Kassim Muhamad

Paradoks pembangunan sungai: Membangun atau memusnah? – Bhgn 1

1.0 Takrif istilah

Tema seminar ini menyentuh persoalan ‘krisis’ dan ‘pembangunan’, dua patah perkataan yang menjadi kunci perbahasan. Mengikut Kamus Dewan, edisi ke-empat (2005: 830) krisis membawa maksud “keadaan tidak stabil atau tidak tenteram yang boleh secara tiba-tiba menyebabkan sesuatu kejadian (perkembangan, perubahan, dll), keadaan yang lazimnya mendatangkan kesan buruk, keadaan yang genting, kegentingan, ketegangan, keributan…”

Apa pula maksudpembangunan’? Kamus yang sama (2005:123) di bawah entri kata dasar ‘bangun’, dijelaskan sebagai “(1). perihal membangun, proses membangun (mencapai kemajuan dsb); (2). usaha atau kegiatan membangunkan (memajukan dan mengembangkan): ~luar bandar, ~ sistem; pembangun orang yang membangunkan, pembina.

Paradoks Kamus Dewan (20015:1139) menjelaskannya sebagai “sesuatu yang bertentangan dengan pendapat yang diterima umum: tampak kepada kita suatu ~ yang mencolok.

Kuala Lumpur

Kemajuan pesat menyemarakkan pembangunan

2.0 Kemajuan pesat ekonomi negara beberapa dekad lalu telah menyemarakkan pembinaan pelbagai prasarana yang ‘diperlukan’ demi untuk memacu terus pembangunan negara. Pembangunan pesat ini menyebabkan pertumbuhan pelbagai prasarana ‘penting’ sehinggakan segala sudut bandar seolah-olah tidak boleh terkecuali lagi dari sentuhan pembangunan ini. Maka anika jenis kompleks pun tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan sementara jaringan jalan raya berturap, berselirat, bertindan-tindan dan bersusun-susun ― mengingatkan kita kepada rambut berbisa Medusa. Sesungguhnya proses pembangunan telah membuat permukaan asal tanah di bandar botak&licin untuk diganti dengan permukaan bersimen atau aspal. Aneh tapi benar, tanpa disedari seluruh bandar yang telah diubah dengan hiruk pikuk pembangunan pesat itu membuatnya ranggi dan sombong; hinggakan akhirnya ia mengambil sikap apeduli terhadap alam semula jadi ― termasuk sungai dan lingkungannya.

Kesan pembangunan menghalang resapan air – lalu menyebabkan banjir

3.0 Salah satu kesan langsung ‘pembangunan pesat’ yang telah mengubah permukaan tanah kawasan tadahan bandar ialah meningkatnya kadar alir (baca: isi padu air hujan) yang perlu disalirkan oleh sungai setiap kali berlaku hujan lebat. Peningkatan kadar alir air ini berlaku kerana air hujan yang biasanya dan sebahagian besarnya dapat meresap dan merembes ke dalam tanah dipaksa mengalir terus ke dalam sungai. Permukaan aspal dan simen telah membantut proses resapan dan rembesan air ke dalam tanah. Akibatnya lebih banyak isi padu air hujan terpaksa disalirkan ke dalam sungai yang sedia ada. Dan peningkatan isi padu air hujan secara mendadak yang tidak mampu disalirkan dengan pantas menyebabkan air sungai melimpahi tebingnya. Oleh kerana fenomena ini berlaku begitu pantas sekali maka ia sering ditakrifkan sebagai banjir kilat.

Sg Tagol, Pensiangan

Banjir bukan sekadar masalah kuantiti tapi juga kualiti air

4.0 Di samping masalah banjir kilat akibat peningkatan mendadak kuantiti air hujan yang perlu tapi tidak mampu disalirkan dengan segera oleh sungai yang ada, masyarakat juga mengeluh perihal betapa hodohnya ‘wajah’ air sungai yang mengalir di dada kota mereka. Lalu berkatalah khalayak itu sesama sendiri ― sungai-sungai kota kita kerap dan ramah sekali menghidangkan teh tarik secara percuma. Habis bagaimana, kata mereka lagi, apakah mungkin air sungai yang sarat menggendong kelodak dan enapan akibat kerakusan kerja-kerja ‘pembangunan’ yang tidak terkawal dalam kawasan tadahan itu terus berupaya kekal jernih berkilat seperti keadaannya di pergunungan?

Ya memang betul, keruhnya air di tengah kota adalah petanda betapa parahnya keadaan dan kerja-kerja ‘pembangunan’ dalam kawasan tadahan sehinggakan air sungai yang terhasil dari rahimnya juga turut tercedera kualitinya. Ya, memang betul di samping kuantiti, kualiti air sungai menambahkan lagi masalah kepada sungai dan persekitarannya. Di samping kerja-kerja tanah yang tidak terkawal, kualiti air ini turut dipengaruhi oleh faktor-faktor pencemaran kerana pembuangan efluen oleh kilang-kilang, kerana sisa-sisa buangan bengkel-bengkel kereta motor haram, kerana pembuangan sisa-sisa makanan dari warung-warung, kedai-kedai makan dan medan selera.

Sesungguhnya apa saja yang kita hasilkan dalam kawasan tadahan akhirnya akan memasuki sungai sebelum ia dicurahkan ke laut. Maknanya jika buruk perbuatan kita (jangan lupa kita SEMUA adalah penghuni kawasan tadahan), maka buruklah jadinya kualiti dan kuantiti air yang kita nyahkan ke dalam sungai itu. Lalu apakah tidak benar, bahawa sebenarnya dan sesungguhnya setiap dari kita termasuk dalam golongan yang turut mendera sungai?

Banjir bukan semata-mata kerana sungai tidak cukup besar, lebar dan dalam

5.0 Walaupun punca-punca yang menyebabkan banjir itu bukanlah semata-mata disebabkan oleh ketidakmampuan sungai menyahkan air banjir dalam tempoh yang dikehendaki namun itulah punca yang sering diwar-warkan kepada khalayak. Sebenarnya penyelesaian yang menyeluruh, bersepadu dan cukup menentukan seperti pengurusan kawasan tadahan bersepadu adalah usaha yang disedari kepentingannya tapi malangnya tidak dikuatkuasakan dengan iltizam yang meyakinkan. Sebaliknya kawasan tadahan bandar-bandar besar terus juga dibangunkan dengan rakus; buminya menjadi keras, kaku dan tidak telap air. Ia berleluasa, seolah-olah tidak terkawal lagi. Pendek kata kerakusan membangun membawa padah. Kesan yang dihadapi akibat pembangunan yang sedemikian rupa ialah terjadinya banjir yang diatasi dengan melebarkan (jika rezab memungkinkan), mendalam atau membentengkan sungai. Dan dalam semua kerja kejuruteraan membangunkan sungai ini, komponen utamanya ialah kerja-kerja konkrit dan kerja-kerja tanah.

Sg Klang, KL

Pendekatan sehala dalam menyelesaikan masalah banjir

6.0 Menuang atau memasang bongkah-bongkah konkrit ke dalam sungai samalah seperti membunuhnya. Ini bukanlah sebuah metafora tapi itulah hakikat yang sebenarnya. Mustahil tidak ada yang tahu bahawa sesungguhnya di antara komponen penting sungai itu tanah, batu batan, pasir, kerikil, rumput rumpai, serangga, anak-anak ikan, berudu, udang, siput, cacing dan lain-lainnya? Inilah di antara makhluk dan pelbagai hidupan yang dihapuskan apabila sesebuah sungai itu dikonkritkan sehingga jadilah ia longkang yang besar. Sebenarnya kita tidak setuju malah membantah keras pendekatan satu hala (one-dimensional approach) dalam menangani masalah banjir. ‘Membangunkan’ sungai dengan mengkonkritkannya (baca:membunuhnya) demi untuk menjadikannya sebuah longkang yang cekap untuk menyahkan banjir bukanlah kaedah yang boleh dibiarkan berleluasa! Perlu ada kaedah lain yang lebih mesra alam, mesra hidupan yang boleh diterokai. Ertinya aspek-aspek bio-engineeringnya mestilah diperkemaskan dan dijadikan satu amalan wajib apabila sesebuah sungai mahu dibangunkan.

Banjir menyebabkan tekanan kepada rakyat dan kerajaan

7.0 Oleh kerana banjir kilat sering melanda bandar-bandar kita maka isu banjir kilat pun mendapat perhatian pelbagai lapisan rakyat. Masakan tidak, setiap kali hujan lebat datang menjerkah, mereka berkemungkinan besar terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang memerihkan kerana jalan rayanya sudah dinaiki air. Saking kerapnya jalan macet diserang banjir kilat, rakyat yang biasanya cukup sabar dan sentiasa saja bersyukur kepada Kerajaan yang baik-baik dan mesra rakyat tidak mampu lagi bersabar ― mereka resah gelisah kerana terlalu kerap berdepan dengan banjir kilat yang berulang-ulang. Mereka bimbang kerana setiap kali hujan lebat dalam tempoh secepat kilat pula, ada kemungkinan ia menelan ratusan buah kenderaan termasuk milik mereka. Rakyat yang marah kerana disusahkan oleh banjir kilat yang terlalu kerap melanda dan berulang-ulang membuat Kerajaan menjadi takut. Kerajaan yang takut dengan kemarahan rakyat menjanjikan ‘pembangunan’ yang bakal mengatasi masalah banjir kilat. Maka dengan apa cara sekali pun, projek pembangunan mestilah disuguh sesegera pula.

Banjir Kilat

Banjir kilat meresahkan rakyat

8.0 Umum dapat melihat kenapa ‘pembangunan’ sungai-sungai kita menjurus kepada usaha-usaha ‘menyelesaikan masalah’ berkaitan sungai ― menyelesaikan masalah banjir kilat setiap kali hujan melanda. Warga kota sentiasa dalam kebimbangan dilanda banjir mengejut setiap kali hujannya lebat. Ini tidak pelik kerana kehilangan harta benda, kerosakan dan kadang-kadang nyawa akibat banjir kilat cukup besar dan keadaan ini tidak boleh dipandang enteng. Itu belum lagi persoalan kehilangan masa, keselesaan dan kesusahan setiap kali terjadinya banjir. Maka kata mereka, sungai yang melimpahi tebing itulah punca masalah besar banjir di bandar-bandar besar. Oleh kerana itu tidak heranlah jika program/projek untuk atasi banjir menjadi program penting aturcara pembangunan kerajaan. Banyak peruntukan yang diagihkan untuk membangunkan sungai.

Projek sebagai kaedah menyelesaikan masalah

9.0 Projek-projek tebatan banjir dirancang, direkabentuk dan dibina untuk menebat banjir. Dewasa ini umum mengetahui bahawa saliran bandar sememangnya menjadi salah satu daripada fungsi utama Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS). Peranan ini menjadi penting akibat tragedi banjir besar yang melanda Kuala Lumpur dalam tahun 1971 ― maka sejak itu peranan menangani banjir pun menjadi salah satu tugas penting JPS.

Keadaannya berbeza di awal penubuhan JPS dalam tahun 1930an. Ketika itu oleh kerana masalah bekalan makanan yang tidak mencukupi untuk tanah jajahan menjadi salah satu cabaran besar kepada pihak British Malaya, maka JPS yang ketika itu baru saja dipisahkan daripada Jabatan Kerja Raya telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan prasarana pengairan untuk tanaman padi.

(Dua peristiwa bersejarah di atas menunjukkan hakikat bagaimana sesuatu masalah itu boleh bertukar dan ditukarkan menjadi peluang keemasan. Makanya kita sering dinasihatkan supaya tidak melihat sesuatu masalah itu sebagai beban kerana setiap masalah, jika dilihat dari sudut yang positif, sebenarnya adalah peluang dan kemungkinan baru.)

JPS menebat bukan atasi masalah banjir

10.0 Sayugia dijelaskan bahawa kata kerja paling popular digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir oleh JPS ialah ‘menebat’ (to mitigate) dan bukannya untuk ‘menyelesaikan’, ‘mengatasi’ atau ‘melawan’ masalah banjir. Sejak dulu para pemimpin JPS faham bahawa mereka tidak mungkin menundukkan apatah lagi ‘menawan’ banjir sepenuhnya. Mereka akur bahawa di sana ada lagi kuasa yang lebih besar yang menentukan kecil-besarnya magnitud banjir. Para jurutera yang merancang projek-projek tebatan banjir faham bahawa merancang sesebuah sistem saliran yang ‘sempurna’ melibatkan kosnya yang tinggi. Ini bermakna ada kemungkinan terdapat sebuah projek saliran itu ‘gagal’ mencapai tahap perlindungan yang diharapkan kerana kadar alir yang perlu disalirkan atau dinyah keluar dalam tempoh tertentu itu terlalu besar sehingga melebihi kadar alir yang telah dirancang. Ia melebihi nilai kadar alir yang digunakan untuk merekabentuk saiz sistem saliran sesuatu kawasan.

Pembangunan itu ‘azimat’

11.0 Sejak dahulu lagi rakyat negara ini rata-rata difahamkan oleh para pemimpin mereka bahawa pembangunan itu maha penting dan seolah-olah adalah segala-galanya. Maknanya pembangunan itu sebuah perkataan besar yang menjelma dalam pelbagai dimensi yang luas, penuh harapan dan kerap kali menerujakan. Terlalu luasnya ruang cakupan dan cengkaman ‘pembangunan’ itu dalam minda rakyat maka ia menjadi sepatah perkataan paling laris digunakan dalam medan perang politik negara ini. Ia sebuah perkataan keramat yang mula digunakan sejak merdeka sehinggalah sekarang ini. Dan anehnya, seluruh rakyat seolah-olah tanpa berfikir, percaya bahawa itulah azimat untuk mereka semua! Mereka percaya kepada pesta jual murah ala lampu ajaib Aladin bernama pembangunan.

Empangan

Sungai sebagai objek projek?

12.0 Apakah pemikiran yang kelihatannya lebih cenderung dipengaruhi oleh kemestian untuk mewujudkan projek-projek pembangunan demi memberikan kesejahteraan kepada rakyat itulah yang telah dipilih, ditentukan dan diterapkan dalam ‘membangunkan’ sungai-sungai kita? Apakah kita tidak boleh cenderung berpendapat bahawa itulah cara yang digunakan selama ini dalam mengurus dan membangunkan sungai-sungai kita? Sungai sebagai khazanah alam yang di dalamnya ada ‘hidup’ dan kehidupan yang pelbagai itu diperlakukan sebagai satu objek projek yang perlu dibangunkan ― satu objek-projek yang mesti dibangunkan dengan segera supaya kita maju?

Sungai ‘benda yang hidup’

13.0 Sungai itu sesuatu yang hidup walaupun tidaklah ia berlari di padang yang terbuka mencari pelangi di kaki langit, atau ke Port Dickson untuk berkelah dan mandi manda atau membeli belah di Leuven, Belgium. Namun ― yang jelas ― ia hidup. Ya, benar tidak ada sesiapa yang boleh menafikan hakikat bahawa ia hidup. Ia hidup dengan caranya sendiri. Kenapakah ia tidak diyakini sebagai sesuatu yang hidup sekiranya ia makan, minum, bernafas dan juga beranak pinak ― walaupun ia melakukan semua proses hidup ini dengan caranya sendiri? Jika ia hidup kenapakah mesti disia-siakan segala sungai di sekeliling kita? Kenapa?

Bagaimana sungai yang hidup itu ‘hidup’?

14.0 Dalam keadaannya yang semula jadi, belum lagi terusik dek tangan-tangan usil manusia, sesebuah sungai itu mungkin saja berbengkang bengkok berulang-ulang kali sebelum, akhirnya mengalir ke laut. Dari udara bengkang bengkoknya yang berulang kali itu mengingatkan kita kepada pergerakan malas seekor ular besar, terlalu kenyang. Itu profilnya sungai di kawasan landai; di kawasan pergunungan tempat ia bermula, lain pula sikap dan tingkah sesebuah sungai. Di pergunungan, airnya garang menerjah menjerkah tebing dan segala halangan di depannya. Ya betul, watak sungai itu berubah-ubah mengikut tempat ia berpijak; garang dan cergas di pergunungan, lemah longlai bersopan santun di kawasan dataran landai.

Bertebing ia ― kiri dan kanan ― aman damai, tenteram dan syahdu, dipayungi pepohon rimbun dan segala macam semak samun yang menghijau. Semak samun itu pun juga hidup lalu merayap melata ke segala ceruk tebing. Maka dalam persekitaran yang seperti itulah berteduhnya segala binatang seperti kera, beruk, ular senduk dan siamang.

Perangainya juga berubah mengikut musim; letih lesu tatkala diuji dera kemarau yang panjang tapi meletup-letup barannya bila bumi dicurahi hujan lebat. Namun tidaklah ia sampai membaruakan apa pun bentuk ujian kehidupan yang dihadapinya.

Tamparuli

Bagi sesetengah mata hati, sungai-sungai yang bengkang bengkok itu mencacatkan fungsi; misalnya fungsi mengatasi masalah banjir kilat sehingga matanya menjadi rabun apabila melihat sesebuah sungai itu bengkang bengkok penuh berseni seperti liuk lentuknya jari jemari penari Bali. Makanya yang bengkang bengkok ini juga perlu diurus; lurus-tegakkan supaya air lebih deras lekas dinyah ke laut. Demikian pemikiran tentang memperbaiki sungai. Biasanya inilah kerja yang gemar dilakukan oleh para jurutera yang melaksanakan pembangunan. Yang jauh dilurusdekatkan yang perlahan dimajulajukan.

Lagi bukti bahawa sungai itu hidup

15.0 Sungai sama seperti hidupan lain memberikan petunjuk dan isyarat apabila ia tidak sihat. Mereka yang mencintai dan mengkaji tahap kesihatan sesebuah sungai telah meneliti apa yang dinamakan hidupan dalam air tawar di sungai dan kolam (fresh water invertebrates of ponds and streams). Invertebrates yang dijadikan petunjuk tahap kesihatan sungai ini ialah nymphs, larvae, insects, crustacea, molluscs dan worms. Kewujudan hidupan ini mampu menceritakan apakah sesebuah sungai itu sihat atau sebaliknya. Sebenarnya kaedah yang lebih alamiah, mesra hidupan wajar dan perlu didedahkan kepada para teknokrat yang berurusan langsung dengan sungai. Para jurutera awam Jabatan Kerajaan yang tugasnya ‘membangunkan’ sungai perlu didedahkan kepada ilmu dan pengetahuan tentang sungai dan kehidupan yang berkaitannya. Mereka misalnya janganlah taksub dengan pencapaian dengan menyelesaikan masalah banjir sahaja. Di sebalik sebatang sungai itu ada pelbagai hayat yang mesti dikasihi dan mesti dilindungi.

SETERUSNYA: Lalu, harusnya bagaimana? (atau rujuk artikel penuh di bawah.)

Bhgn 1 | Bhgn 2

Artikel Penuh:
Paradoks pembangunan sungai: Membangun atau memusnah? (1)
Oleh: Dato’ Ir. Ahmad Fuad Embi(2)
Kassim Muhamad (3)

———————————————————————————————————————

(1) Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Krisis Pembangunan Hari Budaya 1 Muharram 1435H/25 Oktober 2014 Kampong Banda Dalam, anjuran bersama Madrasah Tarbiah, Kampoung Banda Dalam Jalan Gombak, Kuala Lumpur, GATERA dan Paksi.

(2) Dato’ Ir. Ahmad Fuad Embi, Timbalan Ketua Pengarah (B), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia

(3) Kassim Muhamad, GATERA.

Print Friendly, PDF & Email