skp-shaharir

Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan – Bhgn 2

Bhgn 1 | Bhgn 2 | Bhgn 3

(Sambungan dari Bhgn 1)

Apa lagi konfliknya? Ada beberapa lagi yang terasnya yang akan diperkatakan di bawah ini.

  1. Konfliknya Pembangunan sebagai Pertumbuhan Ekonomi

Pertamanya, konsep pembangunan Barat yang asalnya tiadalah bertujuan untuk pertumbuhan ekonomi seperti yang berlaku sekarang. Ekonomiawan Barat sekali pun sering mengkritik berleluasanya penyamaan pembangunan dengan pertumbuhan. Malaysia jelas melakukan penyamaan ini. Pengejaran kadar pertumbuhan negara menerusi pembangunan mewujudkan sesektor penyerta pembangunan itu bersenang-lenang tetapi pada sektor lainnya yang lebih besar lagi berlinanganlah air matanya. Rist (2009), dalam buku sejarah pembangunannya, berhujah pembangunan beginilah yang berlaku selama ini (pra-2009 lagi) yang menjadikan hasil pembangunan itu tidak lebih daripada sebuah “delusi ijmak” (khayalan sepakatan) yang kenyataannya hanya menghasilkan hubungan pasaran yang meluas sahaja, dan mereka inilah yang bersenang-lenangnya sedangkan yang lainnya berlinanganlah air matanya. Beberapa tahun daripada itu memang ramai sarjana yang mengkritik tentang adanya konflik yang parah dalam pembangunan dan contoh sarjana itu yang sering diketengahkan ialah Postel (1990) kerana sekaligus beliau mengesyorkan supaya ilmu ekonomi (economics) sekarang yang dianggapnya begitu tidak peduli kepada keseimbangan ekologi ditukar namanya kepada eco-nomics dengan maksud eco daripada ecology (mungkin diMelayukan juga sebagai eko-nomi), ada sempang selepas eco/eko itu bagi membezakan eco/eko dalam economics/economy dalam bahasa Inggeris atau ekonomi dalam bahasa Melayu yang asalnya drp oiko perkataan Yunani yang diLatinkan oeco dan bermakna “rumah tangga”).

Sandra Postel @ 2010 (Wikipedia)

Sandra Postel @ 2010 (Wikipedia)

Istilah eco-nomic tajaan Postel itu memang tidak laku kerana kekeliruannya yang jelas dengan istilah yang sedia ada. Sehingga kini hanya beberapa buah makalah dan buku sahaja yang berjudul mengandungi istilah ini dan buku yang terlarisnya ialah oleh Bartlelmus (2008) yang sudah beberapa kali diulangcetak atau disunting semula. Namun buah fikirannya amat berpengaruh dan menjalar dalam segenap bidang ekonomi sekarang. Postel memberi contoh bagaimana pemimpin negara dan sekelompok pemodal atau niagawan akan bersenang-lenang jika sesebuah projek pembangunan dilaksanakan dengan akaun kekayaan negara dilakukan seperti biasa yang berikut:

Pertumbuhan ekonomi amat rapat dengan sukatan penuding prestasi ekonomi terkenal , Keluaran Negara Kasar (KDNK). Peningkatan KDNK (sering dikaitkan dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi) dianggap kesihatan negara berkenaan bertambah baik dan sekaligus diandaikan rakyatnya pun bertambah senang-lenang. Postel berhujah tidaklah demikian halnya kerana kesilapan dalam perakaunan KDNK itu, iaitu tiadanya penolakan susut nilai dalam hisab KDNK itu akibat pembangunan itu. Tiadalah hisab susut nilai terhadap hutan, tanah-tanih, mutu udara, dan kurniaan alam tabii yang lain akibat “pembangunan” yang menjana kekayaan itu. Kita boleh tambah lagi perkara susut nilai akibat pembangunan ini seperti perihal kebudayaan (yang boleh ditakrifkan dengan agak tepatnya sebagai agama, ilmu, dan bahasa atau boleh diaksiomkan sebagai “agama” sahaja) yang lagi terkeluar dalam perakaunan KDNK itu. Hakikatnya, kekayaan tabii daripada semua jenis benda (daripada hasil pembangunan) menguncup tanpa munculnya kehilangan atau kerugian itu dalam akaun negara. Contoh yg diberi oleh Postel ialah tentang pemotongan balak yang hasilnya dikira sebagai pendapatan lalu dimasukkan ke dalam hisab KDNK itu, tetapi tiadalah penolakan atas penyusutan nilai hutan berkenaan yang menjadi aset ekonomi yang dapat memberi hasil negara kelak, jika diurus dengan baiknya. Akibatnya, hisab KDNK itu berupa pendapatan dan kekayaan yang dikembungkan (diinflasikan) sahaja sehingga mencipta suatu silap mata atau ilusi tentang lebih bagusnya negara/rakyat berkenaan berbanding dengan sebenarnya dan boleh melestarikan aras konsumpsi yang lebih tinggi daripada yang mungkin sebenarnya. Pendeknya, model ekonomi yang bersaskan pada pembangunan tidak peduli kepada persoalan keadilan dan kebersesamaan pengagihan nikmatnya atau sengsaranya. Pembangunan selalulah tidak menghiraukan keadaan berlakunya sesebuah pelaburan yang menghasilkan satu pulangan bersihnya, tetapi akibatnya sekumpulan yang secara nisbahnya sudah berada akan bertambah senang-lenangnya tetapi yang tidak berada akan bertambah kurang beradanya hingga berlinanglah air matanya. Pelaburan tetap dilakukan dan projek pembangunan begitu akan tetap diteruskan sambil diretorikkan projek itu mempromosikan progres . Itu konflik besarnya!

  1. Aksiom Manusia Homoeconomicus Berkonflik dengan Ummatanwwasatdan

Homo Economicus

Teori pembangunan yang sedia ada berasaskan pada teori ekonomi berlandaskan aksiom manusia ini makhluk homoeconomicus (Bahasa Latin yang dikekalkan dalam istilah ekonomi dalam Bahasa-bahasa Eropah termasuk Inggeris), yang bererti makhluk yang rasional yang sentiasa merasionalkan keperluan pulangan yang paling tinggi atau istilah keramatnya optimum atau maksimum. Malah ilmu ekonomi sekarang ditakrifkan sebagai ilmu selok-belok membuat sesuatu atau menghasilkan sesuatu secara optimum, ringkasnya ilmu pengoptimuman. Istilah optimum itu berasal daripada Latin optimus yang bermakna “paling baik” atau “terbaik” yang diartikulasikan menerusi matematik pengoptimuman dengan takrif keoptimuman sebagai keadaan yang ekstrim atau melampau, iaitu maksimum (=paling tinggi nilainya) atau minimum (=paling rendah nilainya), atau yang jarang digunakan, maksimum dan minimum hampir serentak berlaku (dinamai titik pelana). Penggunaan matematik pengoptimuman mengaburkan mata dan melemahkan hati hampir semua orang termasuk sarjana dunia bahawa kononnya konsep “optimum” itu bersifat semesta, neutral atau bebas nilai dan bebas budaya. Sudah lamalah sarjana yang mengkritik pembangunan terlepas pandang bahawa satu daripada punca yang menghasilkan senang-lenang dan berlinangnya dalam pelaksanaan pembangunan ialah ialah penerimaan kepada konsep “paling baik” itu ialah optimum. Kefahaman inilah yang menjadikan para pelaksana pembangunan itu tidak berhati mulia tetapi bersifat individualis, egois, rakus, tamak dan sebagainya. Bagi orang Islam pun sudah lama menghayati nilai pengoptimuman ini sehingga sudah terlupalah ajaran agamanya yang tidak pernah mengiktiraf manusia atau insan homoeconomicus bahkan mengajar aksiom kemanusiaan atau keinsanan yang istilahkan sebagai ummatanwwasatdan yang mengajar doktrin “paling baik itu ialah wusta” yang secara kebetulan dirakamkan dalam peribahasa Melayu sebagai doktrin keberpadaan , “buat baik berpada-pada”. Doktrin ini (sepatutnya sudah lama) mendesak sarjana Muslim khususnya supaya merevolusikan teori pembangunan yang berasaskan ilmu ekonomi berpaksikan pengoptimuman kepada yang berpaksikan pewustaan. Sarjana Muslim perlu mengartikulasikan makna wusta (wustdo, wasatdiyyah) sehingga matematik pengoptimuman dapat digantikan dengan matematik pewustaan. Permulaannya sudah dilakukan oleh Shaharir (2005, 2006, 2011, 2013), iaitu takrif popular wusta sebagai pertengahan atau sederhana bahkan purata pun tidak tepat, malah kefahaman itu tidak berdaya untuk dimatematikkannya sebagai alternatif kepada pematematikan konsep optimum itu. Wusta ialah yang adil dan seimbang yang lebih halus lagi sehinga matematiknya lebih canggih dan kusut daripada matematik purata dan sebagainya itu (Lihat juga Umbaian makalah ini)

  1. Konflik dalam Pembangunan Terlestarikan

Kesedaran dan keinsafan sarjana terhadap banyaknya konflik pembangunan itulah yang menimbulkan konsep dan ilmu serta amalan yang bukan sebarang pembangunan tetapi pembangunan yang mampu sekurang-kurangnya mempertahankan apa-apa yang bagus sekarang sehingga generasi demi generasi yang akan datang; dan pembangunan ini dinamai “pembangunan terlestarikan” (sustainable development). Konsep pertamanya pembangunan ini muncul pada tahun 1987 berpaksikan pada laporan suruhanjaya pembangunan anjuran Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipengerusikan oleh Brundtland lalu dikenali sebagai Suruhanjaya Pembangunan Terlestarikan Brundtland.

Kg Abdullah Hukum @ 2007 (Wikimedia)

Kg Abdullah Hukum @ 2007 (Wikimedia)

Oleh sebab pelaksanaan pembangunan telestarikan tidak pernah berjaya (atau mencapai sasaran yang ditetapkan hingga kini pun walaupun sudah banyak kritikan dan penambahbaikan projek ini seperti yang telah disorot oleh Shaharir (2012a) maka dikenalpastilah puncanya ialah teori ekonomi yang banyak mengabaikan atau terlepas pandang akan sifat-sifat azali manusia atau insan yang lebih tepat bukannya menerima homoeconomicus itu. Umpamanya konsep keterlestarian yang diterimapakai sehingga kini ialah “perancangan ekonomi bermultimatalamat sehingga tercapainya matalamat-matalamat itu seoptimumnya” . Punca besar konfliknya ialah penetapan matalamat dan kepercayaan kepada konsep optimum itu. Matalamat ekonomi di mana jua pun rata-rata banyak ditentukan atau dipengaruhi oleh nilai homoeconomicus itu (bukannya ummatanwwasatdan) sehingga terabailah, terlepas pandanglah atau sengaja tidak dipedulikan ekologi dan alam sekitar, dan kebudayaan. Matalamat pembangunan ekonomi kita sekarang yang hanya bermatalamat tunggal, melahirkan rakyat yang berpendapat tinggi, pastinya tidak pun memenuhi matalamat pembangunan terlestarikan berasaskan homoeconomicus sekalipun. Pembangunan selama ini pun tidak pernah diasaskan atau dinilai berasaskan manusia ummatanwwasatdan, iaitu pembangunan bermultimatalamat yang bertujuan melestarikan tiga unsur penting makhluk (yang memang sering dikhutbahkan tetapi tidak pernah dipedulikan oleh pihak yang berwajib,ilmuwan dan kuasawan): harta, keselamatan dan agama (terutamanya perkara terakhir itu). Pembangunan kita selama ini sentiasa menyusutkan harta umat berkenaan (biasanya tanah atau rumah atau hasil-mahsul tabii). Lihat sahaja nasib harta umat di Taman Midah (peneroka Felda), di Damansara (orang asal), Kg Abdullah Hukum dan Kerinci,…… harta bertaraf Rezab Melayu (sudah 60% hilang),…. Senarainya cukup memberlinangkan air mata walaupun memang ada yang melonjak senang-lenangnya. Agama lagi teruklah! Agama sebenarnya melibatkan ilmu dan bahasa. Huntington (1993) menyamakan agama dengan kebudayaan dalam makalah/teori terkenalnya “the clash of civilization” (temakan/tembungan tamadun), Rosenthal (1972) menyamakan ilmu dengan iman dalam karya agungnya “Knowledge Triumphant” (Keagungan Ilmu), dan ahli epistemologi dan ahli linguistik yang dimulai oleh Hamboldt, diikuti oleh sarjana lebih besar lagi seperti Heidegger dan Chomsky, dan yang mutakhir ini Boroditsky dan Deutscher yang semuanya diulas dan diperkukuhkan lagi menerusi epistemologi matematik oleh Shaharir (2012b) menegaskan besarnya peranan sesuatu bahasa dalam penciptaan ilmu sehingga menerbitkan doktrin “bahasa penemu ilmu”. Pembangunan kita sudah semakin mengkerdilkan, kalau belum memupuskan makna “agama” sebegini, iaitu iman umat semakin terpisah dengan kehidupannya, budaya dan bahasa Melayu semakin termelukut/dimelukutkan, dan ilmu warisan Melayu semakin tidak diketahui/mahu tahu (tertimbus/ditimbus, terfosil/difosilkan). Apabila Kampong Banda Dalam ini dibangunkan nanti mungkin sekali nama kampong ini ditiadakan lagi dan muncullah seperti Banda Villa seperti yang telah berlaku merata tempat seluruh negara, dan ini lebih baik daripada hilangnya Bukit Bintang (menjelma Star Hill). Keselamatan tidaklah perlu dibicarakan lagi. Pembangunan yang menjanjikan penyediaan pekerjaan yang berjebah, kehidupan yang lebih menyenang-lenangkan,…berkonflik dengan perkara-perkara yang lebih asas di atas. Pembangunan manakah yang umat ingini?

Slogan Kebahagiaan Bhutan @ 2010 (Wikipedia)

Slogan Kebahagiaan Bhutan @ 2010 (Wikipedia)

Dunia kini inginkan pembangunan kebahagiaan . Sarjana ekonomi dunia pun sudah meninggalkan sains ekonomi kini yang dilabelnya sains menyedihkan (dismal science) dan gantinya sedang membina sains (ekonomi) kebahagiaan walaupun mereka mencari-cari makna perkataan itu tetapi yang jelasnya kebahagiaan berasaskan “pendapatan” sahaja tersasar. Sukatan kebahagiaan yang terbit saban tahun yang dibuat oleh berbagai-bagai pihak itu hanya berasaskan pada soalan seperti “Adakah anda rasa lebih bahagia tahun ini daripada tahun-tahun yang lepas?” , dan “Adakah penambahan pendapatan anda tahun ini mengubah rasa kebahagiaan anda”; ada yang berasaskan lama hidup, lebih berdaya pengeluaran dan kebaikan warganegara; dan ada yang lain lagi seperti penyelidik berasas di Paris menilai kebahagiaan berasaskan 11 perkara daripada kesihatan, pendidikan, kerajaan tempatan, keselamatan diri, kepuasan hati dengan kehidupan, pendapatan dan kesejahteraan amnya.   Gegerlah seluruh dunia (lebih-lebih lagi di kalangan ahli ekonomi) apabila mereka mendapati negara Bhutan adalah antara negara teratas yang bahagia, orang Masai lebih bahagia daripada jutawan atau srijutawan/bilionawan, orang akan tidak berubah rasa kebahagiaannya apabila pendapatannya sampai pada suatu tahap ambang (lihat Max-Neef 1995 dan Diener & Seligman 2004) seperti di Amerika Syarikat sekitar sebanyak US $ 16 ribu sebulan. (Di Malaysia belum diketahui). Ada pula tinjauan lain lagi yang menunjukkan Australia negara yang penduduknya paling bahagia, dan Malaysia mendapat kedudukan yang menggembirakan sesetengah ahli politik dan ahli ekonomi kita. Bangsa Bersatu pun membuat laporan tahunan (sejak dua tahun lepas) dan tahun 2013 menghebahkan negara paling bahagia di dunia ialah negara-negara di Skandinavia, AS berkedudukan 17, UK 22, Jerman 26 Jepun 43, China 93, Malaysia 56 (turun drp tahun sebelumnya 51 dan lebih rendah drp negara jiran: Singapura 30 dan Thailand 36 walaupun lebih baik drp Indonesia 76). Menariknya negara-negara industrik merosot kedudukannya berbanding dengan tahun sebelumnya. Paling buruknya Burundi, Rep. Afrika Tengah, Benin dan Tongo. Bangsa Bersatu juga membuat Jajak Gallup ke atas 10 ribu sampel dengan 5 soalan berkenaan dengan keseronokan semalam, rasa dihormati, cukup masa rehat, ketawa dan senyum dan akhirnya belajar perkara yang menarik. Didapati negara-negara Amerika Latin yang paling bahagia penduduknya. Memang ilmu ekonomi kebahagian masih dalam kekacauan!

  1. Pembangunan tidak berasaskan keperluan manusia setempat
Pembangunan-an 4 kampung (https://www.facebook.com/KampungWarisanKL)

Pem-bangunan-an 4 kampung (https://www.facebook.com/KampungWarisanKL)

Hampir setiap projek pembangunan dilakukan atas keperluan pemaju/pemodal sahaja dan mereka ini didorong oleh homoeconomicus-nya biasanya tidak melihat projeknya itu atas keperluan manusia di tempat pembangunan yang hendak dilakukan. Pembangunan semestilah dilakukan dengan penuh perundingan dengan penduduk berkenaan sehingga diketahui sepenuhnya perkara-perkara yang diingini oleh pnduduk berkenaan. Jika tidak, pembangunan yang terhasil tidak sekali-kali membangun manusia setempat malah manusia itu tersesar (ternyah dan diganti oleh orang lain sama sekali) dan berlinanglah mereka yang kononnya ingin dibangunkan itu. Manusia lain itu sahaja semakin bersenang-lenang, lebih-lebih lagi pemaju/pemodal itu.

  1. Pembangunan yang tiada pertimbangan sistem ekologi dan alam sekitar

Pembangunan yang menimbul konflik tradisinya ialah yang semestilah tidak membangun, malah memusnahkan, alam sekitarnya dan makhluk bukan manusia di situ, bahkan paling menaninyaya manusia asal yang mendiami hutan belantara itu. Contoh besar-besarnya, selain Rancangan FELDA dan kehilangan “hutan Simpan” , ialah pembinaan empangan tenaga hidroelektrik (demi pembangunan atau sinonimnya perindustrian) di Temenggor, Kenyir dan Bakun.

Bersambung di Bhgn 3, atau rujuk artikel penuh di bawah.

Bhgn 1 | Bhgn 2 | Bhgn 3

Artikel Penuh:
Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan*
Shaharir b.M.Z.
Pusat Dialog Peradaban
Universiti Malaya

*Makalah ini telah dibentangkan di Seminar Konflik Pembangunan anjuran PAKSI dan GATERA pada 25 Okt 2014 di Masjid Tarbiah, Kg Banda Dalam, Gombak, K. Lumpur