Prof Nazari Ismail

Pelaksanaan Syari’ah dan Kesejahteraan Negara

Sebagai seorang Islam kita semua mesti meyakini akan kemampuan Syari‘ah Islam untuk menyelesaikan masalah manusia. Syari‘ah adalah datangnya dari Allah SWT, pencipta alam semesta  yang Mahamengetahui dan Maha-adil. Oleh itu adalah menjadi sebahagian dari ‘aqidah kita untuk mahukan Syari‘ah dilaksanakan sepenuhnya di negara kita demi kesejahteraan kita di dunia dan di akhirat.

Namun kita juga jangan lupa bahawa Syari‘ah mempunyai banyak cabang yang termasuk di dalamnya undang-undang jenayah seperti Hudud dan Ta‘zir, Muamalat dan Siyasah. Di samping itu ulamak kontemporer juga menekankan hakikat bahwa Syari‘ah  juga mencakupi aspek pentadbiran seperti tatakelola yang baik, keadilan dan ketelusan.  Jika kita hanya menekankan sebahagian sahaja dari aspek Syari‘ah seperti aspek kanun jenayahnya sahaja, tetapi meninggalkan atau menabaikan aspek penting lain seperti aspek pentadbiran dan tatakelola yang baik, serta keadilan dalam melaksanakan ajarannya, maka Islam yang diamalkan tidak akan dapat menunjukkan potensi yang sebenar, bahkan akan juga nampak pincang dan tidak menarik.

Mungkin salah satu negara yang boleh menjadi contoh kepada kita tentang hakikat ini ialah Arabia Sa‘udi (Arab Saudi). Di sana kanun jenayah Syari‘ah berdasarkan hukum Hudud dilaksanakan sepenuhnya, iaitu yang selalu disebut-sebut: pembunuh dipancung, pencuri dipotong tangan dan penzina disebat. Namun aspek ajaran Islam lain seperti cara pemimpin dilantik, tatakelola yang baik oleh pemimpin, ketelusan dan keadilan dan lain-lain diketepikan.

Akan tetapi di Arabia Sa‘udi, pemimpin bukan dilantik oleh rakyat tetapi ditentukan oleh ahli keluarga Sa‘ud. Keluarga Sa‘ud juga tidak boleh dipersoalkan dari aspek bagaimana negara ditadbir termasuk bagaimana wang kerajaan dibelanjakan. Rakyat juga tidak boleh mempersoalkan sama ada perbelanjaan merupakan pembaziran atau tidak. Kemewahan kehidupan keluarga Di-Raja Sa‘ud dengan menggunakan wang rakyat adalah masyhur hinggakan pernah anak buahnya, Raja Salman berbelanja  USD30 juta atau lebih daripada RM120 juta untuk menyewa peranginan lima bintang di kepulauan Maldives bagi keluarganya bercuti selama hampir sebulan dari 19 Februari 2014 sehingga 15 Mac 2014.   Satu laporan menyatakan kos menanggung keluarga Di-Raja Sa‘udi adalah USD2 bilion (lebih daripada RM8 bilion; 1 bilion=seribu juta) setahun. Ini tidak termasuk pembaziran lain seperti tambang percuma untuk ahli keluarga Di-Raja apabila menaiki penerbangan Saudi Air. Terdapat juga kes ahli keluarga Di-Raja mengambil tanah awam dan tanah waqaf dengan tidak melalui cara yang sah. Projek mega di sekeliling Masjid al- Haram dilakukan oleh beberapa orang ahli keluarga yang paling berpengaruh sebagai taktik untuk memindahkan dana kerajaaan ke saku mereka sendiri.

Semua ini beliau boleh lakukan kerana rakyat tidak mempunyai hak untuk menyoal pemerintah negara tersebut.  Jikalau ada yang berani berdemonstrasi menentang pemerintah, mereka akan ditangkap dan dipenjarakan. Akhirnya rakyat menjadi lemah dan menerima sahaja suasana yang tidak adil ini. Ramai juga yang tertipu dengan berpegang kepada kepercayaan asalkan Hudud dilaksanakan, maka wajiblah rakyat menyokong pemimpin sedia ada.

Akibat dari keadaan tersebut, pembaziran yang telah berlaku di negara tersebut mungkin sudah berjumlah bertrilion-trilion Riyal (trilion = seribu bilion). Tabung simpanan yang besar hasil jualan minyak seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Norway untuk menjamin masa depan rakyat jangka panjang juga tidak wujud. Yang ada hanya rezab luar dalam USD hasil dari ekspot minyaknya. Akan tetapi rezab itu adalah seperti rezab luar yang disimpan oleh Bank Negara berkenaan dengan tujuan utama adalah untuk menyokong kegiatan impot negara (kerana import perlu dibayar dalam matawang Amerika Syarikat, USD) dan menyekat kejatuhan nilai Riyal, dan bukan untuk menanggung perbelanjaan kerajaan.

Di Arabia Sa‘udi sekarang, masalah ekonomi semakin meruncing kerana harga minyak sudah jatuh dan pendapatan kerajaan tidak mampu menampung perbelanjaan. Duit yang banyak hasil dari penjualan minyak selama ini nampak gaya sudah habis kerana pada tahun 2015 defisit belanjawannya adalah USD98 bilion (lebih daripada RM400 bilion) atau 15 peratus daripada KDNK-nya. Akibatnya pada bulan Oktober 2016 kerajaan Sa‘udi terpaksa berhutang dari pasaran kewangan antarabangsa sebanyak USD17.5 bilion untuk membiayai perbelanjaannya. Yang paling aneh ialah negara yang beramal dengan undang-undang Hudud ini tidak berasa bersalah (berdosa besar) untuk meminjam dengan cara Riba’ dari institusi kewangan yang jelas menamalkan sistem Riba’.

Kini kerajaan Sa‘udi terpaksa melaksanakan langkah jimat cermat. Subsidi makanan ditarik balik dan oleh itu kos makanan untuk rakyat telah meningkat. Elaun kakitangan kerajaan dipotong untuk mengurangkan perbelanjaan. Hanya gaji pokok sahaja yang dibayar.  Bayaran visa untuk haji dan umrah juga dinaikkan untuk menambahkan sumber kewangannya. Akibatnya, bukan sahaja rakyat Sa‘udi yang tertekan bahkan juga rakyat dari negara Muslim lain yang ingin menunaikan haji dan umrah juga menerima padahnya.

Sebagai rumusan, ada beberapa pengajaran penting dari kes yang sedang berlaku di Arabia Sa‘udi. Antara lain, dalam kita berusaha untuk melaksanakan undang-undang Syari‘ah di negara tercinta kita ini, kita jangan lupa untuk pastikan aspek lain Islam dilaksanakan juga pada masa yang sama. Sebagai contoh, kita mesti pastikan pemimpin kita tidak menyalahgunakan wang rakyat atau membazirkannya dengan senang. Untuk itu kita perlu wujudkan suasana yang lebih telus sehingga maklumat tentang kewangan syarikat milik kerajaan mesti boleh diperiksa oleh rakyat dan bukan dijadikan bahan rahsia kerajaan. Kita tidak mahu keadaan dana berbilion hilang dan rakyat tidak tahu menahu bahawa perkara itu telah berlaku. Yang lebih malang ialah jika orang yang berusaha untuk memaklumkan rakyat tentang perkara itu diambil tindakan undang-undang seperti “disusahkan” hidupnya atau lebih teruk lagi dipenjarakan.

Pemimpin yang kita lantik juga hendaklah bukan dari kalangan yang tamak kuasa dan suka menyekat suara rakyat atau menakut-nakutkan mereka dengan ancaman akan dibuang kerja atau dipenjarakan jika berani mengkritik kerajaan. Jika perkara ini berlaku, jelaslah bahawa Syari‘ah yang ingin dilaksanakan adalah berbentuk solekan sahaja dan bukan untuk memastikan kesejahteraan masa depan rakyat. Jika rakyat rela juga ini berlaku, ia mencerminkan tahap kefahaman Islam yang sempit dan tidak seimbang di kalangan masyarakat.  Di samping itu, besar kemungkinan isu undang-undang Syari‘ah ini sedang diperalatkan untuk tujuan politik semata-mata untuk menipu rakyat dan membuat mereka lupa berkenaan isu penting lain dalam masyarakat seperti penyalahgunaan kuasa dan pembaziran, demi mengekalkan kuasa politk pihak yang sedang berkuasa. Yang lagi menyedihkan ialah jika penipuan berjaya dilakukan dengan hanya menyebut tentang niat untuk melaksanakan beberapa aspek hukum Syari‘ah dengan hasrat tidak semestinya melaksanakannya. Hanya rakyat yang betul-betul dangkal dan cetek pemikirannya sahaja yang akan senang tertipu.

Pandangan
Prof. Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan
Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur

Print Friendly, PDF & Email