KORUPSI (Sumber: https://www.flickr.com/photos/paulk/4608795889 )

Rasuah bagi Orang Malayonesia Islam Khasnya Melayu di Malaysia

Makalah GATERA 3/2017 – Shaharir b.M.Z. (Gambar hiasan: “KORUPSI”, oleh Paul Keller  –Editor)

0. Pendahuluan

Sumber: Rausyanfikir.com

Sayed Hussein Alatas (Sumber: rausyanfikir.com)

Sayed Hussein Alatas (Alatas 1968, 1990, 1999) boleh dianggap sarjana pertama membicarakan rasuah dengan berertinya dan memberi takrif rasuah yang dianggap banyak pihak mencakupi (komprehensif). Beliau (Alatas 1990) mengkategorikan rasuah kepada 6 jenis yang berikut: 1) Rasuah berdaya pentransaksian ; 2) Rasuah peras ugut; 3) Rasuah berdaya swa-pertahanan; 4) Rasuah berdaya pelaburan; 5) Kerabatisme (Nepotisme) dan sukusakatisme (kronisme); dan 6) Rasuah autogenik (melibatkan pemalsuan dokumen dsbnya).

Takrif rasuah Alatas ini memang masih tidak mencakupi dengan tuntasnya, apabila dipertimbangkan sejarah kegiatan rasuah Malayonesia (ringkasan kami terhadap Melayu di Malaysia dan suku-suku kaum berbahasa Austronesia di Asia Tenggara) dan gelagat “rasuah politik” masa kini, terutamanya di Malaysia yang akan dibicarakan nanti. Sebenarnya tanpa pertimbangan ini pun dalam abad ini juga ramai ahli sosiologi yang masih memperkatakan takrif rasuah sambil menilik kembali karya Alatas itu seperti Treisman (2000), Jain (2001), van Duyne (2001), Johnston (2005) dan Khondker (2006); walaupun bicara mereka ini pun masih tidak menyentuh atau tersentuh semuanya dan mendalamnya gelagat rasuah di Malaysia dan di Malayonesia amnya. Takrif rasuah oleh van Duyne (2001) yang disanjung tinggi kerana kononnya bernas, padat dan lebih bersifat sains berbanding dengan takrif Alatas (1990) itu pun masih kurang mencakupi bahkan takrifnya ditujukan kepada rasuah daripada pihak berkuasa sahaja apabila beliau mentakrifkan rasuah sebagai yang “berlaku ketika seseorang pembuat keputusan menyimpang daripada aturan sepatutnya dalam proses pembuatan keputusannya demi  memperoleh pulangan, janjian atau harapan pulangan, sedangkan motif yang mempengaruhi pembuatan keputusan ini tidak boleh menjadi sebahagian daripada justifikasi keputusan” (Terjemahan penulis).  Takrif ini jelas bukan sahaja kurang merakyatkan bahkan kurang menghayati konsep rasuah segi Islam berbanding dengan takrif Alatas (1990)  itu pun. Segala kekurangan takrif rasuah ini akan cuba diperbaiki dengan syor takrif yang baharu nanti berasaskan pada fenomenon yang ditafsirkan rasuah di Malayonesia.

Sementara itu, Sayed Muhammad Naquib al-Attas (al-Attas 1985, 1990, 2011) pula boleh dianggap pencipta pertama dalam memperluaskan konsep rasuah atau korupsi kepada ilmu (mengikut pengertian Islam, bukan Barat), iaitu ilmu dianggap terasuah/terkorupsi apabila lulusannya kehilangan adab, akibat ilmu itu diresapi oleh ilmu moden menerusi pembaratan kebudayaan (bahasa, ideologi dan ilmu) Dunia Ketiga (Dunia Membangun) akibat penjajahan atau kolonialisme. Rasuah ilmu berlaku apabila makna perkataan-perkataan asas dalam sesuatu ilmu seperti makna manusia atau insan, makna adil, makna terbaik dan seumpamanya berlaku; dan ini dibiarkan tanpa reaksi yang sewajarnya dari kalangan ilmuwan Islam dan bukan Islam seluruh dunia, secara sedar atau tidaknya, yang oleh itu dianggapnya sudah turut terasuah ilmunya. Beliau seterusnya memulakan gagasan pengislaman dan penyahbaratan ilmu sebagai pengubatan kepada rasuah ini. Di dalam makalah ini, aspek rasuah ilmu ini tidaklah akan dibicarakan lebih lanjut lagi, kecuali pada hujung makalah ini, walaupun jelaslah rasuah ini terkeluar daripada kategori rasuah Alatas itu dan bagi al-Attas menjadi ibu bagi segala masalah manusia sekarang, terutamanya Muslim.

Satu kelemahan kajian terhadap sesuatu fenomena masyarakat atau kelompoknya oleh ahli sosiologi ialah ketiadaan perakuan bagi mengatasinya, dan kajian isu rasuah ini tidaklah terkecuali. Mungkin kerana itulah juga, Khondker (2006) menjadi agak terkeluar daripada peranan normal komunitinya lalu melahirkan rasa kecewanya bukan sahaja kepada fenomena rasuah yang kunjung melonjak tetapi juga kepada ahli sosiologi yang terus memperkatakan tabii fenomenonnya sahaja. Oleh itu makalah ini akan menumpukan kepada galagat rasuah di di Malayonesia dan Malaysia khususnya, dan juga syor menghakis amalan rasuah itu berdasarkan kepada yang dianggap sumber kejadian rasuah itu yang lebih mendasar.

1. Istilah lain untuk rasuah dan zalimnya orang Islam Malayonesia terhadapnya

Buku Alatas (Sumber: DBP)

Buku Alatas (Sumber: DBP)

Agak ironi juga apabila mengenangkan bapa bicara rasuah dunia ialah dari negara Malaysia sendiri tetapi nampaknya amalan rasuah Malaysia memang terbukti (berdasarkan indeks rasuah dunia) berada di asana yang tinggi seperti yang dibicarakan lagi di bawah ini. Rasanya, tidaklah salah jika dikatakan masyarakat Malayonesia (rumpun Melayu, Bumiputera dan Peribumi)  dan Islam di Malaysia ini khasnya  tidak meletakkan rasuah dan istilah baharunya korupsi pada tempat yang sewajarnya, iaitu Muslim di Malaysia masih “zalim” terhadap melayani perkataan rasuah/korupsi itu. Buku Alatas (1990) tentang rasuah dalam bahasa Melayu dan Inggeris (diterbit serentak) tidak begitu dikenali oleh orang Malaysia hinggalah cetakan semulanya selepas kematiannya 2007. Tidak syak lagi ini berlaku kerana isu rasuah politik di Malaysia begitu ketara ketika itu sehingga pendahuluan buku Alatas (1968) disunting semula pada tahun 2015 dengan perubahan judulnya kepada “Problem of Corruptions” dan disertakan pendahuluannya oleh anaknya, Syed Farid Alatas berani, melebihi bapanya, memperkatakan khusus rasuah di Malaysia dengan kleptokrasi menerusi 1MDB, maka baharulah buku dalam bahasa Melayu itu nampaknya menjadi laris jualan. Buku dalam bahasa Melayu itu tiba-tiba diulang cetak beberapa kali mulai tahun 2009.  Namun pada amnya,  entah mengapa sebabnya istilah rasuah (daripada bahasa arab) itu sendiri muncul sekitar tahun 1970-an sahaja manakala korupsi lagi baharu (dari bahasa Inggeris) sekitar awal tahun 1990-an dan melonjak apabila kejayaan KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme) di Indonesia membawa kejayaan reformasi di Indonesia dalam Mei 1998; tetapi ternyata tidak berjaya diperluaskan ke Malaysia pada tahun yang sama. Perubahan istilah itu yang begitu sering sedikit sebanyaknya membayangkan kepelbagaiannya amalan rasuah itu yang amat tertoleransikan.

Istilah tertuanya dan sudah terfosil ialah upapradana (tercatat di batu bersurat atau prasasti Kerajaan Campa-Vietnam awal abad ke-11 M) diikuti dengan kekol (tercatat dalam Kanun Melaka abad ke-15 M) dan sorong (tercatat dalam buku Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu 1642 M yang menjadi amalan para pembesar Melaka akhir abad ke-15 M hingga kejatuhannya 1511 M). Kemudian muncul beberpa istilah dalam bentuk perumpamaan yang semakin kurang disebut sekarang, iaitu makan suap, tumbuk rusuk, duit luar, bawah meja, duit kopi, dan pelincir/gris tetapi perkataan “suap” sahaja hidup segar sebahagiannya kerana diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Malaysian Anti-Corruption Commission yang ditubuhkan pada tahun 2008 menjadi satu istilah generik untuk maksud rasuah dengan istilahnya “suapan” yang terdiri daripada 8 komponennya: wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, dan diskaun (sumber: Laman SPRM) dengan agak mencakupi juga tetapi terma “suapan” itu nampaknya bukan sahaja merujuk kepada bentuk kebendaan sahaja tetapi juga masih tertinggal tabii rasuah yang agak tradisi Malayonesia seperti rasuah yang melibatkan juga fitnah yang dibicarakan nanti. Ada pula beberapa istilah  yang dijadikan yang masih disebut agak kerap juga: sogok dan beli;  tetapi yang paling terkenal kini ialah dedak (sejak beberapa tahun ini sahaja, dan seolah-olah istilah itu diperkenalkan oleh Tun Mahathir bagi menyifatkan kerasuahan musuh politiknya, Perdana Menteri Malaysia kini, YAB Dato’ Mohd Najib Tun Abdul Razak, walaupun ramai yang menegaskan, sepanjang ingatannya, YAB Najiblah orang pertama memperkenalkan istilah itu semasa beliau menjelaskan satu daripada sebabnya penerimaan wang derma kepadanya sebanyak 2.6 bilion itu, iaitu untuk memberi “dedak” kepada pekerja UMNO.

Rata-rata orang Malaysia, malangnya terutama Muslim, tidak menganggap kegiatan rasuah atau korupsi itu suatu yang jijik, perlu dikutuk habis-habisan, walaupun mereka tahu hukum Islamnya haram. Istilah perumpamaan rasuah yang terbaharu itu, dedak, itu hanya semakin menjadi klise dan semakin tidak serius sahaja.  Tahap keharaman rasuah itu sukarlah diketahui letak hierarkinya dalam fikiran dan hati sanubari mereka berbanding dengan mencuri, merompak, peras-ugut,  menipu, makan bunga/riba’, membuat fitnah, berjudi, berzina, tidak membayar hutang, menganinyaya orang atau haiwan, menyentuh anjing atau babi, menyentuh perempuan yang boleh dikahwini, tidak menutup aurat,  dan lain-lain.  Bagi masyarakat umum Malayonesia dan Islam di Malaysia rata-rata tidaklah aneh atau pelik mendengar ibu-bapa menceritakan nasib baik anaknya bekerja walaupun dengan gaji yang tidak seberapa tetapi “duit luar” yang agak lumayan (dengan air muka yang bangganya). Tiada ibu-bapa yang mahu menceritakan tentang anaknya mencuri atau sebagainya yang disenaraikan di atas, sekurang-kurang sehebat menceritakan perihal “duit luar” itu. Jika kita perhatikan bagaimana apedulinya, tasamuhnya atau toleransinya orang Malayonesia dan Islam di Malaysia terhadap rasuah yang berleluasa di Malaysia kini walaupun penilai rasuah antarabangsa, Transparency International, pada tahun 2014 meletakkan Malaysia berada pada tangga  50 (sama dengan Samoa tetapi jauh di bawah Singapura, Hong Kong, Jepun, Bhutan, Taiwan dan Korea) drp 175 buah negara di dunia yang dinilainya (http://www.transparency.org/cpi2014/results).  Baru-baru ini pula majalah Times 17 Mac 2016 yang meletakkan Malaysia bersama Brazil, Afrika Selatan, China dan Rusia sebagai negara yang menghadapi isu rasuah besar di dunia, maka jelaslah tempat letak sebenarnya tahap keharaman rasuah itu dalam hati sanubari orang Malayonesia dan Islam di Malaysia ini. Malaysia dibicarakan dalam majalah itu selepas negara pertama, Brazil, diperkatakan seolah-olah Malaysia mendapat tempat kedua dalam senarai negara yang paling besar skala rasuah. Semua ini tidak begitu mendapat perhatian rakyat Malaysia amnya, kerana sebahagian besarnya mereka tidak anggap rasuah suatu perkara yang  menjejaskan kehidupannya, suatu dosa yang menjijikkan, atau mereka rasa, oleh sebab berita rasuah itu datangnya dari Barat,  berita itu disogok oleh pihak kuasawan sebagai tindakan niat buruk (konspirasi) orang kafir terhadap Islam sahaja, dan atas dukungan hambawanisme (yang dibicarakan nanti) dan ‘asyobiyah mudah sahaja rakyat terbanyak mempercayainya demikian; atau mereka memang tidak tahu (budaya tidak membaca) dan tidak hendak tahu (membaca) perkara itu.

CPI 2014 (Sumber: Transparency International)

CPI 2014 (Sumber: Transparency International)

Secara tidak langsungnya seolah-olah mengukuhkan budaya tidak pentingnya rasuah di atas, mantan, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh berkata dalam  ceramahnya di Kuliah Haraki Mahasiswa Kota Bharu 2016 (dalam muka bukunya), negara tidak akan musnah dengan hanya sebab rasuah, tetapi musnah apabila rakyatnya sudah tidak solat, minum arak, berzina, berjudi dan makan riba’ (dan mungkin ada enam lagi kalau seseorang bertunjangkan pada hadith “7 dosa besar”, iaitu syirik, sihir, membunuh orang yang diharamkan oleh Allah seperti orang Islam, makan harta anak yatim, riba’, lari dari medan perang jihad, dan menuduh zina terhadap perempuan suci – Riwayat Muslim). Apa pun helah penyokongnya, ini jelas sikap “ulama” Melayu Malaysia yang meletakkan rasuah yang amat rendah dosa dan salahnya segi kemanusiaan (dimensi hubungan manusia dengan manusia), iaitu di bawah arak, zina, judi dan riba’!  Penilaian sebegini adalah jelas berlaku kerana jiwa kemelayuannya seperti yang disebut dalam perenggan pertama di dalam seksyen ini dan akan diperkukuhkan lagi dalam makalah ini, lalu beliau memberi pula contoh yang pelik dan meleset untuk mengukuhkan pandangannya itu. Kononnya, kerajaan-kerajaan Islam dahulu memang (hebat) rasuahnya tetapi kerajaan itu tidak runtuh kerananya, malah Islam tetap berkembang seluruh dunia. Padahal hakikatnya, hampir semua sarjana yang mengkaji sebab-sebab keruntuhan kerajaan-kerajaan Islam sejak selepas Khalifah al-Raasyidin hinggalah kerajaan Andalusia, ‘Uthmaniyyah  dan Kesultanan Melaka adalah, antara lainnya (dan bukan sebab yang disebut oleh Nik Mohammad Abduh itu) memberi sebab besarnya ialah rasuah sama ada di kalangan ulil amri-nya atau bahagian terpenting kerajaannya, tentera. Alatas (1990, pp 302) telah memetik tulisan Sari Mehmed Pasha, Bendahara Kerajaan Turki pada abad ke-17 Masihi mengenai rasuah (yang dipetiknya daripada buku Ottoman Statecraft: Book of Counsel for Vezirs and Governors 1935, Princeton University Press) bahawa rasuah itu sumber dan landasan segala macam gangguan dan benih-benih pemberontakan, kejahatan dan bencana yang paling besar, bahkan rasuahlah yang membawa bencana lebih besar bagi rakyat negara Islam atau yang lebih merosak sendi-sendi agama dan pemerintahan; dan tiada penyebab ketidakadilan dan kekejaman yang lebih besar daripada rasuah, kerana perbuatan inilah yang menghancurkan iman dan negara.

Sesungguhnya segelintir sahaja daripada rakyat Malayonesia dan Islam (termasuk “ulamak Melayu Malaysia” yang diwakili oleh mantan Ketua Pemuda PAS itu) yang rasa marah, kecewa dan malu dengan amalan rasuah. Kenapakah terjadinya begini selain daripada beberapa sebab seperti hambawanisme (yang termanifestasi, antara lainnya, daripada mengikut pihak yang berkuasa/kuat bak perumpamaan “seperti panji-panji, ditiup angin berkibar-kibaran”), kejahilan (tidak tahu-menahu dan tidak tahu empat), perseoranganisme/individualisme (berfahaman tidak serumpun bagai serai; tidak seliang bagai tebu), dan sikap apeduli perkara sekelilingnya, “seperti lotong meniti batang kayu”  atau “bermata-mata kayu, bertelinga-telinga kuali”? ) (Sumber: Abdullah dan Ainon 1993). Sebab-sebab perasuahan yang disenaraikan ini memang agak asas tetapi masih boleh ditanya “kenapakah berlakunya demikian?” , oleh itu persoalan itulah yang cuba dibicarakan di sini. Tegasnya, yang ingin dibicarakan lagi ialah tabii kejiwaan atau psike bangsa Malayonesia ini yang terjadi atau terpupuk dan terjiwa sejak awal tamadunnya lagi terhadap punca perasuahan kerana tabii inilah dirasakan lebih mendasar lagi akan sebabnya keapedulian Malayonesia Malaysia terhadap rasuah seperti sekarang ini. Tabii ini ditelusuri menerusi sejarah tamadun bangsa Malayonesia ini sejak sebelum Islamnya dahulu, khasnya tentang amalan rasuah. Sebelum itu, sorotan terhadap hukum rasuah dalam al-Qur’an dan hadis juga masih perlu dibuat kerana sebahagian daripada natijahnya membuahkan psike Muslim Malayonesia terhadap rasuah hingga kini.


2. Sebuah manifestasi kegagalan pendidikan Islam di Malayonesia?

Mungkin sekali salah satu punca tasamuhnya orang Islam (Malaysia khususnya) terhadap rasuah  ialah kerana pendidikan agama Islam kita secara formal dan tidak formal tidak begitu menekan kepada rasuah dengan penuh hikmahnya yang berpuncakan, antara lainnya gagalnya orang berbahasa Melayu menghayati istilah-istilah rasuah dalam al-Qur’an dan hadis sehingga pensekularan rasuah itu berlaku dalam kebudayaan berbahasa Melayu. Ayat al-Qur’an yang sering disebut-sebut orang mengandungi larangan rasuah ialah ayat 188, Suraht al-Baqarah:

“Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, pada hal kamu mengetahui” (Al-Qur’an dan Terjemahnya 2002)

Mengikut ramai pentafsir al-Qur’an yang masyhur-masyhur  seperti al-Qadhi al-Jurjani, dan al-Zuhayli; dan di Malayonesia ini, Hamka (1984); serta yang tersohor antarabangsa  zaman ini, Yusuf al-Qardhawi dalam karyanya, Halal dan Haram dalam Islam (Terj.), “makan harta di antara kamu dengan cara yang batil” dalam ayat di atas ialah termasuk rasuah, iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya kuasawan itu menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya. Bahagian kedua ayat itu lebih jelas unsur rasuahnya yang distilahkan oleh pentafsir al-Qur’an itu sebagai “menyuap” (tudluw) seseorang hakim.

Kolofon karya terjemahan Abdul Rauf Singkel (Sumber: misykah.com)

Kolofon karya terjemahan Abdul Rauf Singkel (Sumber: misykah.com)

Perhatikan berdosanya rasuah dalam ayat ini adalah, pertamanya terimplikasi daripada tafsiran “makan secara batil” tetapi menariknya, terjemahan al-Qur’an pertama dalam bahasa Melayu oleh Abdul Rauf Singkel 1670-an tidak pun mentafsirkan ungkapan ini sebagai rasuah; walaupun beliau menterjemahkan tudluw dalam bahagian kedua ayat al-Qur’an itu sebagai “rasyuwah”.  Kenapa beliau tidak mahu mepopularkan istilah tudluw supaya menjadi perkataan bahasa Melayu dan sekali gus menghayati istilah al-Qur’an tentang rasuah? Mungkin boleh dihipotesiskan bahawa orang berbahasa Melayu pada abad ke-17 M itu sudah kenal istilah “rasyuwah” lebih daripada tadluw menerusi hadis yang menjelaskan ayat ini (hadis itu akan diturunkan nanti di bawah ini). Mungkin ini manifestasi orang Malayonesia yang lebih suka mendekati hadis daripada al-Qur’an? Ini persoalan pedidikan Islam pada abad-abad lampau yang masih diwarisi hingga sekarang. Masih tidak terlambat rasanya kita mengambil “tadlu” (atau bentuk kata terbitannya) ke dalam bahasa Melayu sekarang bagi tujuan khusus dengan maksud rasuah hakim dan sekali gus kita dapat memudahkan lagi bagi mendekatkan ayat al-Qur’an ini dengan hati  nurani muslim di  Malaysia menerusi pendidikan rasuah nanti. Dalam Kanun Melaka (akan dibicara nanti) pun tidak dipakai istilah al-Qur’an ini, sebaliknya dipakai istilah kekol yang sudah pun terfosil sekarang.

Ada juga pentafsir al-Qur’an yang mengaitkan rasuah dengan Ayat 42, Suraht al-Maa’iydaht:

Mereka sangat suka mendengar berita bohong, banyak memakan (makanan) yang haram (seperti wang suap dan sebagainya). Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (Muhammad untuk meminta keputusan), maka berilah putusan di antara mereka atau berpalinglah dari mereka, dan jika engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan membahayakanmu sedikit pun. Tetapi jika engkau memutuskan (perkara mereka), maka putuskanlah dengan adil. Allah menyukai orang yang adil.  (Al-Qur’an dan Terjemahnya 2002).

Dalam terjemahan di atas suht atau suhut itu ditafsirkan “seperti wang suap”; dan tafsiran sebegini juga dilakukan oleh Hamka (1984) dan lama sebelumnya, pentafsir besar abad ke-15 M, Jalalayn (http://www.tafsirjalalain.id/2017/05/tafsir-surat-al-maidah-ayat-41-42-43-44-45.html). Lagi sekali menariknya, istilah suht dalam ayat al-Qur’an ini tidak diterjemah-tafsir oleh penterjemah pertama al-Qur’an dalam bahasa Melayu abad ke-17 M dahulu, Abdul Rauf Singkel, sebagai rasuah atau yang membawa makna tersebut, tetapi diterjemahkannya sebagai yang amat umum sahaja, “memakan benda yang haram di sisi syarak”. Oleh itu ayat ini tidak mungkin digunakan oleh para pendidik atau pendakwah berbahasa Melayu abad ke-17 M (dan mungkin sekali menjangkau abad ke-20 M  pun) bagi tujuan membencikan rasuah.

Namun Hamka (1984), nampaknya menonjolkan istilah yaghulla atau yaghlul dalam ayat Surah Ali ‘Imran, ayat 161, sebagai bermaksud rasuah sampai beliau membicarakan ayat ini di bawah judul Korupsi (pp. 160-167):

Tidaklah ada seorang Nabipun berlaku curang. Dan barang siapa yang berlaku curang, maka akan datanglah dia dengan barang yang dicurangkannya itu pada hari kiamat. Kemudian akan dibayar penuh untuk tiap-tiap diri apa yang telah  diusahakannya. Sedang mereka tidaklah akan dianiaya. (Hamka 1984; juzu’ke-4; pp. 160)

Sayangnya juga istilah yaghlul  atau ghulul yang banyak ada dalam hadis (dinyatakan kemudian ini; bahkan lebih banyak daripada hadis rasyuwah) bagi menjelaskan maksud ayat ini pun tidak meresap dalam jiwa orang Malayonesia berbahasa Melayu untuk menjadikan perkataan ini sebagai satu perkataan penting baginya bagi maksud rasuah atau korupsi. Ini tidak menghairankan juga kerana Abdul Rauf Singkel tidak juga menterjemah atau mentafsir yaghlul atau yaghulla ini sebagai perbuatan yang berhubung dengan rasuah atau korupsi.  Oleh itu ayat al-Qur’an ini tidak mungkin digunakan sebagai bahan pendidikan rasuah di Malayonesia ini sekurang-kurangnya sehinggalah tafsiran Hamka ini popular (Tafsiran al-Azhar Hamka itu dikatakan tidak asing di Indonesia menerusi pentafsiran lisannya dalam tahun 1960-an lagi).

Nurhayati dan Abdul Ghani (2015) mentafsir ayat al-Qur’an 11-14, suraht al-Fajr, khasnya perkataan tdaghaw itu antara lainnya berkenaan rasuah. Mereka ini dan Md Zain (2016) juga mentafsir istilah fasad di dalam banyak ayat al-Qur’an itu (cthnya al-Baqarah ayat 205, al-Maa’iydaht ayat 64, al-Qasas ayat 77, al-Syua’ra ayat 152) antara lainnya bermakna “segala kejahatan korupsi seperti rasuah, mencuri harta awam, memperdagangkan pengaruh, salah guna kuasa atau jawatan, pengkayaan diri melalui cara yang tidak halal, money laundering, menghalang keadilan dalam menghadapi kejahatan berkenaan”. Ini lagi jauh daripada menarik perhatian orang Malayonesia berbahasa Melayu untuk menghayati al-Qur’an dalam aspek rasuah menerusi tdaghaw dan fasad.

Seperti yang sudah disebut beberapa kali di atas, jika dalam al-Qur’an istilah yang ditafsirkan sebagai rasuah ialah makan harta secara batdil, tudluw, suht, yaghlul, taghaw, dan fasad tetapi  dalam hadis, larangan rasuah/korupsi lebih jelas lagi kerana hadis-hadis yang menggunakan istilah rasyuwah dan ghulal (kata akar daripada yaghlul atau yaghulla dalam al-Qur’an) itu tetapi yang menusuk jiwa mereka yang berbahasa Melayu hanyalah rasyuwah itu sejak abad ke-17 M lagi dan kini menjadi rasuah. Hadis yang popularnya tentang rasuah ialah

“Rasulullah S.A.W. telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam ‎penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dan lain-lain)”.” (al-Tirmidzi). Sumber: Ensiklopedia Muslim. Rasuah. http://ensiklopediamuslim.blogspot.my/2010/02/rasuah.html

Hadis lain ialah

Dosa perbuatan rasuah itu sama-sama ditanggung oleh pihak yang memberi, yang menerima, dan orang yang menjadi perantaraan dalam perbuatan rasuah itu” (Abu Dawud). Sumber: Mohd Shukri Hanapi. Rasuah: ancaman allah dan risiko terhadap pelakunya. Tanwir. http://tanwir.my/rasuah-ancaman-allah-dan-risiko-terhadap-pelakunya/

Rasuah bagi menetapkan hukum (bagi pemerintah atau hakim) adalah kekufuran, adapun bagi masyarakat adalah Al-Suht (haram).”(Al-Tabarani) . Sumber: Fathul Bari Mat Jahya 2013.Rasuah adalah dosa besar. https://ustazfathulbari.wordpress.com/2013/10/21/rasuah-adalah-dosa-besar/

Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” (Ahmad). Sumber: Rasuah itu haram!. Majalahi. http://www.majalahi.my/mobile/rasuah-itu-haram-1.484390

Hadis-hadis tentang ghulul yang dibawa oleh al-Bukhari dan Muslim memang banyak kerana masing-masing ada bab khas tentang perkara ini dalam kitab Hadis Shohih masing-masingnya; bahkan antara hadis itu ialah kisah Nabi Muhammad SAW tidak mahu mensholatkan mayat orang yang mati syahid kerana dia mengambil harta rampasan perang yang hanya berjumlah dua dirham; dan Rasulullah juga menyatakan melihat orang tersebut di dalam neraka yang disebabkan oleh jumlah ghulul yang sedikit. (Setengah pungutan hadis tentang ghulul ini ada dalam makalah Afriadi & Sharifah Hayati  2016; dan dalam talian: Ancaman Neraka atas Orang yang Korupsi. Eramuslim. Media Islam Rujukan. https://www.eramuslim.com/peradaban/pemikiran-islam/hartono-ahmad-jaiz-dan-hamzah-tede-ancaman-neraka-atas-orang-yang-korupsi.htm#.WUMrXFERVLM)

Ketiadaan istilah-istilah “rasuah” atau “korupsi” daripada al-Qur’an dalam bahasa Melayu boleh dianggap satu manifestasi kelemahan pendidikan islam  tentang rasuah/korupsi sehingga menjadikan rasuah/korupsi itu tidak sepenting yang sepatutnya itu dalam kalangan umat Islam Malayonesia amnya.

Menarik juga, hal yang sama berlaku dalam bahasa Arab sendiri kerana mengikut Afriadi dan Sharifah Hayati (2016), orang Arab tidak memakai mana-mana istilah dalam al-Qur’an atau hadis bagi maksud rasuah amalan mereka; mereka memakai ikhtilash. Rujukan kami kepada kamus English-Arabic di internet menyenaraikan bribery sebagai rasyuwaht dan al-irtisya’; dan corruption sebagai fasad, rasyuwaht dan ta‘fun tetapi tiada padanan dengan istilah-istilah dalam al-Qur’an:  suht, tudluw, tdaghaw, dan ghulul. Mungkin inipun menjadi satu daripada faktor tingginya amalan rasuah di kalangan orang Arab yang dialami oleh para Jemaah Haji.


3. Sejarah rasuah kepemimpinan dunia Malayonesia pra-Islam
 

Perkataan Melayu yang terawal yang memberi makna rasuah dan sebagainya itu ialah upapradana yang muncul dalam tulisan di sebuah batu bersurat atau prasasti dalam bahasa Melayu-Campa (zaman kerajaan Campa di Vietnam) sebelum Islam pada tahun 1086 Masihi sahaja dan dalam bentuk yang positif yang akan dijelaskan nanti. Keprihatinan terhadapnya sebagai amalan negatif hanya muncul setelah bangsa ini mendukung Islam yang agak mendalam dalam abad ke-15 Masihi sahaja tetapi itu pun amat rendah tahap kepedulian nya seperti yang diterangkan nanti. Oleh sebab biasanya rasuah biasanya dilakukan oleh kuasawan sedangkan rakyat amat patuh kepada kuasawan akibat amalan “pantang derhaka” dan dakapan hambawanisme (Shaharir 2015), maka amalan rasuah terutamanya dari kalangan kuasawan tidak dianggap salah. Kepercayaan kepada “pantang derhaka” adalah psike Malayonesia, terutamanya di Malaysia, yang tertanam sejak abad ke-4 M lagi apabila mengenangkan adanya prasasti (batu bersurat) dalam bahasa Melayu yang tertua bertarikh sekitar 350 M yang ditemui di Vietnam (zaman kerajaan Campa) yang dikenali sebagai Prasasti Dong Yen Chau di Teluk Tourane, Vietnam Selatan (INTAN 1991), yang menegaskan sesiapa yang menghormati simbol raja masuk “syuwarga” dan yang tidak menghormatinya akan masuk “naraka sariwu thun” untuk tujuh keturunan dan  sumpahan sebegini diteruskan catatannya pada batu-batu bersurat Sriwijaya abad ke-7 M seperti di bawah ini.

Batu Bersurat Talang Tuwo (Sumber: Wikipedia)

Batu Bersurat Talang Tuwo (Sumber: Wikipedia)

Dalam Batu Bersurat Talang Tuwo, Palembang bertarikh 606 Saka (= 684 Masihi) (Coedes dan Damais 1992 juga internet), ada dirakamkan berbagai-bagai keperihatinan rajanya yang bernama Sri Sanjaya terhadap rakyatnya tetapi tiadalah kepeduliannya terhadap perkara yang boleh diertikan sebagai “rasuah” (Yang ada ialah bencana/upasargga, siksaan/pidanu, insomnia/swapnawighna, penyakit/wyadhi, keawet-mudaan/ajara, kecurian/curi, kecurangan/ucca, pembunuhan/ wadhana, dan zina/paradara); begitu juga dalam Batu Bersurat Kota Kapur, Pulau Bangka di Sumatera Timur bertarikh  608 Saka (= 686 Masihi) (Coedes dan Damais 1992 juga internet) dibuat oleh seorang penguasa dari Kadatuan Sriwijaya yang menyenaraikan pelbagai perkara yang diprihatini oleh pemerintah Sriwijaya tetapi jelas tiada satu pun yang boleh ditafsirkan sebagai perkara yang dapat dikaitkan dengan rasuah. Yang ada pada batu bersurat ini ialah perihal hukuman ke atas penderhaka/drohaka (yang tak setia atau tidak berbakti kepada raja), pemberontak, perbuatan yang jahat seperti mengganggu ketenteraman jiwa orang, membuat orang sakit, membuat orang gila, menggunakan mantra, racun, memakai racun upas dan tuba, ganja, saramwat (serambat), pekasih, memaksakan kehendaknya pada orang lain dan sebagainya,  menghasut orang supaya merusak, dan pembunuh.

Yang lebih menarik lagi, dalam Batu Bersurat Campa di Vietnam bertarikh 1008 Saka (= 1086 Masihi) (Shaharir 2010), ada menyebut satu daripada sifat pemimpin dunia (istilah asalnya chakeravantin yang secara harfiahnya bermakna tok batin dunia) ialah orang yang pandai dalam mengamalkan rasuah yang diistilahkannya sebagai upapradana  (yang bermakna secara harfiahnya, upah pradana, iaitu memberi bayaran awal kepada seseorang dengan tujuan memperoleh pulangan yang lebih besar lagi). Inilah satu-satunya catatan tentang rasuah yang luas maknanya ada dalam tulisan pra-Islam tetapi dalam konteks positif pula.

Bukti terakhir, betapanya rasuah tidak menjadi isu negatif yang besar kepada bangsa Malayonesia sebelum Islam amnya ialah tiadanya hukum ke atas perbuatan rasuah kecuali ke atas perbuatan yang diungkapkan sebagai  “mengubah surat-surat keramat (“pancawida”) didenda lima tael sapaha (emas)” (1 paha =  seperempat; 1 tael =38.4 gm), dalam senarai hukum pada manuskrip Kozok (2004), Undang-Undang Tanjung Tanah, bertarikh sekitar abad ke-14 M dalam bahasa Melayu-Kerinci yang berupa titah perintah raja Dharmasjaya yang masih belum Islam. Kesalahan ini bolehlah dimasukkan ke dalam kategori 6, rasuah autogenik, dalam rasuah Alatas, walaupun amatlah khusus, iaitu isu “surat keramat” yang tentunya melibat orang bangsawan/kuasawan sahaja, malah mengikut Kozok kemungkinan besarnya bermakna penambahan kitab Wida (Veda) Hindu itu dari empat kepada lima (“Pancawida”). Dalam manuskrip Melayu tertua ini disenaraikan dengan banyaknya hukum ke atas individu yang dendanya meningkat apabila dilakukan pada bangsawan/kuasawan tetapi setiap satunya tidak didenda tidak melebihi 10 mas (kurang daripada setahil yang bersamaan dengan 16 mas), kecuali tidak taat kepada Dipati (orang besar daerah) dengan denda dua tael. Kesalahan yang ditafsirkan “rasuah” khas itu memang terbesar dendanya kecuali tiga kesalahan lain, iaitu memperkosa (yang boleh dihukum mati), menghilangkan “mata karja yang purwa” (sejenis upacara keagamaan) yang didenda sekati lima tael (1 kati=16 tael), dan ada kesalahan yang tidak dapat dibaca tetapi hukumannya dibunuh. Besarnya denda “rasuah” ini mungkin sekali kerana kesalahan ini dianggap hampir dengan derhaka.

Jelaslah bangsa Malayonesia sebelum Islam tidak menganggap perbuatan yang kini dinamai rasuah itu sebagai suatu kejahatan atau kesalahan, bahkan pada abad ke-11 M, istilah yang sepadan dengan rasuah itu, upapradana, dianggap suatu kemahiran yang perlu bagi seseorang pemimpin yang hebat (bertaraf “pemimpin dunia”), iaitu berkemahiran dalam melaksanakan upapradana itu pada sesiapa (kawan/mitramandala, lawan/satrumandala atau orang tidak berpihak/udasinagan) dan dilakukan pada masa yang sesuai demi beroleh pulangan yang diingini. Ini pun yang nampaknya berleluasa berlaku di dalam negara kita kebelakangan ini yang diberi istilah baharu pula, iaitu “rasuah politik”, yang juga dianggap tiada salahnya atau dosanya. Bagaimana dengan upapascadana, iaitu upah selepas pulangan dana dinikmati? Ini istilah ciptaan penulis ini sahaja, tetapi amalan ini pun agak berleluasa dalam masyarakat di Malaysia. Amalan ini berlaku bagi mengelak daripada penipuan, iaitu pihak penerima upah (dalam upapradana)  memungkiri janji atau menipu janji awal-awal lagi dengan mengambil “upah” tetapi tidak pernah menunaikan janji daripada upahan itu. Upapascadana tidak mungkin berlaku penipuan sebegini kerana “upah” diberi setelah impian/kehendak bakal pemberi “upah” itu ditunaikan. Tentunya, upapascadana ini biasanya dinamai “hadiah” sahaja yang dijanjikan awal-awal lagi dengan pihak yang berjanji akan memakbulkan kehendaknya. SPRM memang menganggap “hadiah” sebagai sejenis rasuah tetapi masih memerlukan takrif yang jelas tentangnya terutamanya mengenangkan adanya tradisi memberi hadiah dalam kebudayaan Melayu dan “hadiah” daripada sesorang kuasawan kepada kuasawan  berskala besar seperti yang diakui berlaku pada Perdana Menteri Malaysia dan Peguam Negara memutuskan pemberian hadiah itu bukannya suatu rasuah.


4. Rasuah di Kalangan Bangsa Malayonesia Islam

Apabila Islam mula dipeluki oleh kerajaan Malayonesia, undang-undang Islam pun mulai mendapat tempat dalam sistem pemerintahan raja berkenaan seperti yang tertuanya dibuktikan oleh Batu Bersurat Terengganu bertarikh  702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi itu (al-Attas 1970); atau 708 H (=1309 M) (mengikut Ahmat Adam 2017).  Pelbagai hukum disenaraikan di batu bersurat itu tetapi tiada juga hukum berkenaan dengan perkara yang boleh ditafsirkan sebagai hukum rasuah. Ini membuktikan amalan rasuah pra-Islam, upapradana itu, masih tidak mahu disentuh lagi pada zaman permulaan Islam Malayonesia,  samalah dengan belum bersedianya menerima istilah Allah bagi menggantikan Dewata Mulia Raya yang dipakai dalam batu bersurat itu.

Hanya dalam Hukum Kanun Melaka atau versi lainnya Undang-Undang Melaka (yang ditulis dalam zaman Sultan Mahmud Shah 1489-1511 M) yang amat terkenal itu sahaja buat pertama kalinya hukum rasuah diwujudkan. Namun itu pun hanya dinyatakan bahawa “haram hakim menerima hadiah” dan tiadalah dinyatakan apakah hukum perundangannya bagi sesiapa yang memberi hadiah kepada hakim atau hakim menerima hadiah daripada seseorang (Hukum Kanun Melaka, MS12397 (kod di Perpustakaan Negara Malaysia), di bawah “Fasal tiga puluh dualapan, pada menyatakan hukum menuntut dan yang dituntut”, pipi 103, khasnya pipi 105; MS 12395, “Pada menyatakan hukum menuntut dan yang dituntut”, pipi 66, khasnya pipi 69). Perbuatan rasuah kehakiman ini diistilahkan dalam Hukum Kanun Melaka itu sebagai kekol, كيكول  (mengikut Kamus Besar Bahasa Indonesia bermakna “menyuap (menyogok) untuk memperoleh kemudahan”). Tiadalah pernyataan apa-apa lagi akan perihal yang ditulis dalam Hukum Kanun Melaka itu yang boleh ditafsirkan undang-undang atau hukum rasuah yang lebih am daripada rasuah kehakiman itu. Tidak hairanlah rasuah berlaku agak berleluasa pada zaman kesultanan Melaka itu seperti yang dipaparkan di bawah ini kerana kegiatan itu hanya disekat/tersekat oleh hukum haram (akhirat) sahaja, tiada hukum pemerintahan dalam bentuk ta‘zir apatah lagi hudud.

Sulalatus Salatin (Sumber: Wikipedia)

Sulalatus Salatin (Sumber: Wikipedia)

Dalam sebuah buku agung berbahasa Melayu, Sulalaht al-Salatdin (Sulalat u’s-Salatin, Sulalatus Salatin) atau yang kemudiannya dijenamakan oleh ilmuwan Inggeris abad ke-20 sebagai Sejarah Malayu (The Malay Chronicles), memang ada beberapa episod rasuah  yang agak besar yang berlaku pada zaman Kesultanan Melaka dahulu (abad ke-15 M). Versi sejarah Melayu yang dirujuk ini ialah versi A. Samad Said (Samad 2008) selepas ini diringkaskan kepada versi Sejarah Melayu ASA.

Nor Hashimah dan Rozaimah (2008) telah pun menggunakan episode-episod rasuah pilihannya dalam Sejarah Melayu di samping dalam Hikayat Hang Tuah, Hikayat Terong Pipit dan Hikayat Raja Pasai untuk menegakkan sebuah teorinya bahawa rasuah dalam masyarakat Malayonesia (khasnya yang berbahasa Melayu seperti Melayu Malaysia) ialah terbit daripada budaya “berbudi” dan “balas budi”, suatu kategori rasuah yang sukar dimasukkan ke dalam mana-mana kategori rasuah Alatas (1990) itu. Sebenarnya teori ini pernah diutarakan oleh Rasidah (1990) semata-mata atas cerapan umumnya terhadap kebudayaan Melayu Malaysia; dan teori ini selari pula dengan tesis Lim (2003) tentang budaya membuat keputusan di kalangan orang Malayonesia berasaskan mantik budi yang diperolehnya daripada peribahasa yang melibatkan perkataan budi seperti “orang berbudi, kita berbahasa”, dan “budi setahun segunung intan”; dan mantik ini sebenarnya menjadi cabaran ahli matematik untuk membentuk struktur aljabarnya seperti yang dihuraikan oleh Shaharir (2015). Di sini dipetik beberapa episod rasuah dalam Sejarah Melayu sahaja bagi tujuan menunjukkan amalan rasuah pada zaman Kesultanan Melaka itu berupa suatu amalan yang memang tiada hukuman negara, bahkan begitu berleluasa dalam bentuk yang bukan berbudi dan balas budi sahaja itu tetapi tatapi bentuk-bentuk lain lagi yang setengahnya juga sukar dimasukkan ke dalam kategori rasuah Alatas (1990) itu.

Pertamanya ialah kisah saudagar besar (bukan orang tempatan) yang baik dengan pembesar Melaka bergelar Sri Nara Diraja dan saudagar itu bernama Maulana Jalal al-Dyn (dalam versi Sejarah Melayu ASA dieja Jalalu’d-Din, pipi 84) ejaan umumnya, Jalaluddin, yang bukan orang Melaka, merasuah Raja Kassim (yang menganggap dirinya lebih layak menjadi sultan Melaka) (Sejarah Melayu ASA, pipi   84-85). Maulana ini menawarkan pertolongan kepada Raja Kassim untuk menjatuhkan/merampas kuasa Sultan Melaka masa itu yang berupa adik tirinya, Raja Ibrahim yang berbondakan dari keluarga Raja Rekan dari Sumatera, dan masih kanak-kanak sehingga de fakto Sultan Melaka ketika itu ialah Raja Rekan. Maulana itu mahu Raja Kassim itu menyerahkan bonda Raja Ibrahim itu kepada beliau apabila rancangan itu berjaya kelak. Dengan pertolongan Maulana dan Sri Nara Diraja itulah Raja Kassim berjaya merampas kuasa daripada adik tirinya itu, dan Maulana itu pun berjaya mendapat yang diimpikannya. Peristiwa ini boleh dikelaskan sebagai satu peristiwa rasuah politik  bagi menggulingkan pemimpin negara yang sedia ada yang dalam konteks sekarang ini, melibatkan seorang pemilik sebuah syarikat perniagaan yang besar yang sudah pun ada hubungan akrab dengan seorang pembesar negara yang kebetulan pula tidak senang dengan pemimpin negara itu berbanding seorang tokoh lain  yang dianggapnya lebih layak menjadi pemimpin negara itu. Rasuah ini lebih am lagi  berupa pemberian bantuan kebendaan atau keilmuan (strategi dan sebagainya) dari satu pihak berkepentingan kepada pihak yang lain dengan perjanjian balasan barang/perkara tertentu yang dikehendaki oleh pihak pemberi bantuan itu yang dijangka boleh dikabulkan oleh yang menerima bantuan itu. Rasuah ini bolehlah dianggap perluasan kategori 1 dan 4 rasuah Alatas (1990) yang disebut pada bahagian awal makalah ini. Rasuah jenis ini cukup banyak berlaku sepanjang zaman hingga zaman ini. Umpamanya, itulah yang diamalkan oleh Amerika Syarikat sejak pasca-Perang Dunia Kedua dahulu; dan yang paling dekat dengan kita ialah  seperti yang diperkatakan peristiwa Perdana Menteri kita menyatakan penerimaan beliau  “derma” RM 2.6 bilion daripada seorang keluarga Raja Arab Saudi yang dikatakan bertujuan sesuatu yang dingini oleh penderma itu (tidaklah jelas diketahui umum kerana yang sampai pada rakyat ialah untuk menentang pengganas Islam, memerangi kumpulan yang tidak diingininya seperti Muslim Brotherhood, atau mazhab-mazhab selain daripada ahl Sunnah wa al-Jama‘ah, atau memastikan kekalnya kerajaan sekarang). Keadaan ini, jika benar, memanglah seqiyas (seanalog) dengan  cerita rasuah politik pada zaman kesultanan Melaka di atas. Sementara itu, ada pihak yang telah pun mengatakan penerimaan “derma” sebegini memang memenuhi makna derma dalam  akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang menegaskan sebarang derma itu ditafsirkan sebagai “suapan” (iaitu rasuah).  Akan tetapi ini sudah pun ditolak oleh PN (Peguam Negara) yang tidak boleh dipersoalkan lagi. Namun yang boleh ditimbulkan ialah, “Apakah hukum fiqh-nya “derma” ini? Ini mencabar “ulama” dan sarjana kemasyarakatan amnya. Tidak bolehlah ditembungi dengan hadis, “Hadiah yang diberi kepada penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur” yang telah dipetik sebelum ini?

Peristiwa kedua ialah rasuah “seorang biaperi di Melaka terlalu kaya” bernama Ali Manu kepada kuasawan Melaka. Hampir “segala Orang Besar-Besar dan hulubalang Melaka” diberi rasuah olehnya dengan istilahnya “menyorong” dalam bentuk “kain, atau emas, atau barang benda yang gharib-gharib” (versi Sejarah Melayu ASA, pipi 254). Ini rasuah orang kaya kepada pembesar-pembesar negara bagi tujuan memudahkan urusan  orang kaya itu dalam hal-hal yang melibatkan undang-undang/peraturan negara  atau perkara yang diingininya pada bila-bila masa pun. Ini juga rasuah kategori 4 rasuah Alatas (1990) yang disebut pada awal makalah ini. Ada pula (di pipi yang sama) rasuah saudagar yang kaya-kaya kepada orang suruhan kuasawan (“orang-orang muda Tun Hassan Temenggung”) agar rumah-rumah kedainya yang didirikan dengan tidak memenuhi peraturan yang ada tidak dirobohkan. “Maka segala saudagar  itu menyorong, ada yang seratus, ada yang dua ratus, ada yang tiga ratus seorang-seorang… itulah akan makanannya”. Rasuah sebegini memang berlaku hingga zaman ini pun. Rasuah ini sukarlah dimasukkan ke dalam mana-mana kategori rasuah Alatas (1990) itu walaupun hampirlah dengan kategori 1 itu.

Peristiwa ketiga ialah rasuah Sultan Mahmud kepada Tun Biajid (anak Laksamana Hang Tuah) dengan menganugerahkan Tun Biajid gundek beginda bernama Iram Sendari agar Tun Biajid tidak memarahinya akibat baginda bermain (bermukah atau berzina) dengan isteri Tun Biajid (versi Sejarah Melayu ASA, pp 193).  Ini rasuah pemimpin negara terhadap pegawai atasannya bagi menyenyapkan/menyorok kesalahannya yang mengaibkan atau merendahkan martabat atau kewibawaaannya akibat perbuatannya terhadap pegawai berkenaan agar tidak diketahui umum. Rasuah ini berupa pemberian sesuatu yang berharga kepada seseorang dengan tujuan orang berkenaan itu tidak memalukannya atau menjatuhkan martabatnya. Ini pun cukup banyak berlaku di dalam politik negara kita, walaupun banyaklah  kejadian sebegini yang tidak dapat dibuktikan dengan sahihnya, oleh itu bersifat fitnah pula. Rasuah sebegini boleh dimasukkan ke dalam kategori 3 rasuah Alatas (1990) itu. Sebenarnya contoh ini juga menunjukkan Kanun Melaka tentang hukum hudud tidak dilaksanakan sekurang-kurangnya terhadap raja.

Peristiwa keempat ialah rasuah Hang Nadim kepada pelulut (perempuan tua yang biasa keluar-masuk istana dan pembesar istana kerana kehandalannya membuat wangi-wangian dan ubat-ubatan istimewa) untuk mendapatkan Tun Teja anak Bendahara Sultan Pahang, bagi dihadiahkan kepada Sultan Melaka. Pelulut itu “diberinya emas dan kain baju terlalu banyak”. Hang Nadim juga meminta pelulut  supaya “emasi segala penunggu pintu Bendahara Pahang” bagi memudahkan kerjanya melarikan Tun Teja itu. (Sejarah Melayu ASA, pipi 225-227) Ini rasuah yang klasik, iaitu seseorang memberi habuan kepada seseorang yang diketahui mampu memenuhi hasratnya. Ini jelas amalan upapradana yang diperakukan dalam batu bersurat Campa abad ke-11 M yang telah disebut sebelum ini. Ini boleh dimasukkan ke dalam kategori 1 dan 4 rasuah Alatas (1990) itu.

Peristiwa kelima ialah rasuah laksamana Khoja Hassan kepada gembala gajah Sultan Pahang (“diberinya makan dan diberinya emas”) untuk memperoleh  gajah-gajah berkenaan dengan mudahnya. (versi Sejarah Melayu ASA, pipi 232-233) sehingga seolah-olah gajah itu dicuri orang sahaja. Ini pun jenis rasuah klasik, upapradana  itu.

Peristiwa keenam ialah rasuah Raja Mendaliar dan Nina Sura Dewana kepada Bendahara Sri Maharaja, masing-masing berlumba banyaknya “menyorong” kepada Bendahara itu bagi tujuan mendapat berkenan hati sepanjang masa yang diperlukannya (Sejarah Melayu ASA, pipi 255-256). Ini kategori 3 dan 4 rasuah Alatas (1990). Satu malam Nina Sura Dewana membawa emas sebahara (=10 kati = sekitar 6.5 Kg) untuk Bendahara dan diterima oleh Bendahara. Seorang Keling keluarga Nina Sura Dewana bernama Kitul berhutang sekati emas (sekitar 2/3 Kg emas) pada Raja Mendaliar. Beliau mendapat akal untuk melepaskan hutangnya itu lalu pada suatu malam sunyi beliau bertemu dengan Raja Mendaliar membuat fitnah kononnya Nina Sura Dewana telah memberi sebahara emas kepada Bendahara supaya membunuh Raja Mendaliar. Hutang Kitul pun dihapuskan oleh Mendaliar. Ini rasuah kategori 3 Alatas (1990). Malam itu juga Raja Mendaliar membawa “emas sebahara, dan permata yang baik-baik, dan pakaian yang indah-indah” untuk dirasuahnya (“disorongnya”) Laksamana Khoja Hasan yang dianggap terlalu karib dengan Sultan Mahmud Syah itu supaya Laksamana mempersembahkan berita kepada Sultan itu bahawa Bendahara Seri Maharaja mahu menderhaka. Sultan terus mempercayainya kerana mengambil kesempatan untuk membunuh Bendahara akibat keberahiannya kepada Tun Fatimah anak Bendahara yang sudah dikahwinkan dengan orang lain, Tun Ali,  tanpa pengetahuannya. Itulah tragedi pembunuhan Bendahara dan suami Tun Fatimah yang masyhur itu.  Ini melibatkan dua jenis rasuah. Pertamanya, rasuah “berjasa kepada seseorang” bagi tujuan melepaskan belenggu dirinya daripada orang yang ingin dibuat jasa itu dan jasa itu berbentuk fitnah.  Rasuah keduanya berupa rasuah politik lagi yang berupa perlawananan pengaruh antara dua pihak bagi memenangi hati pemimpin negara yang selama ini sudah pun menerima habuan rasuah daripada kedua-dua pihak ini. Masing-masingnya pula berusaha mencari strategi termasuklah  memfitnah lawannya itu ke tahap yang menyebabkan pemimpin itu mahu menghapuskan orang yang tidak disukainya itu. Ini boleh dianggap rasuah politik Malayonesia yang bitara, iaitu perlumbaan merasuah kebendaan dan fitnah kepada kuasawan. Tiadalah kategori rasuah Alatas (1990) yang sesuai dengan jenis rasuah ini.

Yang juga cukup menarik dipaparkan di sini juga ialah senarai 120 dosa besar yang disenaraikan oleh Nuruddin al-Raniri, seorang sarjana dan ulama besar Malayonesia abad ke-17 M, dalam sebuah karyanya, Durr al-Fara’id 1040 H/1630 M, yang disorot oleh Wan Mohd Nor dan Khalif (2009) tetapi beliau tidak juga menonjolkan perihal rasuah  dalam karya itu. Sebenar daripada 120 dosa besar irtu tiadalah rasuah malah yang paling-paling dekat dengannya pun ialah “makan dan menipu orang”; walaupun ada perkara dosa besar itu yang selama ini tidak ada dalam buku-buku Islam yang popular, iaitu yang boleh digulungkan sebagai “merasuah ilmu” (Menghina ilmu dan Membinasakan ilmu), Merendahkan orang, Mencari kecelaan orang, Mencari aib orang, Jahat sangka kepada sesama Islam, Kasih kepada sekalian yang zalim dan yang fasiq, Membinasakan matawang perbelanjaan, dan bergurau-gurau berlebihan dan mengajuk-ngajuk Mu’min.

Dalam peribahasa Melayu pun,  selain daripada yang disebut dalam permulaaan makalah ini (beberapa peribahasa yang hanya menunjukkan makna rasuah sahaja seperti “tumbuk rusuk” dan lain-lain yang dinyatakan dalam perenggan pertama itu), ada hanya sebuah peribahasa berkenaan rasuah tetapi itu pun yang menunjukkan tidak hinanya atau tiadalah salahnya rasuah dalam kebudayaan Malayonesia berbahasa Melayu, kerana peribahasa itu ialah “segenggam berlebihan; segantang berkurangan” yang membawa maksud rasuah kecil untuk perkara yang besar tidak akan diterima (Abdullah dan Ainon 1993). Ini jelas bermakna tiadalah salahnya amalan rasuah itu asalkan setimpal dengan kehendak pulangannya nanti. Walaupun pada amnya tidaklah dapat dipasti zaman ciptaannya sesebuah peribahasa sama ada zaman Islam atau tidak peribahasa ini boleh dianggap ciptaan zaman Islam kerana sukatan gantang tidak ada dalam zaman sebelum Islam sebagaimana yang dibicarakan dalam Shaharir (2013, Pengenalan).

Sejarah sikap dan tabii orang Malayonesia melakukan rasuah seperti yang diperihalkan di atas boleh dianggap memberi sumbangan kepada psike orang Malayonesia kini terhadap rasuah yang tidak begitu ditonjolkan selama ini dalam kajian sosiologi rasuah yang dipelopori oleh Alatas (1968, 1990).


5. Takrif Baharu Rasuah

Pada zaman moden ini, konsep rasuah  tradisi terawal, iaitu upapradana, memanglah tercabar kerana adanya bentuk-bentuk baharu pemberian benda, pemikiran dan rohani daripada sesuatu pihak kepada suatu pihak lain  untuk mendapat sesuatu idaman pihak yang memberi itu jatuh pada kategori rasuah atau tidak, iaitu lebih luas daripada 1-4 kategori rasuah Alatas (1990) itu. Begitu juga, sejauh mana sesuatu hadiah, derma, bonus kepada pekerja, bantuan kerajaan kepada sesuatu sektor rakyatnya yang bermotifkan politik, janji politik/pilihan raya (bentuk projek keduniaan atau syurga-neraka di akhirat), dan sebagainya yang secara amnya diistilah sebagai upapascadana sebelum ini,  tidak boleh dianggap rasuah atau memang rasuah.  Semua ini juga memang mencabar para ahli fiqh untuk menentukan batas halal-haramnya terhadap perbuatan dalam kehidupan moden ini. Rasuah dalam bentuk upapascadana ini lebih luas daripada kategori “rasuah berdaya pelaburan” yang diutarakan oleh Alatas (1990) dan disebut dalam pendahuluan makalah ini.

Semua ini perlulah diperhalusi oleh agamawan dan ilmuwan amnya bagi menentukan batas-batas kerasuahannya. Pada hemat penulis ini semua kegiatan moden itu patut digolongkan sebagai “rasuah kabur”, iaitu ada kategori darjah kerasuahannya itu seperti amat rasuah, cukup rasuah, rasuah, agak rasuah, tidaklah begitu rasuah, dan tidak rasuah. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir agak tegas mengatakan BRIM dan sebagainya itu adalah rasuah politik tetapi mungkin lebih tepat lagi berupa sejenis “rasuah kabur” itu yang perlu ditentukan darjah itu dan hukum di dunia ini, di samping hukum di akhirat.

Penulis ingin mengesyorkan takrif rasuah yang agak baharu yang rasanya mencakupi semua contoh rasuah di atas dan rasuah kabur itu, iaitu rasuah ialah pemberian seseorang dalam bentuk kebendaan dan bukan kebendaan termasuklah pemikiran atau strategi kepada pihak lain dengan tujuan mendapat pulangan semerta atau impian/kehendak hatinya daripada pihak tersebut. Rasuah jenis ini bolehlah dinamai sebagai upapradana jika pemberian itu diberi sebelum beroleh pulangan dan dinamai upapascadana jika pemberian itu diberi selepas beroleh pulangan.  Hadiah dan sebagainya tidak dianggap upapascadana hanya jika dilakukan oleh dua pihak yang tidak berkepentingan apa-apa iaitu “kerana Allah sahaja”, atau “kerana tuhan” masing-masing , atau “demi kemanusiaan sahaja”.  Para ulama dan sarjana Islam dahulu  memang telah memberi perbezaan sebegini antara rasuah dengan hadiah sebegini (lihat umpamanya  Ali 2002) dan kita hanya perlu mengungkapkan semula sesuai dengan bahasa dan situasi sekarang.

Adapun tentang hukum rasuah terhadap amalan-amalan yang menyeleweng atas nama derma, hadiah, bantuan dan sedeqah sekalipun mengikut pengertian Islam juga masih perlu dihalusi oleh ahli fiqh kerana kes rasuah zaman moden ini begitu berbeza dan canggih yang diperihalkan secara ringkasnya di atas termasuklah penyelewengan wang negara atau institusi yang hukumnya mungkin sekali layak dikategorikan sebagai yang termasuk di dalam kategori hudud juga. Apa pun sesuatu yang dianggap rasuah secara rasional seharusnyalah diselarikan dengan hukum keagamaan terhadap kerana rasuah di sisi negara semestinyalah juga tidak bercanggah dengan hukum rasuah di sisi Islam.


6. Syor baharu ke arah penghakisan rasuah

Sehingga kini usaha penghapusan rasuah disyorkan berasaskan pada undang-undang dan penguatkuasaannya serta pemastian kuasawan yang jujur tetapi agak mengabaikan kejujuran rakyat amnya (pemberi rasuah). Umpamanya, bagaimana memastikan kuasawan jujur jika rakyatnya tidak jujur atau apeduli kejujuran seperti yang sarat berlaku sekarang terutamanya di negara Muslim? Bagaimana penguatkuasa dapat menjalankan tugasnya dengan sepatutnya jika struktur pentadbiran dan birokrasinya tidak mengizinkan mereka yang jujur sekalipun melaksanakan tugasnya? Sehubungan dengan ini syor kepemimpinan menerusi teladan sebagai cara menghapuskan rasuah seperti yang diutarakan oleh Afriadi dan Sharifah Hayati (2016) dan secara tidak langsungnya oleh Ezam dan Sapto (2010) dengan contoh-contoh yang unggul pada zaman Nabi Muhammad dan khalifah yang agung amatlah tidak teramalikan pada zaman sekarang ini, kerana amatlah sukar mencari pemimpin unggul seperti itu. Ramailah pula, terutamanya dari kalangan agamawan menekankan kepada didikan dan penghayatan agama (Islam) terutamanya, seolah-olah pendidikan agama sehingga kini gagal mencapai matalamatnya tetapi tiada pula cendekiawan dan pendidik yang serius membicarakan faktor kegagalan ini. Retorik tentang faktor rasuah disebabkan agama seperti hilang atau lemah iman, kurang atau tidak faham ajaran Islam, tiada adab, tiada keinsafan hukum Allah dsbnya memang lumrah tetapi apakah kaedah mengatasinya agak gersang; dan oleh itu langkah retorik biasa seperti memastikan masyarakat Islam beradab mulia, meningkat kefahaman Islamnya, membentuk peribadi muslimnya, menanam kerohanian Islamnya, dan memastikan mereka meminati dan mendekati kepada Islam menerusi kegiatan beragama Islam semuanya inilah langkah “retorik” sahaja kerana langkah sebenarnya memerlukan kajian yang mendalam. Umpamanya, kajian perlu dibuat sejauh mana pendidikan rasuah dalam pendidikan agama Islam sekarang? Hipotesisnya, pendidikan rasuah amatlah minimal. Apakah kaedah pendekatan (paedagogi)  pendidikan agama Islam sekarang yang perlu diperbaikinya? Hipotesisnya, kaedah baharu memang diperlukan, sama seperti mata-mata pelajaran lain yang sentiasa diperkenalkan kaedah baharu. Faktor sebab berlakunya rasuah sehingga kini  (selain faktor agama yang disentuh di atas) memang ada dibicarakan di dalam Alatas (1990), Rasidah (1990), De Speville (2010), dan Ezam dan Sapto (2010) yang khusus meletakkan kapitalisme sebagai punca rasuah; dan setengah abad sebelumnya, Huntington (1968) yang khusus meletakkan pemodenan sebagai punca rasuah; dan yang lainnya itu banyak menumpukan kepada faktor sosiologi dan sejarah yang hanya memberi simptomnya sahaja bukan sebab sebenar atau yang mendalamnya sehingga sukar atau memang tidak boleh berbuat sesuatu pun seperti faktor kepenjajahan dan kemerdekaan, dan pembesaran kaki tangan kerajaan yang membuka peluang perasuahan. Yang agak asas ialah punca rasuah disebabkan pemodenan, pengindustrian, modalisme/kapitalisme dan amalan hadiah-menghadiahi, buah tangan, sedekah, angpau, berbudi dan balas budi kerana  amalan ini melibatkan psike Malayonesia (Melayu Malaysia khususnya). Perihal faktor psike orang Islam Malaysia ini, seperti yang dipaparkan di atas, iaitu rasuah dalam kebudayaan (tamadun Melayu) memanglah tidak dianggap kesalahan besar walaupun pada zaman keislamannya hinggalah sekarang yang bertunjangkan kepada pemelukan hambawanisne (lebih mendalam daripada feudalisme seperti yang dibicarakan oleh Shaharir 2015), budisme (berbudi dan balas budi Rasidah 1990, dan Nor Hashimah dan Rozaimah 2008), dan nilai Islam yang meleset akibat pertembungan kefahaman tradisi ini (hambawanisme dan budisme) dengan kelemahan penghayatan nilai Islam. Oleh itu penghakisannya memerlukan usaha yang jauh lebih gigih dan berpusatkan penyelidikan menerusi pedagogi baharu pendidikan formal dan tidak formal yang jauh lebih baik/berkesan daripada sekarang di samping perlaksanaan dan penguatkuasaan hukum/undang-undang yang jauh lebih cekap, adil dan ketat daripada yang diamalkan sekarang seperti memisahkan SPRM daripada struktur birokrasi sekarang. Inilah cabaran yang asasinya, iaitu pendidikan dan kurikulum dan pendekatan  yang bagaimanakah yang menjamin terhakisnya psike-psike negatif ini (hambawanisme, apeduli atau positifnya rasuah, serta budisme). Isu pemodenan, pengindustrian, modalisme atau pembangunanisme yang dikatakan menjadi punca rasuah itu tidak mencukupi dengan penyelesaiannya menerusi pendidikan tanpa pencucian ilmu yang berkaitan dengannya yang sudah terasuah itu. Khasnya, pencucian ilmu ekonomi itu sendiri yang amat memerlukan penyelidikan dan pengaryaan ilmu ekonomi yang baharu sama sekali yang berlandaskan pada acuan sendiri, khasnya acuan Islam dan budaya sendiri. Ringkasnya, ilmu ekonomi swacuan ialah yang menggantikan aksiom manusia sebagai homoeconomicus yang mentakhtakan perancangan terbaik berasaskan pengoptimuman (pemaksimuman atau peminimuman) dengan aksiom insaniwusta (suatu konsep baharu) yang antara lainnya berprinsipkan kepada perancangan terbaik yang berasaskan pada pewustaan yang mempunyai implikasi yang besar kepada matematik pengoptimuman, ekonomi pembangunan dan keterletarian dan pengurusan amnya seperti yang mulai dibicarakan oleh Shaharir (2012, 2014, 2015, 2016) dan Shaharir dan Alinor (2013).

 

Rujukan

Abdullah H. dan Ainon M. 1993. Kamus Peribahasa Lengkap Utusan. K. Lumpur: Utusan Pub. and Distribution Sdn Bhd

Afriadi S. & Sharifah Hayaati S.I. 2016. Analisis Strategi Membanteras Rasuah Menurut Islam. Online Reserch in Islamic Studies  3 (2): 33-51. http://ris.um.edu.my/filebank/ published_article/11174/03-%20Afriadi%20Sanusi%2033-51.pdf

Ahmat Adam. 2017. Batu Bersurat Terengganu. Betulkah Apa Yang DiBaca Selama Ini? Petaling Jaya: SIRD

al-Attas, S.M.N. 1970. The Correct Date of the Terengganu Inscription. Kuala Lumpur: Museum Department.

—————–. 1985. The Corruption of Knowledge. Congress of the World’s Religions, Istanbul.

—————–.1990.The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul; The Intuition of Existence; dan On Quiddity and Essence, semuanya terbitan ISTAC, Kuala Lumpur,  dan dimasukkan ke dalam bukunya 1995,  Prolegomena …. di bawah

—————–.1995. Prolegomena to the Metaphysics of Islām, ISTAC, Kuala Lumpur, pp. 19-20

—————–. 2011. The Loss of Adab, The Corruption of Knowledge, and The Moral Dislocation of the Muslim World. http://seekershub.org/blog/2011/04/the-loss-of-adab-the-corruption-of-knowledge-and-the-moral-dislocation-of-the-muslim-world-sayyid-naquib-al-attas-allahcentric-blog/

Alatas S.H. 1968. The Sociology of Corruption. Singapore: Donald Moore Press Ltd. Revised ed. 2015 under the title The Problem of Corruption, published by The Other Press, P.Jaya; dengan forward oleh Syed Farid Alatas. (yang banyak juga memperkatakan status rasuah di Malaysia yang tiada dlm tks dan edisi terdahulunya). Ada dlm talian dng google “the problem of corruptions:-halaman IX–Keputusan buku googles. https://books.google.com.my/books?id=YZj2BwAAQ BAJ&pg=PR9&lpg=PR9&dq=syed+hussein+corruption,+nature,+causes+and+functions&source=bl&ots=c6m5VIjdbP&sig=4Ka4ICYmw5WZ9EXQyf9UKHV5-5w&hl=ms&sa=X&redir_esc=y#v= onepage&q=syed%20hussein%20corruption%2C%20nature%2C%20causes %20and%20 functions&f=false

————-. 1990. Corruption: Its Nature, Causes and Functions. The University of Michigan; Reprint. Aldershot, Hants, England dan Aldershot ; Brookfield, Vt., USA: Avebury 1990, 1998, dan diterbitkan juga oleh S. Abdul Majeed, K. Lumpur 1991.

————–. 1990. Mencipta Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi. Kuala umpur: DBP. Diulang cetak 1995 dan 3 kali lagi antara 2009-2011

————-. 1999. Corruption and the Destiny of Asia. Prentice-Hall

al-Qardhawi Y. 1976. Halam dan Haram dalam Islam. PT. Bina Ilmu. Terj. al-Halal Wal Haram Fil Islam 1960

Al-Qur’an dan Terjemahnya. 2002. Departemen Agama RI. Eisi tahun 2002

Ali M.b. M.Y. 2002. Hadiah dan perbezaannya dengan rasuah. al-Mizan 1 : 41-53. Ada dlm talian http://www.academia.edu/10658393/HADIAH_DAN_PERBEZAANNYA_DENGAN_RASUAH (14  Jun 2017)

De Speville B. 2010. Overcoming Corruption: The Essentials. Kuala Lumpur: Research for Social Advancement

Ezam M. b. M.N &  Sapto W. 2010. Islam & Persoalan Rasuah. Shah Alam: Generasi Baru Nusantara Sdn. Bhd.

Hamka. 1984. Tafsir al-Azhar. Yayasan Nurul Islam; Panji Masyarakat; Yayasan Latimojong, Surabaya; H. Abdul Karim, Surabaya. Berasal daripada Kuliah Subuh Buya Hamka di Masjid Kebayoran Baru ( kini dikenali sebagai Masjid al-Azhar) sejak 1950-an lagi dan dan Siri Kuliah ini pertama kali diterbitkan (Peringkat awalnya) dalam Majalah Gema Islam bermula sejak Januari 1962 dan Panji Masyarakat. Versi yang dianggpnya tuntas ialah hasil pelengkapannya semasa beliau berada dalam tahanan Presiden Soekarno 1964-1966 dan diterbitkan sepenuhnya pada tahun 1979.

Hukum Kanun Melaka. Salinan daripada  British Libraray menerusi internet. Satu versinya sudah juga dirumikan oleh Liaw Yock Fang dan diterbitkan oleh Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur 2003 dengan judul, “Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka”.

Huntington S.P. 1968. Modernization and corruption. Dlm Political Order in Changing societies. Hew Haven,C.T. Yale Univ. Press, pp. 59-71

INTAN 1991. Malaysia Kita. Kuala Lumpur: INTAN

Jain A. K. 2001. Corruption: A Review. Journal of Economic Surveys 15 (1): 71-121

Johnston M. 2005.Keeping the Answers, Changing the Questions: Corruption Definitions Revisited. Dlm. von Alemann U. (Pnyut.). Dimensionen politischer Korruption. Politische Vierteljahresschrift Sonderheft 35/2004. Wiesbaden: Verlag für Sozialwissenschaften.

Khondker H.H. 2006. Sociology of Corruption and ‘Corruption of Sociology’. Evaluating the Contributions of Syed Hussein Alatas. Current Sociology January 54(1): 25-39

Kozok U. 2004. The Tanjung Tanah code of law: The oldest extant Malay manuscript, Cambridge: St Catharine’s College and the University Press. Versi bahasa Melayunya, Kitab Undang-Undang Tanjung Tanah: Naskah Melayu yang Tertua, Jakarta: Yayasan Obor Indonesia 2006.

Lim K.H. 2003. Budi as the Malay Mind: A philosophical study of Malay ways of reasoning and emotion in Peribahasa. Tesis Ph.D. Asia-Africa Inst. Dpt of Austranesian Studies, Faculty of Oriental Studies, Univ. of Hamburg. (tidak terbit)

Md Zain M. Z.2016. Pendekatan Al-Quran Dalam Mencegah Al-Fasad Al-Mali: Aplikasi Di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. PhD thesis, Universiti Sains Malaysia.

Nor Hashimah J. & Rozaimah R. 2008. Rasuah dalam karya sastera melayu klasik: satu analisis semantik kognitif.Jurnal e-Bangi. Jilid 3, Bilangan 3, Januari – Disember 2008. https://core.ac.uk/download/pdf/14330169.pdf

Noriah M. 1999. Sejarah Sosiolinguisti Bahasa Melayu Lama. P.Pinang: USM

Nurhayati bt. A.G. & Ghani A.b.S. 2015. Pencerahan Mingguan (siri 8): Korupsi dan Rasuah daripada Perspektif Syariah dan Undang-undang di Malaysia. https://amanah.org.my/blog/2015/12/14/ pencerahan-minguuan-siri-8-korupsi-dan-rasuah-daripada-perspektif-syariah-dan-undang-undang-di-malaysia/

Rasidah A.R. 1990. Rasuah: Satu Kajian Mengenai Sebab-Sebab Berlakunya Rasuah. Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, 1989/90

Samad A.A. Lihat Sulalatus Salatin.

Shaharir b.M.Z. 2010. Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu. Snt kedua. K. Terengganu: UMT

—————–. 2012. A new paradigm in sustainability. Journal of Sustainability Development (Canada) 5(1): 91-99

——————. 2013. Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu. Terbitan USM

—————–. 2014. Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan. Makalah yg dibentangkan di Seminar Konflik Pembangunan anjuran PAKSI dan GATERA pada 25 Okt 2014 di Masjid Tarbiah, Kg Banda Dalam, Gombak, K. Lumpur

—————–. 2014. A review on sustainability as an optimisation. Katha (PDP, UM) 10: 1-15

—————–. 2015. Epistemologi Malayonesia berbahasa Melayu. Kesturi (ASASI) 2015, 25 (1): 61-103

—————–. 2016. A need for a better concept of optimum: wusta. Jurnal KALAM 9 (2): 1-11

Shaharir b.M.Z. & Alinor M.b.A.K. 2013. The need for a new definition of sustainability’  Jour. of Indonesian Economy & Business (JIEB), UGM, Indonesia 28(3):251-268.

Sulalatus Salatin. Sejarah Melayu diselenggarakan oleh A.Samad Ahmad. K.Lumpur: DBP 2008 (cetakan pertamanya 1979)

Treisman D. 2000. The Causes of Corruption: A Cross-National Study. Journal of Public Economics 76(3): 399-457.

van Duyne P. 2001. Will Caligula go transparant? Corruption in acts & attitudes. Forum on Crime and Society, vol. 1, nr. 2: 73-98

Wan Mohd Nor W.D. dan Khalif M. 2009.  Kerangka Komprehensif Pemikiran Melayu Abad ke-17 Masihi Berdasarkan Manuskrip Durr al-Fara’id Karangan Sheikh Nurudin al-Raniri. Sari – International Journal of the Malay World and Civilisation 27(2): 119-146

 

Makalah GATERA 3/2017
Rasuah bagi Orang Malayonesia Islam Khasnya Melayu di Malaysia
Shaharir b.M.Z.