Kassim Muhamad

Paradoks pembangunan sungai: Membangun atau memusnah? – Bhgn 2 (Akhir)

Bhgn 1 | Bhgn 2

(Bersambung dari Bhgn 1)

PENUTUP: Lalu, harusnya bagaimana?

16.0 MSMA, Manual Saliran Mesra Alam paradigma baru menangani banjir

Adalah tidak adil jika tulisan ini tidak menyentuh satu iltizam besar yang telah dilakukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dalam menangani masalah dan isu-isu banjir yang sering melanda bandar-bandar kita. Dalam bulan Januari 2001, kabinet secara rasminya telahpun meluluskan penggunaan Manual Saliran Mesra Alam atau MSMA untuk menggantikan manual lama berusia 30 tahun iaitu Manual Rekabentuk Saliran Bandar, Urban Drainage Design Manual untuk mengurus dan melaksanakan kerja-kerja saliran bandar.

MSMA Edisi Kedua

MSMA Edisi Kedua (Sumber: water.selangor.gov.my)

Buku panduan atau manual MSMA yang mengandungi 48 bab ini menyentuh aspek-aspek yang antara lain termasuk latar belakang pelbagai proses-proses alam seperti hujan, kitaran hidrologi dan pengaruh alam sekitar, ilmu-ilmu hidrologi, kejuruteraan, hidraulik, pembinaan, kerja tanah, aspek-aspek institusi dan perundangan, kawalan kualiti air larian, pengurusan enapan dan langkah-langkah struktur dan bukan struktur dalam mengawal banjir (sekadar menyebut beberapa tajuk). Aspek ‘mesra alam’ yang dimasukkan ke dalam buku panduan ini termasuklah unsur-unsur penggunaan tumbuh-tumbuhan, kolam takungan, saliran bawah tanah dan juga pengawalan dan pengurusan enapan dalam kerja-kerja saliran.

Tunggak penting penyediaan Manual Mesra Alam atau MSMA memberikan perhatian dan tumpuan kepada EMPAT teras utama:

  • Keakuran terhadap konsep pertanggungjawaban bersama
  • Perancangan gunatanah yang bersepadu
  • Rekabentuk saliran bandar yang lebih peka-air dan
  • Prasarana pengurusan hujan ribut yang pelbagai.

Sesungguhnya MSMA ini adalah salah sebuah dokumen penting yang pernah diusahakan oleh JPS dalam menangani masalah banjir; ia adalah paradigma baru. Sejak dilancarkan ia dipuji, baik oleh para pengamal kejuruteraan dalam negara maupun para pakar dari negara luar. Dan sepertimana yang dinyatakan oleh Dato Ir. Ahmad Fuad Embi, “MSMA perlu dikuatkuasakan untuk semua pembangunan tanah di bandar. Dan sungai-sungai di kawasan pemaju tidak boleh dilencongkan atau dijadikan parit-parit besar seperti amalan sekarang ini.” Dalam konteks peranan dan sokongan orang-orang kampung, beliau menyarankan, “Mereka (orang-orang kampung) perlu membantah sekiranya mana-mana pemaju didapati membuat kerosakan kepada sungai seperti yang berlaku sekarang ini di merata tempat – tanpa bantahan daripada mana-mana pihak pun”.

Di negara ini ― lazimnya ― seperti mana-mana pekeliling, garis panduan, peraturan atau pun undang-undang, wajah luarannya memang kelihatan cukup mantap, sempurna@tip-top ― setidak-tidaknya di atas kertas. Keadaan yang menyedihkan ini membuat sesetengah orang agak pesimis sekali apabila melihat segala macam peraturan yang muluk-muluk yang tidak dilaksanakan sehinggakan ada orang, tanpa segan silu mengisytiharkan, “tujuan pekeliling ialah untuk dibaca dan dilupakan.” Memang benarlah, masalah kita selama ini yang belum kelihatan jalan keluarnya ialah masalah penguatkuasaan yang tidak dikuatkuasakan. Lalu, mahunya bagaimana?

17.0 Memperkaya elemen alamiah dalam membangunkan sungai

Sebenarnya dalam keadaannya yang sedia ada, alam ― termasuk sungai ― mampu ‘menjaga diri’nya sendiri. Memang benar lama sebelum kita ― para manusia ― campur tangan dengan mengubahsuai, ‘pergunakan’ alam semula jadi mengikut selera, kehendak, citarasa serta khayalan kita sebagai manusia maju, alam telahpun bergerak dan menguruskan dirinya sendiri. Ambil saja contoh hakisan tebing. Apakah tidak mungkin kita amati, pelajari dan tiru contoh-contoh kehidupan yang diajar dan disyarahkan oleh alam itu? Cara yang lebih mesra kehidupan misalnya penggunaan kayu kayan untuk mengawal hakisan tebing yang kerap dinaiki air? Para pelopor pembinaan yang peka dan pedulikan alam sekitar percaya bahawa kerja-kerja pembangunan seumpama ini boleh dilakukan. Ertinya bahan-bahan alam semula jadi dari tumbuh-tumbuhan seperti ranting, dahan, batang-batang dan perdu kayu boleh dimanfaatkan untuk mengawal hakisan tebing.

Hakisan Tebing Sungai

Apakah tidak benar jika kita katakan bahawa para profesional yang lebih mesra alam adalah mereka yang dilatih dan peka terhadap kelestarian alam sekitar? Berbeza dengan sesetengah jurutera-jurutera awam (totok dan taksub dengan binaan-binaan mereka) yang terlatih untuk bermain dan berkarya dengan konkrit, kayu dan besi, para eco-builders ini lebih peka terhadap kehadiran dan kewujudan tumbuh-tumbuhan di sekeliling mereka. Makanya bagi mereka tumbuh-tumbuhan itu bukanlah halangan yang memperlahankan kadar alir sungai ― iaitu sudut pandangan yang biasa dan normal kepada jurutera-jurutera hidraulik ― tetapi tumbuh-tumbuhan di dalam di tepi tebing itu ada manfaat dan kegunaannya baik dari aspek kejuruteraan maupun biologi dan eko-sistem. Lihat saja bukti simbiosis aur dan tebing dalam pepatah lama itu. Kita semua biasa melihat bagaimana pokok-pokok buluh itu menjadi cerucuk alam yang tegas dan kukuh dalam mengawal hakisan tebing walaupun akarnya teramatlah seni@halus sekali. Bukankah tebing sungai menjadi kukuh dan tidak terhakis dengan wujudnya rumpun-rumpun buluh yang mencengkam tebing itu? Nah, akar-akar buluh itu adalah cerucuk rerambut yang maha seni namun begitu kukuh ia mencengkam tebing. Memandangkan jurutera-jurutera awam totok asyiknya membina pelbagai struktur dan binaan, mereka sering terlupa apa yang mereka telah runtuhkan dalam keghairahan mereka membina.

Di sini kita ingin menyarankan agar menjadikan sukatan latihan dan pendidikan para jurutera awam itu lebih ‘bulat’ pendekatannya. Mereka, seperti kata sang pengkritik sastera, mestilah bulat wataknya. Jurutera walaupun bermain dengan bahan-bahan yang keras dan kaku tapi jiwanya seharusnya dicanai halus agar lebih peka terhadap alam persekitarannya.

Perubahan bukan sekadar slogan

18.0 Dalam sejarah JPS terdapat pelbagai slogan yang diutarakan oleh saf kepimpinannya. Satu ketika dulu ia gah dengan slogan ‘Jayakan Perkhidmatan Sempurna’ diikuti dengan cita-cita menjadikan ia sebuah jabatan bertaraf dunia menjelang tahun 2010. Di samping itu ada semacam cogankata yang pernah diwar-warkan, (tapi) entah kenapa lama kelamaannya ia tenggelam jua. ‘Do the right thing, and do it right’ demikianlah bunyi slogan tersebut. Dalam konteks memelihara sungai ia masyhur dengan kempen “Cintalah Sungai Kita”. Slogan-slogan seperti ini berfungsi sebagai battle cry; ia tepu semangat berkobar-kobar yang antara lain bertujuan menjana usaha bermakna dalam kehidupan sebelum kehidupan itu sendiri berakhir. Oleh kerana kehidupan kita juga cukup sarat dengan hujah dan pengwajaran (justifikasi) maka ada yang berhujah bahawa kebenaran (truism) dan kejituan (right) kekadang bukanlah sesuatu yang mutlak ― parameter-parameter yang mewarnainya ― ia boleh saja beranjak (sepertimana yang digagaskan oleh seorang penyair dalam teori anjakan maknanya), maka agaknya itulah yang terjadi kepada cara dan kaedah kerajaan kita mengatasi masalah banjir.

Cintai Sungai Kita

Apakah tidak tepat jika dikatakan bahawa dasar-dasar kita di negara ini berubah-ubah mengikut selera; selera sang menteri atau para birokrat politik yang berkuasa pada sesuatu ketika itu? Dalam konteks ini, kita mencadangkan agar kewibawaan dan keutuhan profesionalisme sesebuah institusi itu dipertahankan; dipertahankan waima dengan apa cara sekali pun. Sebabnya mudah, pemimpin politik boleh pergi dan pemimpin politik boleh juga datang, apakah pelan-pelan induk yang disediakan oleh sesebuah institusi dengan memerahkan otak dan menguras air mata ribuan pakar itu juga mesti datang dan pergi, seperti datang-perginya para pemimpin politik?

19.0 Sungai sebagai cermin masa silam dan zaman muka

Seruan ini kita tumpukan kepada Kampong Banda Dalam dan Cikgu Ishak Surin dan seluruh pasukannya:

Sebagai permulaan satu perjalanan (yang pastinya) panjang, masyarakat Kampong Banda Dalam bolehlah memulakan proses pencerahan dan pendidikan kendiri bahawa sungai di tepi rumah (lebih malang dan parah lagi, di belakang rumah) itu bukanlah longkang tetapi anugerah alam yang perlu dihargai; ia mesti dibelai dengan bersungguh-sungguh. Untuk memupuk kesedaran yang berdaya tahan, usaha-usaha ini dimulakan dan bermula dari akar umbi ― iaitu dari dalam diri akar umbi ― oleh akar umbi dan untuk akar umbi sendiri agar masyarakat menjadi lebih peka dan sedar bahawa sesungguhnya sungai itu cermin sebuah masyarakat yang peduli dan menghargai sumber Ilahi yang memberikan nyawa dan kehidupan kepada segala yang hidup.

Dalam konteks mendekati sungai ― menyentuhi dan benar-benar menyantuninya ― Banda Dalam bolehlah teliti semula seni instalasi yang pernah dilaksanakan oleh sekelompok sahabat seni dari Indonesia tidak berapa lama dulu itu. Kita percaya ini adalah satu permulaan yang baik untuk sebuah proses panjang dalam menghantar dan mengulangi mesej bahawa sungai itu sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Oleh itu kita ingin mencadangkan agar usaha-usaha seni instalasi dan ala-ala instalasi ini diteruskan dan diulangi sebagai acara tahunan.

Instalasi Banda Dalam

Instalasi Banda Dalam

Seni Instalasi di Sungai Gombak, Kampong Banda Dalam, Kuala Lumpur. ( http://barabarajiwa.blogspot.com/2013/10/seni-instalasi.html )

Para penduduk tempatan atau masyarakat kampung perlu disedarkan kenapa mereka perlu “kembali ke asal usul” dan disedarkan dengan bersungguh-sungguh bahawa sungai sebagai khazanah anugerah tuhan perlu kekal dalam keadaan semula jadi dan tidak dikonkritkan menjadi parit besar semata-mata untuk menyelesaikan masalah banjir. Mereka juga perlu difahamkan tentang kaedah lain untuk menyelesaikan masalah banjir ini – iaitu melalui kegunaan tanah yang lebih mesra alam. Untuk lebih berkesan, MSMA perlu dikuatkuasakan untuk semua pembangunan tanah di kawasan bandar dan sungai-sungai tidak boleh dilencongkan atau dijadikan parit-parit besar seperti amalan sekarang ini.

Untuk membantu pihak yang berkuasa memastikan peraturan, prosedur dan perundangan yang dimulakan oleh kerajaan itu dipatuhi sepenuhnya, mereka ― masyarakat di kampung ― perlu dididik untuk membantah sekiranya mana-mana pemaju didapati membuat kerosakan kepada sungai seperti yg berlaku sekarang ini di merata tempat, tanpa bantahan pula daripada mana-mana pihak pun. (Apakah seruan dan gesaan untuk membantah dan memprotes ini boleh dikira dan ditakrifkan sebagai perbuatan menghasut?) Kita kira tidak. Bukankah inilah usaha akar umbi untuk mendidik dirinya supaya tahu, faham dan sedar perkara-perkara apa yang telah dijanjikan oleh peraturan dan prosedur pembangunan yang disediakan oleh pihak kerajaan sendiri?

Kata orang sejarah silam itu guru yang baik untuk dihayati dan diterapkan dalam kehidupan. Tentunya sejarah juga termasuk sejarah manusia dengan sungai. Sejarah silam sungai menyingkap kekayaan ilmu sainsnya, sejarah sosial dan juga sejarah teknologi yang lahir bersamanya. Wan Mat Saman misalnya yang bertanggungjawab merancang dan membina Terusan Wan Mat Saman di zaman Kedah tua dikatakan jurutera yang pertama yang lahir dari rahim anak bangsa tanpa perlu lulus dari mana-mana menara gading. Jurutera Melayu pertama ini telah membina terusan untuk tujuan pengairan padi di Kedah. Sementara itu, dalam cerita sungai dan laut, kehebatan teknologi perkapalan orang-orang Melayu zaman silam menunjukkan betapa besar dan hebatnya orang-orang Melayu sebagai pelaut, pelayar, penggembara yang berani.

Sg Gombak, Banda Dalam (© Jamal Tommy)

Sg Gombak, Banda Dalam (© Jamal Tommy – http://jamaltommyrun.blogspot.com )

Sungai Gombak di depan rumah sifu Cikgu Ishak dikatakan pernah menjadi pelabuhan kapal-kapal dagang belayar dan berlabuh. Pada zaman silam sungai adalah prasarana strategik kerana ia adalah lebuh raya, nadi keselamatan negara dan asas dalam pembinaan tamadun manusia. Sesungguhnya pengawalan, peraturan tentang sungai termaktub sebagai kemajuan institusi, pentadbiran dan penyelarasannya. Ia adalah manifestasi kuasa tentera dan ekonomi yang berkait rapat dengan sejarah sungai. Namun sejarah pembangunan manusia juga dicirikan oleh kemerosotan sumber asas – air tercemar, meningkatnya banjir, dan kehilangan kepelbagaian biologi. Dan banyak tamadun awal runtuh dalam menghadapi kemerosotan alam sekitar, banjir, kemarau, kebuluran dan penyakit.

Sebagai permulaan untuk Banda Dalam, kita cadangkan supaya sejarah dan penceritaan sejarah sungai di Kampung Banda Dalam ini dimulakan. Kita teruja membayangkan apakah dalam melaksanakan proses mencari, menyelongkar, menggali khazanah silam sungai ini, apa tidak mungkin kita temui bahan-bahan berharga yang sangat bermakna? Wallhuaklam.

RUJUKAN:

http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/apabila-sungai-dimatikan-dan-dijadikan-longkang

http://www.mywp.org.my/wp-content/uploads/2012/12/materials/folder1/Paper%205%20-Solving%20Urban%20flooding%20through%20Sustainable%20Stormwater%20Management,%20JPS%20Malaysia.pdf

http://www.bem.org.my/publication/dec04feb05/F%28STORMWTR%2948-52.pdf

https://www.fema.gov/pdf/about/regions/regionx/Engineering_With_Nature_Web.pdf

Bhgn 1 | Bhgn 2

Artikel Penuh:
Paradoks pembangunan sungai: Membangun atau memusnah? (1)
Oleh: Dato’ Ir. Ahmad Fuad Embi(2)
Kassim Muhamad (3)

———————————————————————————————————————

(1) Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Krisis Pembangunan Hari Budaya 1 Muharram 1435H/25 Oktober 2014 Kampong Banda Dalam, anjuran bersama Madrasah Tarbiah, Kampoung Banda Dalam Jalan Gombak, Kuala Lumpur, GATERA dan Paksi.

(2) Dato’ Ir. Ahmad Fuad Embi, Timbalan Ketua Pengarah (B), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia

(3) Kassim Muhamad, GATERA.

Print Friendly, PDF & Email