Sebahagian ahli awal GATERA

HEBAHAN MEDIA GATERA #3

PILIHAN RAYA UMUM KE-13 YANG DIPERSOALKAN RAKYAT

GATERA mencatatkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sekian lama dan kini sedang menghadapi serangan rakyat terhadap peranan dan tanggungjawab serta perjalanan pilihan raya di negara kita.  Kemuncaknya ialah siri demonstarasi BERSIH 1  dan 2.0 masing-masingnya dua tahun lepas dan pada tahun 2012 sehingga tercetusnya senarai lapan tuntutan “pembersihan” peranan institusi tersebut dalam penggendalian pilihan raya negara ini.  Dua daripada perkara besar tuntutan itu ialah pembersihan senarai pengundi  (peniadaan “pengundi hantu”) dan senarai pengundi berulang. Tidak syak lagi, SPR dengan sikapnya yang sentiasa menolak tuntutan BERSIH tetap mengambil langkah-langkah yang nampaknya positif seperti “pengundian awal” dan “pemakaian dakwat kekal”.

Malangnya “pemakaian dakwat kekal” ternyata gagal mencapai tujuannya setelah puluhan pengundi (termasuk ahli GATERA sendiri) mendakwa dan setengahnya membuat laporan polis (yang terkenalnya  oleh Karpal Singh dan Dr. Harun Din)  tentang betapa mudahnya dakwat itu hilang dengan hanya menggunakan sabun sahaja.  Apa pun, GATERA percaya sebahagian besar  rakyat tetap percaya “dakwat kekal” itu memang mudah hilang dan oleh itu SPR sepatutnya meminta maaf atas kegagalannya mendapat dakwat yang benar-benar mencapai matlamat asalnya.

Isu kedua yang kini jauh lebih besar daripada isu “dakwat kekal” itu ialah adanya tuduhan-tuduhan yang begitu banyak terhadap tidak telus, tidak adil, dan wujudnya penipuan dalam penentuan bilangan undian pada malam 5 Mei hingga 6 Mei itu. Pertama, SPR perlu menjelaskan sebab-sebab lambatnya hasil pilihan raya itu untuk kawasan-kawasan dimenangi oleh PR (parti lawan BN) hingga para pengulas pilihan raya di TV sendiri (saluran AWANI) yang memang terkenal juga dengan sikap memihaknya kepada BN itu sekalipun, begitu berani mempersoalkan keadaan yang tidak telus ini. Tidak syak lagi inilah yang memberi banyak spekulasi rakyat terhadap penipuan hasil pilihan raya itu. Persepsi ini semakin menjadi hipotesis besar rakyat tentang adanya penipuan hasil pilihan raya ini dengan adanya laporan-laporan berikut, setengahnya GATERA difahamkan, sudah dilaporkan kepada pihak polis, dan yang lainnya GATERA difahamkan, sedang diperoleh bukti-buktinya untuk dibawa ke pengadilan:

1. Adanya puluhan keputusan yang dianggap rasmi oleh SPR diasaskan pada laporan yang tidak disahkan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan atau diamanahkannya.

2. Adanya puluhan tempat pengiraan undi dimasukkan kotak-kotak undi yang disangsikan kerana lambat tibanya.

3. Beberapa tempat dilaporkan ada pihak menemui bungkusan atau kotak undi yang disangsikan asalnya dan disorok berhampiran dengan tempat pengiraan undi atau dibawa ke pusat pengundian undi oleh pihak yang disangsikan.

4. Beberapa tempat ada nama pengundi tiada dalam senarai di tempat yang sepatutnya dia membuang undi tetapi ada jauh di tempat lain.

5. Ada tempat dilaporkan bilangan pengundinya kurang daripada yang pernah disiarkan sebelum hari pengundian.

6. Bilangan pengundi yang hadir mengundi berdasarkan peratusan yang mengundi mengikut SPR tidak sama dengan bilangan pengundi yang membuang undinya di semua Parlimen seluruh negara.

7. Bilangan pengundi di beberapa kawasan parlimen luar biasa penambahannya sehinggakan ada yang mengatasi bilangan pengundi kawasan parlimen lain yang biasanya lebih tinggi bilangan pengundinya seperti dalam PRU12  yang lalu.

8. Adanya laporan individu yang mengundi lebih drp sekali, dan ada pula yang tidak dapat mengundi kerana kononnya beliau telah mengundi.

9. Adanya kejadian “api elektrik” terpadam ketika  pengiraan undi sedang berjalan.

Ada kemungkinan senarai “penipuan” seperti yang disenaraikan di atas adalah “tidak benar”. Namun oleh sebab senarainya begitu banyak dan sumbernya daripada pelbagai (bukan internet sahaja) maka maka rakyat terbanyak berhak menuntut penjelasan SPR secepat mungkin dan tidaklah memadai bagi pihak SPR dengan hanya menegaskan hanya mahkamah sahaja yang boleh menentukannya, kerana jika penjelasan SPR dapat meyakinkan mereka ini, mungkin (sekurang-kurangnya sebahagian daripada senarai di atas) penyelesaian di mahkamah tidak perlu dilakukan dan sekali gus menyelamatkan wang, tenaga dan masa.

Pada masa yang sama GATERA berharap pihak PR juga perlu secepat mungkin mendapatkan bukti-buktinya dan seterusnya mendakwanya di mahkamah. Pada masa yang sama, mana-mana “tuduhan penipuan” di atas yang ternyata tiada buktinya pihak PR juga perlu membuat pernyataan yang jelas akan tidak benarnya tuduhan itu.

 

Ketua

Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA)

21 Mei 2013

Print Friendly, PDF & Email