Ketua Gatera - Dr Shaharir Mohamad Zain

Tiadanya Kebebasan Akademik dan Bobroknya Dunia Akademik di Malaysia

Ringkasnya, kebebasan akademik ialah kebebasan penyelidikan, pengajaran-pendidikan dan penyuaraan (lisan atau tulisan) bisikan qalbu kecendekiawanan. Kebebasan ini terhakis sejak 1970-an dahulu sehingga kini tinggallah kerak-keraknya yang tipis sahaja. Bagaimana ini boleh berlaku?

Kakitangan akademik universiti awam di Malaysia sejak tahun 1974, menerusi penyemakan skema perkhidmatan baharu universiti di bawah Laporan Harun, diiktiraf sebagai kakitangan perkhidmatan awam kategori badan berkanun. Sejak itu jugalah kakitangan akademik terpaksa menerima skema perkhidmatan yang serupa dengan yang dinikmati oleh kakitangan awam, walaupun banyaklah penyetaraan ahli akademik dengan pegawai perkhidmatan awam itu yang tidak sesuai. Satu daripada yang paling tidak sesuainya ialah dipaksanya pemakaian “Perintah Am” kepada ahli akademik sedangkan peraturan yang terkandung di dalamnya ialah segala macam peraturan yang dianggap sesuai dan patut “tidak bolehnya” bagi seseorang “penjawat awam” itu bertentangan dengan tabii dan tatakerja seseorang ahli akademik. Ahli akademik adalah seorang penyelidik (pengkritik, penginovasi atau pembina ilmu), pengajar (penyampai ilmu secara bebasnya) dan cendekiawan masyarakat (pengkritik membina dan jurucakap masyarakat). Oleh itu kepatuhan kepada “Perintah Am” itulah bermulanya terpangkas dan tercantas dengan parahnya cara hidup seseorang ahli akadamik atau sarjana, iaitu bebas berfikir dan bebas bersuara secara lisan dan tulisan di khalayak mana jua yang difikirkannya layak hatta kepada ketuanya atau pihak berkuasa termasuklah kerajaan. Mereka perlu hidup seperti pekerja kerajaan yang sentiasa patuh pada ketuanya dan lebih-lebih lagilah pada kerajaan. Mereka perlu berhati-hati mengajar dan menggunakan ilmunya agar tidak dapat ditafsirkan sebagai mengandungi anasir yang bertentangan dengan “Perintah Am” itu.

Tidak cukup dengan “Perintah Am” itu, pada 1978 kerajaan mewujudkan lagi sebuah peraturan yang mengemaskan lagi apa-apa yang longgar, menutup apa-apa liang atau mewujudkan apa-apa yang tiada dalam “Perintah Am” itu menerusi satu lagi “perintah” yang dinamanya “Tatatertib Guru” . “Perintah” baharu ini memang ditujukan khas kepada para kakitangan akademik universiti (awam). Istilahnya pun sudah merosakkan tabii kakitangan akademik kerana kakitangan akademik bukannya seorang guru dalam pengertian patuh kepada guru besar atau pengetuanya dan mengajar benda yang sudah termapan kukuh (ilmu asas), menghabiskan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh pihak lain, walaupun pendekatannya masih patut juga secara kritis, inovasi dan kreatif yang sepatutnya dilakukan di universiti. Apa pun di dalam “Tatatertib Guru” inilah ditegaskan tidak bebasnya seseorang kakitangan akademik bersuara (lisan atau tulisan) dan bahkan tidak bebasnya ahli-ahli akademik berkumpul sehingga boleh ditafsirkan menggugat pihak berkuasa universiti, apatah lagi kerajaan. Semua kegiataan sebegini perlulah mendapat izin daripada Naib Canselor. Kebebasan akademik benar-benar terbongkas! Sejak itu ahli akademik tidak lagi patut menyuburkan dirinya sebagai seorang cendekiawan masyarakat. Satu daripada sektor kebebasan akademik, iaitu bebas bersuara (lisan dan tulisan) perlahan-lahan menuju ke arah kebungkaman. Akibatnya, kini amatlah sukar mendapati seorang ahli akademik yang mahu mengambil tahu tentang masyarakatnya, alam sekitarnya, atau tentang sesuatu dasar dari pihak berkuasa di peringkat mana sahaja bagi merelevankan ilmunya kepada masyarakatnya dan pihak berkuasa itu secara kritis dan kreatifnya. Bahkan mereka, walaupun dari dalam bidang ilmu kemasyarakatan, kemanusiaan atau keagamaan, enggan mengaitkan atau mengheretkan ilmunya dengan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya, seperti yang sepatutnya, kerana dihantui oleh “Perintah Am” dan “Tatatertib Guru” itu. Mereka benar-benar mahu berada di dalam dunianya sahaja, mengelakkan dirinya daripada masyarakatnya supaya jauh daripada terkena bahana “Perintah Am” atau “Tatatertib Guru” itu. Mereka hanya senyap-senyap berstrategi (mungkin juga berkumpulan tolong-menolong dan tenggek-menenggek) mendaki menara gading yang disediakan oleh pihak berkuasanya sahaja. Mereka hanya menumpukan kepada penyelidikan yang diswatapis (self censored) menggali telaga ilmunya sedalam dan sesempit mungkin kerana itulah yang disukai oleh ketuanya dengan pemberian pelbagai penyanjungan kebendaan dan bukan kebendaan.

Kemudian sejak sekitar belasan tahun kebelakangan ini pula, mereka lebih-lebih lagilah menumpukan kepada kegiatan menggali telaga itu “secara yang paling selamat” lagi dalam penyelusurannya ke menara gading itu akibat “Aku Janji” yang dipaksa menyetujuinya itu. “Aku Janji” ini seanalog sekali dengan istiadat para pegawai kerajaan Funan (Malayu kuno) abad ke-5 M dahulu yang dipaksa mengadap Barahmana dan Acharya di hadapan api untuk bersumpah setia sehingga, jika mereka ingkar kelak, sangguplah mengorbankan jiwa-raganya dan rela dilahirkan semula dalam tiga puluh dua naraka selagi ada Matahari dan Bulan. Itulah semangat yang dikehendaki oleh “Aku Janji” itu pun.

Perintah Am”, “Tatatertib Guru” dan “Aku Janji” menjadikan ahli akademik tidak lagi berfungsi atau berupaya untuk menghidupkan konsep kebebasan akademik itu, malah sebahagian besarnya menjadikan konsep itu tidak relevan lagi dengan dunia akademiknya. Kebebasan akademik ditimpa sakit teruk, dan tiadalah pula tempat untuk mengubati atau diubatinya; malah dibiarkan begitu sahaja menuju nazak!

Sementara itu ada pula sistem kepemerintahan atau tataperintah universiti yang menjadikan konsep kebebasan akademik itu memang tidak relevan lagi. Bagaimana kebebasan itu relevan jika semua kaedah perlantikan ketua-ketua pentadbir akademik dari ketua jabatan hingga kepada Naib Canselor tidak dilakukan secara beranasirkan demokrasi? Semuanya ditentukan oleh seorang-dua sahaja! Ketua jabatan dan dekan oleh Naib Canselor, manakala TNC oleh Menteri Pendidikan dan NC oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri; dan Lembaga Pengarah Universiti oleh Menteri Pendidikan atau Yang Di-Pertuan Agong (untuk Pengerusinya). Jika pun, pada akhir-akhirnya ini, ada dipaparkan unsur pendemokrasian itu tetapi ternyata itu hanya permainan wayang sahaja. “Perakuan ramai” atau “perakuan jawatankuasa pemilih” tidak semestinya diikuti oleh pihak berkuasa.

Selanjutnya, Senat yang secara rasminya dianggap kemuncak kuasa ahli akademik dalam menentukan apa jua hal akademik sudah lama (sejak tahun 1974 itu) tidak berkuku sedemikian. Sering kali persetujauan senat dalam penawaran kursus umpamanya tidak diluluskan oleh pihak berkuasa yang lebih berkuku daripadanya (Kementerian Pendidikan). Sudahlah demikian, sering kali pula senat dipaksa bersetuju memperakukan sesuatu kursus (dikategorikan kursus universiti) atau kaedah pengajaran (seperti Pembelajaran Berasaskan Masalah, ISO, penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu sehingga menjangkau kepada mata pelajaran pengajian Melayu) untuk dilaksanakan; atau penganugerahan ijazah kehormat kepada seseorang individu; penganugerahan ijazah sarjana atau D.Fal, bahkan perlepasan tangga-tangga ke menara gading itu pun (semuanya perlu persetujuan penilai daripada pihak Ketua Penyunting jurnal luar negara seperti jurnal ISI dan sebagainya). Semua ini memang tidaklah susah berlaku kerana ahli akademik sudah laih dan sudah tidak kesah lagi dengan hal yang dianggapnya tiada relevan dengan titian ke menara gadingnya (akibat lamanya dibelenggu oleh 3 jenis rantai kongkongan jiwa dan hati budinya yang telah disebut di atas).

Dengan senario kedudukan dunia akademik dan sistem tataperintah universiti yang diperihal di atas, maka apa yang berlaku pada Prof. Ridzuan di UM baru-baru ini adalah suatu yang bersahaja berlakunya. Kebanyakan ahli akademik sendiri pun sama ada tidak tahu kejadian ini (kerana berada dalam telaga dalamnya), tak kesah, atau yang sudah sentiasa dengan pihak kuasawan (iaitu ahli akademik profesional, atau dalam bahasa yang agak kasarnya ahli akademik upahan) cuba berteori atau berhujah mempertahankan keadaan itu. Hanya seorang-dua yang menyuarakan kejengkilannya terhadap peristiwa itu tetapi tidak pula menyentuh isu yang besar yang mendasari kejadian ini seperti yang dibicara di atas. Hal ini sudah banyak kali berlaku dan berlakunya itu bukan di UM sahaja, cuma tidak menjadi heboh kerana individu, masa dan tempatnya tidak berada di seni taman politik sekarang. Selagi keadaan yang lebih asas yang diperihalkan di atas tentang kebebasan akademik itu tidak ditangani, khususnya rantai-rantai belenggu itu diputuskan dan sistem tataperintah universiti kini (warisan hampir setengah abad yang lepas lagi) direformasikan, maka tiadalah yang dapat diselamatkan lagi kedudukan dunia akademik kita daripada terus menerus ke tahap kebobrokan dan peristiwa yang sama dengan yang berlaku pada Prof Ridzuan itu akan berulang dari masa ke masa nanti.

Shaharir b.M.Z. (Dr.)
Ketua GATERA
17 Ramadhan 1435/15 Julai 2014

Print Friendly, PDF & Email