Ucapan Prof Emeritus Ahmat Adam (Ahli Pelandas GATERA) di Sg Merab
Ucapan yang disampaikan dalam perhimpunan GATERA bersama rakyat pada 3 Mei 2013 di Padang Awam, Kampung Sungai Merab Luar
Sdr. Pengerusi yang dihormati, Para hadirin sekalian,
Assalamualaikum wbt.
Kurang daripada empat puluh jam dari sekarang, semua rakyat yang layak mengundi akan
berpeluang melaksanakan hak demokrasi masing-masing untuk memilih kerajaan yang dianggapnya boleh memerintah dengan baik dan berkesan.
Bagi saya sendiri, sebagai rakyat dalam masyarakat yang berbilang kaum, saya menginginkan:
1. Kerajaan yang bakal dibentuk nanti adalah kerajaan yang memegang prinsip adab, jujur, adil, tidak rasuah, demokratis, bijak merancang, boleh menjamin keselamatan rakyat dan negara, dan mampu mengurus negara dengan bijaksana.
2. Kerajaan yang dibentuk itu haruslah melalui proses pilihanraya yang dijalankan secara telus, bersih dan berasaskan undang-undang.
3. Apabila terbentuk kerajaan itu nanti, saya harap ia akan bertekad menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip sejagat yang akan menjamin keamanan kepada Malaysia yang bersifat majmuk — berbilang kaum, berbilang bahasa dan berbilang budaya.
Apakah yang dimaksudkan dengan adab? Adab bererti melakukan sesuatu dengan berasaskan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Pemimpin dan penguasa kerajaan yang baik tidak akan menggalakkan budaya memfitnah, berbohong atau menipu. Pemimpin dalam kerajaan yang baik juga harus rajin dan jujur dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat; ertinya pemimpin itu harus jujur dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Jujur adalah konsep yang berpaksikan sifat tulus dan ikhlas. Contoh tidak jujur ialah menyogok wang untuk membeli undi dengan niat untuk menang pilihanraya. Berwapadalah terhadap pihak yang mengamalkan budaya seperti yang diungkapkan oleh pepatah Melayu, “telunjuk lurus, tetapi kelengkeng berkait” — yang bererti bertindak seolah-olah kelihatan baik, tetapi yang sebenarnya mempunyai niat atau motif yang jahat.
Apakah yang dimaksudkan dengan adil?
Sebuah kerajaan yang adil perlu memastikan rakyat dan negara diperintah berasaskan
undang-undang sarwa jagat yang tidak mengingkari kebenaran. Pihak yang adil akan sentiasa memihak kepada yang benar. Ini adalah ajaran universal — yang ditekankan oleh semua agama dan bahkan berulang kali dinyatakan di dalam kitab suci al-Quran. Sifat kerajaan yang adil akan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang hak, yang betul. Pemimpin yang adil benci diampu dan dirasuah! Keadilan akan menjamin rakyat tidak berpecah. Konsep Adil berkait rapat dengan konsep kesaksamaan. Jika pembahagian harta negara tidak adil maka wujud golongan-golongan yang merasa terpinggir, dan puak yang merasakan bahawa mereka tidak dipedulikan oleh sang penguasa akan menimbulkan kekacauan. Jika sesebuah negeri di dalam negara Persekutuan berhak mendapat royalti minyak misalnya, pemerintahan pusat yang adil akan mempastikan negeri itu diberikan haknya yang wajar. Jika rancangan untuk membantu bangsa-bangsa Melayu/Bumiputera yang miskin dan terkebelakang dilaksanakan dalam bentuk apa pun namanya, ia haruslah dilihat sebagai upaya menegakkan keadilan sejarah (historical justice). Jika sekolah swasta Cina menerima durian runtuh satu juta ringgit misalnya, sekolah rendah kebangsaan lebih-lebih lagi memerlukan perhatian demi meningkatkan mutu pengajarannya kepada golongan bawahan. Dan jika 30 peratus harta negara harus dimiliki oleh orang Melayu/Bumiputera maka upaya memberikan peratusan kekayaan negara kepada — katakanlah 30 orang individu Melayu sahaja, adalah tidak adil dan akan membangkitkan permusuhan pihak lain. Cara membahagi-bahagikan kekayaan negara sewajarnya dirancang dengan bijaksana dan mestilah berasaskan prinsip keadilan.
Sebuah kerajaan yang telus pasti bertekad membasmi rasuah. Mengamalkan rasuah, atau
menggalakkan, ataupun membiarkan amalan rasuah adalah budaya pemerintahan yang paling buruk dalam mana-mana sistem kerajaan. Jika seseorang pemimpin politik, atau pentadbir dalam pemerintahan melakukan rasuah, akibatnya kebajikan dan keselamatan rakyat dan negara pasti akan terancam, atau paling tidak — terjejas.
Tahukah saudara-saudara di dalam kitab kelasik Sejarah Melayu, yang ditulis semula selepas
Malaka ditakluki bangsa Eropah, Portugis, pada bulan Ogos tahun 1511, salah satu punca
kejatuhan kesultanan Melayu itu adalah kerana rasuah? Istilah yang digunakan pada abad
ke-16 untuk rasuah ialah “sorong”. Pembesar-pembesar Melayu seperti Bendahara (hari
ini jawatannya kira-kira sama dengan Perdana Menteri), dan Temenggung (jawatannya
kira-kira sama dengan Ketua Polis Negara atau menteri dalam negeri) dan anak-anak buah
Temenggung (hari ini jawatan ini kira-kira sama dengan pegawai yang berkuasa di dalam
kerajaan) dinyatakan telah di”sorong” oleh pedagang-pedagang dan pemilik-pemilik bisnis
di Melaka yang terdiri daripada orang bukan asal Melaka. Selain budaya “sorong”, kekalahan
kerajaan Melaka di tangan orang Portugis dalam tempoh yang sangat singkat – sekitar 20
hari sahaja — justeru kerana rajanya Sultan Mahmud adalah pemerintah yang zalim dan tidak adil. Mahmud Syah telah membunuh bapa saudaranya sendiri kerana mendengarkan dan mempercayai fitnah daripada pihak yang berkepentingan dan nama raja ini juga tercemar kerana nafsunya yang tidak terkendalikan.
Sekarang saya sentuh pula satu lagi aspek yang ingin saya lihat dimiliki oleh kerajaan
yang akan dipilih — iaitu apakah ia demokratik sifatnya? Pemerintahan yang demokratik
memerlukan media yang bebas tetapi bertanggungjawab. Jika dibandingkan kandungan
akhbar pada zaman enam puluhan dan tujuh puluhan dengan isi surat khabar masa kini
sangat jelaslah kualiti isi kandungan dan juga ciri kewartawanannya yang semakin meleset,
dan mutunya mulai terhakis sejak awal tahun 1980-an lagi. Sekatan yang dikenakan kepada
media, kebebasan berfikir dan bersuara telah menghasilkan media yang beku, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak boleh berfikir kritis dan juga rakyat yang mandul berfikir. Amatlah jelas betapa sistem demokrasi semakin terhakis jika dilihat dari segi kandungan dan orientasi media masa kini. Kita disuapkan dengan berita berat sebelah yang tidak menampilkan budaya keadilan dan kesaksamaan. Kita hanya membaca bahan-bahan yang pihak berwibawa ingin kita baca dan telan bulat-bulat. Dengan kata lain, kita hanya memiliki propaganda sheets yang tidak mendidik — jauh sekali membina kematangan orang Malaysia sebagai suatu nasion. Hampir tidak ada surat khabar bona fide dewasa ini di Malaysia. Yang ada hanyalah surat berita parti-parti politik yang dalam istilah jurnalisme disebut political organs.
Satu lagi ciri pemerintahan yang saya inginkan ialah pembentukan sebuah kerajaan
yang bijak merancang pertumbuhan ekonomi negara dan kebajikan ekonomi rakyatnya.
Cuba perhatikan harga barang-barang keperluan di kedai, di pasar awam dan di pasaraya.
Kenaikan harga barang nampaknya seperti tidak terkawal — hampir setiap dua minggu ada
sahaja harga barang yang melonjak naik. Menabur wang dalam bentuk Bantuan Rakyat
I Malaysia bukanlah langkah merancang ekonomi yang baik. Ia tidak akan meringankan
beban rakyat. Rancangan dan janji untuk menambah lagi pemberian wang kepada keluarga
berpendapatan rendah selama lima tahun lagi bukan penyelesaian kepada inflasi harga barang yang semakin menghimpit kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah dan juga sederhana.
Apakah upaya ‘merasuah’ rakyat seperti ini suatu langkah yang bijak? Perancangan bidan
terjun sebegini bukanlah perancangan yang bijak. Saya percaya harga barang akan terus naik sebaik saja agihan dalam bentuk “sorong pilihan raya” ini dilakukan. Tambang bas, tambang teksi, upah kerja, sewa rumah dan harga makan dan minum pasti naik. Dan kos tenaga letrik dan air pun akan turut naik. Secara senyap-senyap juga kebajikan kesihatan rakyat semakin terabai. Kos berunding dengan doktor, kos mendapatkan ubat-ubatan semakin menghimpit kehidupan rakyat. Yang lebih menakutkan lagi cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan dan segala bentuk percukaian lain akan diteliti semula untuk membolehkan ia dinaikkan. Kita berhadapan dengan banyak masalah belia: pengangguran dan jenayah. Adakah rancangan menabur wang seperti ini akan menyelesaikan masalah pengangguran di kalangan belia, atau masalah “mat rempit” dan ketagihan dadah yang nampaknya menjadi masalah sosial dalam kalangan orang Melayu yang sampai kini tidak terselesaikan? Bijakkah seseorang pemimpin berkata: Jika harga minyak diturunkan maka hanya orang kaya yang mengaut untung? Apakah pengundi tidak boleh berfikir?
Siapapun yang akan membentuk kerajaan baru selepas 5 Mei 2013 nanti perlu memikirkan
usaha-usaha bijak bagi mencari ikhtiar untuk memperbetulkan sistem pendidikan yang
semakin kacau sekarang ini. Yang paling utama harus difikirkan ialah bagaimana kualiti atau nilai pendidikan di negara ini (dari peringkat rendahnya hingga ke peringkat tinggi) dapat diselamatkan seperti yang terdapat di negara jiran Singapura. Yang juga penting ditangani ialah keperluan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan agar tidak ada sektor dalam masyarakat yang menganggap sistem pembelajaran dan pengajaran di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina lebih baik dan bermutu jika di bandingkan dengan sekolah rendah kebangsaan. Terkait dengan mutu pendidikan di sekolah ialah kualiti pendidikan di IPT yang sangat memerlukan perhatian kerajaan yang bakal dibentuk. Perancangan pendidikan tidak cukup dengan pengungkapan cita-cita yang tidak realistik. Kenyataan bahawa menjelang tahun 2017 (empat tahun dari sekarang) semua universiti awam kita akan mencapai taraf 100 universiti terbaik dalam ranking antarabangsa akan menjadi angan-angan Mat Jenin jika tidak didahului dengan penyelidikan yang rapi untuk mempastikan apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh IPT di negara ini berbanding IPT di Singapura dan Thailand.
Terpintal dengan masalah pendidikan dan persoalan sumber manusia ialah pendidikan
sebagai alat pemersatu dalam pembinaan nasion Malaysia. Apakah mana-mana parti
koalisi yang membentuk kerajaan yang baru nanti sedar bahawa polarisasi kaum semakin
kukuh justeru kerana sistem pendidikan kebangsaan telah tidak mencapai matlamatnya?
Perlembagaan sememangnya menjamin pengekalan dan pelestarian penggunaan bahasa-
bahasa ibunda kaum bukan Melayu. Tiada siapapun yang tidak mengiktiraf hakikat ini.
Tetapi demi perpaduan kebangsaan yang tulen, beranikah mana-mana pihak yang membentuk kerajaan selepas pilihanraya ke-13 nanti merancang dan berbincang dengan rakyat untuk mewujudkan satu sistem persekolahan yang akan menggembleng perpaduan antara bangsa-bangsa di negara ini — tanpa mengorbankan pengajaran bahasa, sastera dan budaya masing-masing kaum? Beranikah kerajaan yang akan dibentuk memikirkan pembelajaran anak-anak dari semua kaum di bawah satu bumbung — demi manfaat pemersatuan bangsa-bangsa di Malaysia?
Terakhir saya sebutkan tadi betapa saya menginginkan tertubuhnya sebuah kerajaan yang
mampu mengurus negara dengan baik. Pengurusan negara yang baik akan menjamin rasa
selamat setiap rakyat. Pengurusan negara yang baik juga bermakna negara tidak mudah
diserang musuh dan rakyat tidak senantiasa diugut para penjenayah. Pengurusan negara
yang baik juga bererti bahawa semua aspek-aspek yang disebutkan di atas tadi akan dapat
dijadikan landasan pemerintahan — yakni, kerajaan yang beradab, jujur, adil, tidak rasuah,
dan sentiasa peka terhadap kebajikan rayatnya dan menjamin keselamatan warga dan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya.
Dalam masa kurang daripada dua hari lagi kita akan berhadapan dengan dua pilihan utama
— yakni memilih kerajaan campuran (koalisi) yang mendukung perkongsian politik yang
berlandaskan kerjasama antara parti-parti politik yang mewakili tiga kaum utama, iaitu
Melayu, Cina dan India. Menurut amalan sistem demokrasi, kita akan dituntut memilih
salah satu daripada koalisi parti-parti politik yang ada, atau memilih calon-calon bebas bagi
mewakil suara rakyat. Kita harus memilih sama ada gabungan yang kita kenali dengan nama: Barisan Nasional yang sudah berusia lebih daripada 50 tahun, atau Pakatan Rakyat yang usia kerjasamanya relatif muda. Sebagai rakyat yang peka kepada tuntutan budaya demokrasi kita harus memilih perwakilan yang baik dan bijaksana yang akan mengutamakan nilai-nilai adab, adil, bijak bertindak dan merancang, berpengetahuan, anti-“sorong” (yakni menolak rasuah) dan memiliki kebijaksanaan memerintah dan mengurus kebajikan rakyat dan negara. Pilihlah pemimpin yang jujur, rajin dan tidak rasuah.
Jika terdapat calon yang dipilih oleh parti tertentu masih merupakan orang lama yang
dalam tempoh lima tahun terdahulu tidak menunjukkan komitmen dalam menyuarakan atau memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya, maka adalah satu keharusan bagi kita sebagai pemilih menolak calon itu. Justeru kerana itu parti-parti politik mestilah berhati-hati meletakkan calon yang layak untuk mewakili rakyat. Sebagai rakyat yang mengundi dalam pilihanraya ini kita harus mengelakkan diri daripada memilih orang yang menjadikan politik sebagai kerjaya untuk menghimpunkan harta dan kemudiannya mewariskan career politik itu kepada anak cucunya!
Terakhir, kita harus tetap berpegang kepada adab dan kesopanan dan menolak kekerasan dan sebarang tipu-muslihat yang boleh membawa huru-hara kepada negara. Selamat mengundi!
Prof Emeritus Ahmat Adam, Ahli Pelandas GATERA Ucapan di Perhimpunan GATERA Bersama Rakyat di Padang Awam, Kg Sg Merab Luar 3 Mei 2013