Nilai Budaya dan Pemerkasaan Ekonomi Melayu
Untuk suatu jangka masa yang begitu lama, rakyat Malaysia percaya bahawa perbezaan nilai dan budaya dalam negara ini wujud atas sebab perbezaan kaum. Contohnya, orang Melayu dikatakan mempunyai nilai-nilai tertentu seperti “sabar” dan “berterima-kasih” kerana itu adalah adat Melayu. Orang Cina pula dikatakan kebendaan (materialis) dan menyerbu (agresif) kerana itulah yang diajar dalam budaya Cina; begitu juga orang India dengan nilai India, orang asal atau pribumi dengan nilai mereka masing-masing yang tersendiri. Kepercayaan ini sebahagian besarnya dipelihara oleh Inggeris menerusi dasar pecah-dan-perintahnya yang kemudian diteruskan dalam pemerintahan pasca-merdeka melalui parti-parti politik berasaskan kaum. Amalan pecah-dan-perintah ini membawa banyak kerosakan kepada ekonomi negara dan sebenarnya tidak mempunyai tempat lagi dalam persekitaran semasa yang berhadapan dengan cabaran globalisasi. Bagi memecah kebuntuan ini, adalah amat penting masyarakat menyedari bahawa kebanyakan perbezaan nilai dan budaya di negara ini wujud atas sebab-sebab yang lebih mendasari berbanding dengan daripada perbezaan kaum semata-mata.
Menyusuri sejarah tamadun Tanah Melayu (Malaya; dahulunya dikenali sebagai Swarnabumi atau Nusa Kencana, kemudiannya Semenanjung Melaka, dan kini Semenanjung Malaysia) jelas bahawa kedatangan generasi awal Cina dan India ke negara ini sebagai saudagar, pelombong dan pekerja estet telah mempengaruhi kedudukan sosio-ekonomi mereka melalui taburan petempatan dan pekerjaan. Di awal pembentukan Malaysia, lebih 60% daripada penduduk bandar terdiri daripada etnik Cina; sementara Melayu, Pribumi, dan India dan lain-lain masing-masingnya membentuk kumpulan yang ketara minoriti. Pemusatan orang Melayu di kampung adalah sebagai petani kecil yang kebanyakannya menerokai bidang pertanian. Pada masa yang sama, orang Cina lebih tertumpu di kawasan perdagangan dan India pula di ladang dan estet yang dimiliki tuan-tanah. Polarisasi petempatan dan pekerjaan ini kemudiannya mempengaruhi faktor-faktor lain seperti kemudahan prasarana (infrastruktur), pendidikan dan pendapatan yang dinikmati oleh setiap juring (segmen) masyarakat tersebut. Dengan kata lain, orang Cina secara puratanya menikmati tahap pendidikan dan lain-lain kemudahan yang lebih baik berbanding dengan suku-suku kaum lain kerana kebanyakan mereka adalah masyarakat peniaga yang tertumpu di bandar. Ini membawa kesan yang positif kepada kadar pendapatan isi-rumah Cina. Pada masa yang sama, mereka juga terpaksa membiayai kos hidup yang lebih tinggi berbanding dengan suku kaum lain melalui cukai pendapatan, harga tanah dan bangunan, pengangkutan dan sebagainya yang jauh lebih mahal.
Bagaimanakah situasi tersebut boleh meninggalkan kesan ke atas nilai dan budaya masyarakat? Banyak kajian menunjukkan bahawa persekitaran ekonomi dan pekerjaan ada kaitan dengan gaya hidup dan sahsiah (personaliti) anggota masyarakat. Tekanan ekonomi di bandar membentuk gaya hidup dan watak (karakter) anggota masyarakatnya menjadi lebih menyerbu dan berkebendaan. Pada masa yang sama, tahap pendidikan dan capaian (akses) maklumat yang lebih baik menjadikan mereka lebih dinamik, progresif dan terbuka. Di kampung, keadaan sebaliknya berlaku. Akibat kos sara hidup yang relatif rendah, masyarakat luar-bandar tidak perlu sentiasa mengejar masa untuk meningkatkan pendapatan mereka dan rentak kehidupan menjadi lebih perlahan dan selesa. Dalam keadaan sebegini, nilai-nilai seperti “sabar” dan “berterima-kasih” lebih mudah terbentuk. Keadaan tersebut juga menyebabkan kebanyakan mereka terus berada dalam zon selesa dan cenderung mengekalkan status kuo. Jika dilihat dengan teliti, tren di atas berlaku secara meluas di seluruh negara. Pada bila-bila masa, perjalanan melalui mana-mana kampung dan desa menunjukkan masyarakatnya tanpa perkiraan kaum menjalani kehidupan yang perlahan dan seolah-olah terpisah dari tekanan ekonomi. Orang Melayu, Cina dan India umpamanya kelihatan duduk bersama di kedai-kedai kopi dan kaki-lima bersembang dan bertanya khabar itu dan ini. Sebaliknya pula, pada bila-bila masa, perjalanan melalui mana-mana bandar dan kota menunjukkan masyarakatnya tanpa perkiraan kaum menjalani kehidupan yang sibuk kerana dibelenggu kos hidup yang tinggi. Semua suku kaum kelihatan sama-sama berebut-rebut mengharung kesesakan lalu-lintas dan banjir kilat dalam membina kehidupan. Maka jika dilihat dengan teliti, sebab utama perbezaan gaya hidup dan nilai antara masyarakat di Malaysia adalah polarisasi pekerjaan dan petempatan, bukannya perbezaan kaum itu sendiri.
Dalam bidang ekonomi dan perniagaan, kesan nilai atau budaya ke atas pencapaian sesebuah masyarakat telah dibuktikan melalui kajian. Salah satu faktor nilai yang sering dikaitkan dengan pencapaian ekonomi ialah lokus kawalan (locus of control) yang bermaksud setakat mana masyarakat itu percaya bahawa kejayaan atau kegagalannya adalah disebabkan oleh usaha sendiri. Masyarakat yang percaya bahawa usaha sendiri adalah faktor utama kejayaan atau kegagalan mempunyai lokus kawalan dalaman; sebaliknya, mereka yang mempunyai lokus kawalan luaran menganggap bantuan dan sokongan pihak lain sebagai faktor utama kejayaan atau kegagalan. Lokus dalaman sering dikaitkan dengan ciri-ciri seperti berani, berdikari dan bertanggungjawab, inovatif, dinamik dan proaktif. Sebaliknya, lokus luaran membawa kepada sikap suka menyalahkan orang lain, tidak bergerak tanpa arahan dan takut mencuba kerana ingin mengelakkan kesilapan.
Lantaran itu, dari segi ekonomi, terdapat dua tren yang boleh diamati tentang sesebuah masyarakat berdasarkan lokus kawalannya. Pertama, masyarakat yang mempunyai lokus kawalan dalaman biasanya lebih berjaya ekonominya berbanding mereka yang mempunyai lokus kawalan luaran. Kedua, masyarakat yang biasanya mempunyai lokus kawalan dalaman ialah masyarakat peniaga atau usahawan sementara mereka yang bekerja “makan gaji” biasanya mempunyai lokus kawalan luaran. Logiknya, berbanding dengan kumpulan lain, masyarakat usahawan lebih yakin bahawa kejayaan dan kegagalan ditentukan oleh usaha sendiri dan keyakinan itulah yang mendorong mereka berusaha lebih gigih lalu membawa kepada pencapaian ekonomi yang lebih baik. Maka tidak hairanlah jika bidang keusahawanan atau perniagaan dilihat sebagai kunci kecemerlangan ekonomi di kebanyakan negara maju dan membangun.
Dapatan kajian di atas tekal (konsisten) dengan perspektif Islam mengenai perniagaan sebagai sumber utama rezeki. Selain daripada banyaknya galakan Islam terhadap umatnya supaya berniaga seperti firman Allah dalam Surah al-Jum‘aht, ayat 9-11; dan Surah al-Baqarah, ayat 275, ada pula riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang mengangkat martabat perniagaan dan masyarakat peniaga sebagai pekerjaan dan kelompok manusia yang istimewa:
“Berniaga itu sembilan per sepuluh sumber rezeki.” (Riwayat Tirmizi)
“Mata pencarian paling afdhal adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan dari hasil usaha tangan sendiri.”(Riwayat al-Bazzar dan Ahmad)
“Peniaga yang jujur dan amanah akan ditempatkan di akhirat bersama para nabi, saddiqin dan syuhadah.”(Riwayat Tirmizi)
Masyarakat peniaga atau usahawan mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam bukan hanya kerana sumbangan ekonomi yang mereka berikan melalui zakat, sedekah dan waqaf, tetapi juga peranan yang mereka mainkan sebagai pendakwah. Di negara ini, contohnya, Islam mula tersebar seawal kurun ke-12 melalui saudagar Arab (Ada berpendapat dari Parsi atau Hindia, bahkan Benua Cina) yang berhijrah ke sini lalu membuka petempatan dan madrasah, selain dari pusat perdagangan. Dalam Islam, seorang usahawan diangkat martabatnya sebagai manusia yang istimewa kerana beliau amat berdikari dan berjiwa merdeka, tidak meminta-minta malah mampu membantu orang lain, berani berhijrah jasmani dan fikri (mental) serta mengambil risiko dalam melaksanakan perubahan, dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Menurut teori pengurusan barat, nilai-nilai sebeginilah yang dimaksudkan sebagai lokus kawalan dalaman.
Jadi, apakah ertinya semua ini dalam konteks pembangunan ekonomi? Secara amnya, nilai masyarakat mempengaruhi dasar kerajaan dan faktor-faktor lain seperti aplikasi maklumat dan teknologi, kualiti modal insan dan daya saing negara yang seterusnya menentukan pendapatan serta taraf hidup masyarakat. Campur tangan negara (State intervention) dalam merealisasikan dasar ekonomi negara banyak dimanifestasikan dalam bentuk insentif perniagaan dan penswastaan. Namun, walaupun secara teori, insentif dan penswastaan sepatutnya membawa beberapa kebaikan, kelemahan dalam pelaksanaan strategi akhirnya menyebabkan rakyat tidak dapat menikmati kebaikan tersebut. Dalam hal penswastaan, bukan sahaja beban ekonomi rakyat semakin meningkat, malah kualiti perkhidmatan kadang-kala lebih buruk berbanding perkhidmatan awam kerana kelemahan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang. Selain itu, masalah juga wujud dalam pemilihan projek penswastaan yang disertai dengan amalan fahaman perlindungan atau perlindunganisme (protectionism) yang tidak sihat. Pemberian insentif perniagaan juga dihurung pelbagai kelemahan dalam pelaksanaan termasuk pemilihan syarikat yang benar-benar layak dan penguatkuasaan terma-terma pemberian insentif tersebut. Sesetengah pakar ekonomi menggelar amalan ini sebagai ekonomi politik (political economy) atau penaungan politik (political patronage), sementara masyarakat umum mengenalinya sebagai kronisme.
Umum mengetahui bahawa banyak projek penswastaan di negara ini dilakukan melalui syarikat berkaitan-kerajaan (SBK) atau government-linked companies (GLC) seperti Petronas, PROTON, MAS, dan lain-lain. Secara dasarnya, penswastaan melalui GLC dapat meningkatkan penglibatan golongan Bumiputera dalam sektor perniagaan samada sebagai pemegang saham atau kumpulan pengurusan tertinggi. Peningkatan ini dipercayai akan merapatkan jurang pendapatan antara kaum, seterusnya membantu mencapai objektif DEB. Namun, dari segi pelaksanaan, penswastaan melalui SBK/GLC telah membawa kepada beberapa amalan perlindunganisme seperti pemberian projek secara terus yang meningkatkan kebergantungan masyarakat usahawan kepada kerajaan seraya mengehadkan potensi keusahawanan mereka.
Salah satu contoh paling jelas ialah PROTON. Pada dasarnya, SBK/GLC ini diasaskan untuk menyemarakkan industri automotif negara melalui konsep payung yang memungkinkan usahawan tempatan, terutamanya Bumiputera, berpeluang membekalkan komponen kereta yang diperlukan oleh PROTON dalam produk akhir. Projek nasional ini juga bertujuan membantu usahawan dan industri tempatan untuk menembusi pasaran automotif antarabangsa. Malangnya, disebabkan amalan perlindunganisme dalam bentuk tarif import tinggi yang dikenakan ke atas kereta-kereta asing, PROTON sejak dari awal operasinya telah dilindungi daripada keperluan bersaing dengan sihat dengan pengusaha kereta antarabangsa. Sebagai balasan, PROTON menawarkan permintaan yang terjamin ke atas komponen keluaran tempatan, khususnya Bumiputera, dan terpaksa menanggung risiko kerugian sekiranya produk akhir tidak terjual. Amalan ini telah membawa kepada dua masalah iaitu: pertama, ia menjejaskan daya saing dan keuntungan PROTON sebagai sebuah entiti perniagaan dan kedua; ia membentuk lokus kawalan luaran di kalangan usahawan Bumiputera yang menjadi pembekal kepada PROTON lalu menggalakkan mereka kekal terus dalam zon selesa.
Dalam persekitaran global yang semakin berpersaingan (kompetitif), inovasi menjadi asas kepada pembangunan daya saing negara. Bagi industri automotif, penaungan politik dalam bentuk tarif impot yang melampau menyebabkan permintaan domestik ke atas kereta tempatan menjadi tinggi hanya kerana kereta impot tidak mampu dibeli oleh rakyat negara ini. Pencapaian PROTON sebagai pemegang syer tertinggi dalam pasaran automotif negara tidak membawa makna dari segi kualiti mahupun kos pengeluaran, dan ini jelas dilihat berdasarkan kegagalan PROTON untuk menguasai pasaran luar, walaupun hanya di rantau Asia. Sementara pengusaha kereta Jepun dan Korea membina daya saing melalui inovasi rekabentuk, kadar penggunaan petrol yang cekap (efisyen) dan harga produk yang rendah, pengusaha tempatan gagal membina sebarang kelebihan pasaran atau ceruk pasaran (market niche) dalam persekitaran ekonomi global.
Pada masa yang sama, lokus kawalan mempengaruhi keyakinan seseorang usahawan dalam menentukan kejayaan hidupnya sendiri. Walaupun secara teori masyarakat usahawan sepatutnya mempunyai lokus kawalan dalaman, amalan perlindunganisme lazimnya akan menyongsangkan nilai tersebut menjadi lokus kawalan luaran. Dalam hal ini, oleh kerana SBK/GLC banyak melibatkan usahawan Bumiputera, golongan inilah yang akan banyak terjejas dan dibelenggu oleh nilai keusahawanan yang songsang itu. Kesannya, usahawan Bumiputera gagal mendapat manfaat daripada nilai keusahawanan yang tulen dan seterusnya memaksimumkan prestasi perniagaan mereka. Di peringkat makro, kegagalan ini boleh menyumbang kepada masalah jurang pendapatan isi-rumah antara kaum seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Dari contoh di atas, jelas dilihat bahawa amalan perlindunganisme yang melampau telah membina kefikrian (mentaliti) usahawan yang janggal dan sebenarnya lebih menjurus kepada kefikrian “makan gaji” terutamanya di kalangan peniaga Bumiputera. Masyarakat yang mempunyai lokus kawalan luaran lazimnya mempunyai tahap inovasi rendah kerana inovasi memerlukan keyakinan diri yang tinggi untuk mengambil risiko dalam melaksanakan perubahan. Tanpa inovasi, perkembangan ekonomi sesebuah masyarakat akan terbantut (kepentingan inovasi dalam membina daya saing akan dibincangkan dengan lebih terperinci kemudian). Justeru lokus kawalan luaran ini, jika diwarisi oleh generasi masa hadapan, akan menjadi kitaran nilai yang membawa kepada pemisahan terus-menerus masyarakat Bumiputera dari arus pembangunan ekonomi negara.
Pemerkasaan ekonomi Melayu seharusnya telah bermula sebaik sahaja Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Mengambil-kira kepelbagaian etnik di negara ini terutama sekali selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, usaha ini sepatutnya disandarkan kepada konsep kebersatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity). Lima prinsip Rukun Negara menggariskan perkara-perkara asas yang menyatu-padukan rakyat negara ini dengan tidak mengira perbezaan demografi seperti kaum, agama, pendidikan dan sebagainya. Khususnya dari perspektif budaya, perpaduan bangsa atau kebersatuan nasional (national unity) tidak bermaksud mana-mana kumpulan etnik harus hilang identiti mereka. Ini adalah kerana perpaduan tidak sama maksudnya dengan asimilasi, iaitu suatu konsep yang sering menghasilkan budaya kancah peleburan (melting pot) seperti di barat yang mengaburkan identiti etnik dan agama. Sebuah bangsa yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia perlu boleh bersatu-padu dengan mendokong nilai semesta (universal) yang sama dengan tidak mengorbankan perincian dalam menterjemahkan nilai tersebut. Contohnya, prinsip Rukun Negara yang pertama, iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan” terpakai dan wajar dihormati oleh semua kumpulan masyarakat tanpa perkiraan cara kepercayaan itu diterjemahkan dalam kehidupan harian mereka. Jika ini diamalkan, masyarakat Islam, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya boleh bersatu kerana penghormatan terhadap prinsip ketuhanan itu sendiri walaupun masing-masing menzahirkan pengabdian kepada Tuhan dengan cara yang amat berbeza.
Namun, untuk ini berlaku, rakyat memerlukan kepimpinan yang boleh melaksanakan beberapa perubahan drastik di setiap peringkat pengurusan dan organisasi dalam negara. Dari segi ekonomi, usaha mempertingkatkan taraf kehidupan serta merapatkan jurang antara lain-lain juring masyarakat berkait-rapat dengan dokongan rakyat terhadap nilai semesta yang sama. Menolak rasuah, mengurangkan pembaziran, menjalankan tanggungjawab dengan ikhtisas (profesional) – semua ini adalah sebahagian daripada nilai yang boleh dan mesti diperjuang dan diamalkan oleh setiap golongan masyarakat untuk menyelesaikan kemelut ekonomi negara. Maka cabarannya sekarang ialah untuk menyemai nilai-nilai tersebut di kalangan masyarakat dengan cara yang bersepadu supaya seluruh rakyat menuju ke arah matlamat yang sama. Dalam hal ini, rakyat perlu disedarkan bahawa zaman jaguh kampung yang berasaskan persaingan antara Melayu dan bukan-Melayu sudah lama berlalu. Era globalisasi yang bermula pada 1980-an telah mencipta persekitaran baharu yang mewujudkan persaingan sebenarnya, iaitu persaingan di peringkat internasional, dan bukan lagi intranasional. Menyemai kesedaran ini di kalangan rakyat dan mengubah paradigma mereka merupakan cabaran paling besar yang perlu dipikul oleh golongan pemimpin tetapi ia tidak mustahil sekiranya ada kesungguhan politik yang kental. Negara memerlukan kepimpinan yang berani menyatakan kebenaran dan melaksanakan perubahan, yang tidak lagi bermain kata hanya untuk melunakkan pendengaran penyokong tradisi mereka.
Dr. Aida Idris
Profesor Madya, Jabatan Dasar dan Strategi Perniagaan
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.
+ Dipetik dari bab “Ekonomi dalam era globalisasi: Meninjau kesan dasar dan nilai” dalam buku Aida Idris & Abu Hassan Abdullah (Pnyut.), Membina Bangsa Malaysia terbitan Strategic Information Research Development Centre 2012.
%%%%% Makalah pilihan GATERA bil.6 (diterima GATERA 4 Okt. 2013) %%%%%