Prof Nazari Ismail

TPPA, adakah Amerika akan menjajah Malaysia?

Cadangan perlaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang dibahaskan di Parlimen selama dua hari akhirnya telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Januari 2016. Reaksi susulan yang diterima dari berbagai pihak di negara ini dilihat berbeza-beza. Ada pihak yang berasa gembira kerana merasakan bahawa TPPA mampu memastikan ekonomi negara akan terus maju sementara ada pihak yang berasa hiba kerana bagi mereka perjanjian ini adalah salah satu dari usaha Amerika Syarikat untuk menakluki negara-negara lain yang lemah termasuk Malaysia yang akhirnya akan mengakibatkan kesemua rakyat Malaysia menjadi mangsa penjajahan zaman moden.

Adakah tanggapan berkenaan penjajahan Amerika ini benar dan berasas? Terdapat dua perkara yang boleh mempersoalkan hujah di atas.

Pertama sekali ialah penentangan yang sangat kuat terhadap TPPA dari kalangan individu dan organisasi penting di Amerika Syarikat sendiri. Jika TPPA sangat menguntungkan Amerika Syarikat, sudah tentu ia akan mendapat sokongan padu dari semua lapisan masyarakat negara tersebut. Namun sebaliknya didapati TPPA telah ditentang oleh berbagai pihak di Amerika Syarikat termasuk Hillary Clinton dan juga Donald Trump iaitu dua calon utama jawatan presiden Amerika di dalam proses pilihanraya yang sedang berlangsung sekarang. TPPA juga telah ditentang dengan hebat oleh sebuah organisasi yang sangat berpengaruh di Amerika iaitu AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) iaitu sebuah kesatuan buruh yang dianggotai oleh 56 kesatuan dan mewakili lebih dari 12 juta pekerja di Amerika Syarikat. Organisasi ini merasakan bahawa perjanjian TPPA akan mengakibatkan banyak peluang pekerjaan berpindah dari Amerika (kerana kos buruh yang tinggi) ke negara yang kos buruhnya rendah (termasuk Malaysia).

Maka jelaslah di sini bahawa kebanyakan rakyat Amerika terutama sekali dari kalangan pekerja dan golongan bawahan merasakan bahawa TPPA tidak akan menguntungkan mereka. Bahkan kerana itulah kedua-dua calon utama pilihanraya Presiden Amerika di atas juga menentang TPPA kerana mereka tahu pendirian ini akan membuat mereka lebih popular di kalangan pengundi Amerika.

Perkara kedua ialah sokongan yang sangat kuat kepada TPPA oleh banyak pihak di negara selain dari Amerika. Sebagai contoh di Malaysia, TPPA mendapat sokongan yang sangat kuat dari Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Malaysian Textile Manufacturers Association (MTMA), Malaysian Knitting Manufacturers Association (MKMA), The Malaysian Plastics Manufacturers Association (MPMA), dan Malaysian Rubber Products Manufacturers’ Association (MRPMA) dan beberapa organisasi lain. Di samping itu, beberapa pakar yang mewakili firma-firma di dalam sektor minyak sawit negara juga telah menyuarakan sokongan kuat mereka terhadap perjanjian ini kerana manfaat yang bakal diperolehi. Jika kesannya amat buruk kepada negara, kenapakah pihak-pihak di atas begitu kuat menyokong pelaksanaan TPPA?

Persoalannya sekarang, siapakah sebenarnya yang akan mendapat manfaat dari TPPA ini? Jawapannya ialah bukan negara tertentu tetapi organisasi-organisasi perniagaan yang berdaya saing, tidak kira dari mana negara asal mereka. Organisasi-organisasi ini biasanya adalah syarikat perniagaan yang besar-besar. Ada juga yang kecil dan sederhana yang berdaya saing atau berkait dengan operasi syarikat yang besar ini. Namun oleh kerana dana modal adalah penting di dalam dunia perniagaan sekarang, kebiasaanya organisasi yang berdaya saing adalah yang mempunyai sumber dana yang besar. Kaedah yang digunakan oleh organisasi perniagaan sekarang ialah `pengumpilan kewangan’ (financial leverage) di mana organisasi perniagaan akan menggunakan dana yang dipinjam dari institusi kewangan untuk membiayai operasi mereka. Dengan cara ini sesebuah organisasi akan dapat mengembangkan saiz dan daya saing mereka dengan cepat melalui aktiviti yang tinggi kosnya seperti `R&D’, pengiklanan, logistik dan lain-lain. Pada masa yang sama, skala pengeluaran juga dapat dibesarkan dengan dana yang besar ini dan dengan itu kos pengeluaran per unit akan dapat dikurangkan. Oleh sebab itulah kita dapati di dalam berbagai sektor, firma yang mendominasi pasaran adalah firma yang bersaiz besar. Sebagai contoh, di dalam sektor telekomunikasi, syarikat pengeluar telefon bimbit yang paling berdaya saing adalah syarikat gergasi seperti Samsung, Apple dan Lenovo. Manakala di dalam sektor automotif, firma yang mendominasi industri tersebut adalah Toyota Motor, Volkswagen, Daimler, BMW Group, Honda Motor dan General Motors (GM). Di dalam sektor farmasutikal pula adalah Johnson & Johnson, Novartis, Roche dan Pfizer.

Walaupun jumlah jualan mereka besar, namun persaingan di kalangan firma gergasi ini sendiri sebenarnya adalah amat sengit serta risiko untuk menjadi muflis juga bertambah. Faktor utama ialah beban kewangan mereka yang juga amat besar. Sebagai contoh, semasa krisis sub-prime berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2008, beban hutang GM ialah USD27 billion (atau hampir RM120 billion) dan akibatnya ia hampir jatuh muflis sebelum diselamatkan oleh kerajaan Amerika. Sekarang ini jumlah tanggungan GM adalah USD72 billion manakala jumlah tanggungan semasa Toyota Motors pula ialah USD137 billion. Bagi syarikat farmasutikal terbesar iaitu Johnson & Johnson, beban tanggungan syarikat pada masa ini ialah USD61.3 billion.

Dengan tanggungan kewangan yang sebegitu besar, suasana perniagaan mempunyai risiko yang sangat tinggi. Jika pendapatan tidak mencukupi atau pasaran diambil oleh pesaing, firma yang pada suatu masa dominan dan kuat boleh tiba-tiba menjadi lemah seperti yang telah berlaku kepada syarikat telekomunikasi Blackberry dan Nokia, syarikat penerbangan Northwest Airlines, dan syarikat kereta Saab. Kesemua nama tersebut pada suatu masa pernah masyhur di dalam industri masing-masing tetapi akhirnya tumbang akibat kombinasi faktor kemerosotan pasaran dan beban kewangan yang besar.

Untuk mengelak dari menerima nasib yang sama seperti syarikat-syarikat di atas, maka firma-firma gergasi akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meluaskan pasaran mereka ke luar negara masing-masing sambil mempertahankan kedudukan pasaran di negara asal. Hanya dengan cara ini sahaja mereka akan dapat memastikan hasil jualan yang besar diperolehi bagi menambahkan keuntungan supaya dapat membayar dividen yang memuaskan kepada pemilik saham syarikat mereka serta menjelaskan pinjaman atau tanggungan mereka.

Hakikat yang sama juga dihadapi oleh syarikat perniagaan tempatan yang berniaga di arena antarabangsa. Mereka juga memerlukan jualan yang besar melalui pasaran yang besar untuk memastikan keadaan kewangan mereka kukuh. Inilah sebab utama kenapa pengurusan mereka mendesak kerajaan Malaysia supaya melaksanakan perjanjian TPPA secepat mungkin.

Jika firma-firma gergasi juga dalam keadaan tertekan walaupun berdaya saing di dalam arena perniagaan antarabangsa, maka siapakah yang sebenarnya mendapat keuntungan dari pelaksanaan TPPA ini? Jawapannya ialah firma-firma di dalam industri kewangan kerana merekalah yang membekalkan pinjaman dana kepada semua syarikat gergasi antarabangsa tersebut. Bayangkan jumlah bunga (atau interest) yang diperolehi oleh industri ini hasil dari hutang yang berjumlah ribuan billion (atau trillion) yang ditanggung oleh syarikat gergasi dari kesemua dua belas negara yang terlibat. Oleh itu syarikat-syarikat kewangan, sama ada dari Malaysia atau dari Amerika, adalah juga pendokong utama kepada pelaksanaan TPPA nanti kerana perkembangan ekonomi di negara yang terlibat akan bermakna perkembangan keuntungan yang mendadak kepada mereka.

Sementara itu, yang akan merasa susah dan tertekan adalah golongan pekerja kerana suasana persaingan sengit akan memaksa syarikat-syarikat sentiasa berusaha untuk meminimakan kos sumber manusia dalam usaha memastikan dayasaing mereka sentiasa kukuh. Oleh yang demikian senario pembuangan pekerja (kadangkala dipanggil `rightsizing’), pemotongan gaji, atau pekerja dipaksa bekerja lebih masa dengan bayaran yang sama akan berlaku lebih kerap dan meluas di masa akan datang, termasuk di dalam sektor yang pada mulanya mendapat manfaat dari TPPA.

Satu lagi perkara yang tidak disedari oleh ramai orang ialah di dalam sistem kewangan yang diamalkan di seluruh dunia sekarang, setiap kali transaksi pinjaman dari firma perbankan berlaku, maka matawang akan tercipta. Oleh itu pinjaman yang berjumlah bertrillion yang dihulurkan kepada syarikat-syarikat gergasi itu (serta kepada pihak konsumer yang membeli produk mereka) juga akan menambahkan jumlah matawang sebanyak bertrillion juga ke dalam sistem kewangan negara-negara yang terlibat. Jumlah matawang yang banyak ini adalah sebenarnya punca utama kepada suasana inflasi atau kenaikan kos kehidupan. Keadaan ini akan menambahkan kesengsaraan kehidupan kepada ramai pihak terutama sekali dari golongan pekerja yang kurang mahir kerana biasanya pendapatan mereka tidak akan meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan kos kehidupan. Kesan ini telah dapat dilihat di negara-negara yang mempunyai sektor kewangan yang besar seperti Jepun dan Amerika.

Fenomena kenaikan kos kehidupan juga telah menular ke Malaysia. Langkah kerajaan mengenakan cukai GST serta keadaan pekerjaan yang tidak menentu membuat suasana bertambah teruk. Sepatutnya kerajaan dapat membantu jika ia mempunyai tabungan. Malangnya kerajaan kita telah gagal menabung semasa harga minyak tinggi dan pendapatannya lumayan. Akibat dari pengurusan kewangan yang tidak cekap, maka kerajaan sendiri sekarang berhutang sebanyak RM700 billion dan oleh itu sebenarnya tidak mampu membantu kecuali dengan menambah kepada beban hutangnya yang sedia ada atau mengutip cukai tambahan dari rakyat.

Pendek kata melalui TPPA, oleh kerana ianya dilaksanakan di dalam sistem riba yang menjadikan industri hutang sebagai tunjang pertumbuhan ekonomi, maka secara umumnya ia akan mendatangkan keuntungan lumayan kepada segolongan kecil sahaja iaitu pengurusan atasan dan pemilik saham syarikat yang berdaya saing, serta pengurusan atasan dan pemilik saham dalam industri kewangan di negara-negara yang terlibat, terutama sekali pemilik saham di dalam syarikat kewangan utama di Amerika Syarikat (seperti Goldman Sachs, Morgan Stanley, JPMorgan Chase, Bank of America Merrill Lynch, dan Citigroup).

Bagi kebanyakan golongan pekerja yang tidak mampu menyumbang kepada proses penambahan keuntungan syarikat atau tidak mempunyai kemahiran yang relevan kepada keperluan syarikat, mereka tidak akan dapat mengecapi manfaat secara langsung dari TPPA ini. Bahkan kehidupan mereka akan bertambah sengsara jika mereka di bawah belenggu hutang, sama ada mereka adalah rakyat Amerika Syarikat atau rakyat Malaysia.

Berdasarkan penjelasan di atas maka jelaslah bahawa TPPA tidak akan menyebabkan Amerika Syarikat menjajah Malaysia dan memonopoli semua perniagaan di Malaysia. Apa yang akan berlaku ialah ianya akan mendedahkan Malaysia kepada suasana perniagaan yang sengit yang dimangkinkan oleh industri hutang yang walaupun pada mulanya menghasilkan suasana perniagaan yang rancak dalam sektor tertentu, tetapi pada akhirnya akan menimbulkan berbagai masalah-masalah ekonomi dan sosial dalam masyarakat.

Dengan kata lain, kesejahteraan dan kebajikan masyarakat jangka panjang bukannya ditentukan oleh terlaksana atau tidak terlaksananya TPPA. Sebaliknya ia akan dapat dicapai apabila tiga unsur penting yang berikut wujud:
1. Suasana politik yang lebih demokratik dan telus agar pandangan-pandangan untuk kesejahteraan ummah dapat dibincangkan secara terbuka dan bebas serta mewujudkan peluang yang lebih baik dalam memilih kepimpinan politik yang amanah dan berhemah dalam menguruskan kewangan negara demi meminimakan pembaziran dan ketirisan.
2. Sistem ekonomi dan kewangan yang bebas dari amalan riba, iaitu yang tidak menjadikan industri hutang sebagai sumber dana untuk membangunkan negara
3. Sistem nilai masyarakat yang tidak materialistik, iaitu yang tidak menggalakkan ahli-ahli masyarakat mengejar kemajuan kebendaan semata-mata lantas menjadikan mereka senang terjebak di dalam perangkap industri hutang.

 

Print Friendly, PDF & Email