahan Memorandum GATERA kepada SPR

Serahan Memorandum GATERA kepada SPR2 Mei, Putrajaya – Iklim dan budaya politik keji dalam kempen pilihanraya umum ke 13 yang kian melata telah mendapat perhatian sebahagian besar para cendekiawan di Malaysia. Pelbagai isu moral yang keji dan penyalahgunaan kuasa dalam PRU 13 ini telah membangkitkan rasa kesedaran mereka untuk bangkit bagi memperbetulkan situasi ini dari kian membarah.

Satu memorandum berkenaan etika dan keadilan dalam pilihanraya telah disampaikan oleh  Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA) kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 10.30 pagi. Serahan oleh Dr. Shaharir selaku ketua GATERA ini telah dibuat di ibu pejabat SPR, Putrajaya dan diterima oleh Dato’ Hj. Nordin Che Ngah, Timbalan Setiausaha (Pilihanraya). Rombongan wakil GATERA seramai 5 orang ini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Di antara yang turut hadir ialah Sdr. Dinsman, Sdr. Kassim, Prof Mokhtar dan juga Sdr. Kamaruzaman mewakili profesional muda.

GATERA di SPRDi dalam perjumpaan tersebut, Dr. Shaharir menegaskan bahawa SPR masih belum berjaya meyakinkan sebahagian besar rakyat dalam aspek integriti dan amanah sewaktu menjalankan tugas-tugasnya, seperti isu dakwat dan peti undi pos. Ianya tidak speatutnya berlaku kerana Malaysia telah merdeka lebih 50 tahun dan sepatutnya berpengalaman dalam menguruskan hal-hal berkaitan pilihan raya. GATERA juga menegaskan semua kempen parti-parti politik mestilah mengikut lunas-lunas yang bersopan, etika dan adil.

Turut memberikan respon ialah Sdr. Kamaruzaman yang memberikan pandangan bahawa SPR seharusnya bertindak sebagai pengadil yang adil. Semua kempen parti politik haruslah diberikan ruang yang sama rata sama ada di media elektronik mahupun di media cetak. SPR seharusnya bertegas dalam hal-hal ini tanpa berasa takut kepada mana-mana pihak. Beliau juga menambah bahawa GATERA mendesak SPR menggunakan segala kuasa yang ada kepadanya untuk membetulkan keadaan yang tidak bermoral ini.

Print Friendly, PDF & Email