Perlunya Kepemimpinan peduli nilai-nilai luhur kemanusiaan
Kepemimpinan negara menuju ke tahap kemajuan yang lebih bermakna perlu mendukung tiga serangkai ciri asasi peradaban, iaitu ketinggian agama (bagi barat berasaskan ideologinya), bahasa, dan ilmu.
AGAMA
Kepemimpinan yang menghakis apatah lagi membobrokkan (memunahkan) satu daripada komponen untaian peradaban ini sahaja pun perlu dinyahkan. Barisan kepemimpinan kerajaan-sementara kita sekarang yang mewarisi kepemimpinan negara ini selama 50-an tahun ternyata tidak lagi berhasrat atau berdaya mempertahankan nilai-nilai luhur yang terbit daripada agama rasmi negara, agama Islam, bahasa rasmi negara, bahasa Melayu dan ilmu kita. Lihat sahaja bagaimana nilai-nilai dosa-pahala dalam agama (Islam) sudah dibiarkan berlalu sehingga perkara 5-AH menjadi lumrah, iaitu mewah (projek mega bahkan tera) rasuah, fitnah, lucah, dan agah (akulah yang bijak dalam segala hal); bahkan ini sudah menjadi budaya kepemimpinan kita dalam dasawarsa (dekad) ini. Cuba kita periksa nilai-nilai ini pada kepemimpinan negara kita sekarang.
Mewah
Pemimpin kita sentiasa merancang dan melaksanakan projek-peojek berskala besar-besar (mega, iaitu ratusan juta, bahkan tera, iaitu beberapa bilion /serijuta) yang membelakangi nasib atau manfaat rakyat. Ini tidak lagi mengambil kira promosi kemewahan yang dilalui oleh pemimpin tertentu negara. Dasar wasatiyyah menjadi retorik pemikat hati semata-mata.
Rasuah
Oleh sebab pelbagai bentuk rasuah dalam bentuk kebendaan dan “kebudian” begitu lumrah dilakukan dalam tempoh kepemimpinan lima dasawarsa (dekad) ini maka kini makna rasuah sudah menjadi semakin kabur, hingga ada istilah rasuah politik dan rasuah bukan politik, hadiah-derma-sedekah, upah-beli-bantu-berbudi, menunaikan janji di musim kempen pilihan raya dan pelbagai lagi kegiatan yang sebenarnya banyak “penyamaran rasuah” yang terkutuk di sisi Islam sudah dianggap “tiada masalah” dunia atau akhirat lagi. Teori kepemimpinan Melayu pra-Islam memang memperakukan pemimpin yang bijak mengurus rasuah, atau yang distilahkannya sebagai upapradana (upah+pra + dana), sebagai
pemimpin agung, istilahnya cakravantin (makna harfiahnya, “tok batin dunia”). Inilah yang nampaknya menjadi amalan pemimpin kita sekarang pula, iaitu pemimpin kita berlumba-lumba menjadi “tok batin dunia”.
Fitnah
Fitnah dalam pelbagai perkara dari perkara “bukan tepi kain lagi tetapi dalam kain”, rumah tangga hingga negara dan luar negara begitu berleluasa sehingga itulah “maklumat” yang sampai kepada rakyat terbanyak. Fakta-tuduhan-gosip-umpat sudah tidak mahu dibezakan lagi oleh pembuat dan penyibarnya “maklumat” ini. Dosa-pahala dalam hal fitnah sudah diapedulikan (tidak dipedulikan langsung) lagi dan para pemimpin kini bukan sahaja nampaknya mengizinkannya tetapi semacam menggalakkannya pula.
Mungkin sekali kerana fitnah memang budaya kepemimpinan Melayu sejak zaman berzamanlah (Lihat sahaja fitnah-fitnah dalam Sejarah Melayu) maka hal ini menjadi strategi kepemimpinan Melayu yang mereka rasa perlu diamalkan demi kuasa.
Lucah
Ekoran daripada peristiwa “ibu segala fitnah” negara pada tahun 1998, maka penyibaran fitnah lucah menjadi bahan fitnah yang paling ampuh dan tinggi caknanya oleh media. Media massa elektronik dan bukan elektronik sudah hampir saban hari menjadi media berunsur pornografi yang paling murah di dunia.
Agah
Agah satu istilah dari Kelantan yang sarat dengan nilai ego, berpusat diri-sendiri, akulah yang terbaik, gedebe, … anti-intelektual. Pemimpin agah ialah pemimpin yang membelakangi pandangan orang lain apatah lagi rakyat biasa. Banyak dasar yang dibuat oleh pemimpin ini tidak mendapat pandangan orang lain lagi kerana mereka rasa tak perlu… dia sudah bijak atau sudah ada pemikir di kelilingnya yang terbijak. Itulah yang melahirkan dasar PPSMI dan dasar Pembangunan Pendidikan Negara baru-baru ini, sebagai contohnya.
Memang rakyat perlu menolak para pemimpin yang sedang menamalkan nilai 5-AH yang dihuraikan di atas.
BAHASA
Bahasa bukan sekadar identiti bangsa tetapi bahasa ada penemu ilmu. Itulah yang dibuktikan oleh negara-negara berstatus Negara Maju. Kita mahu status Negara Maju tetapi segi bahasa tidak pernah mengikuti jejak Negara Maju. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara pun pemimpin kita tidak pernah bersungguh mahu menegakkannya, malah menodainya. Kemajuan bahasa Melayu sehingga kini tidak pernah boleh dikatakan kerana inisiatif pemimpin kita sejak 50-an tahun ini. Dasar-dasar pemartabatan bahasa Melayu sentiasa hasil keberanian rakyat bangkit menuntutnya menerusi demonstrasi: Sekolah Menengah aliran Melayu pertama 1958 setelah demonstrasi besar-besaran
seluruh negara menuntut janji kemerdekaan pemimpin berkenaan masa itu; perisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara 1968 hasil demonstarasi besar-besaran seluruh negara, dinamai “Demonstrasi Keranda 152” yang menagih janji “saf pemimpin kemerdekaan” yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara selepas 10 tahun kemerdekaan tetapi ternyata ada tanda-tanda tidak mahu menunaikan janji itu setelah Malaysia ditubuhkan pada 1963. Penubuhan universiti Kebangsaan Malaysia (universiti pertama aliran bahasa Melayu) 1970 juga
ditafsirkan oleh banyak pihak sebagai satu daripada punca demonstrasi yang terpancar menerusi peristiwa gelap Malaysia, “13 Mei 1969”. Pemansuhan PPSMI 2011 juga hasil “Demonstrasi 100 Ribu ” rakyat (anjuran GMP=Gerakan Menghapuskan PPSMI) pada 7 Mac 2009. Mungkinkah satu lagi demonstrasi akan berlaku bagi menuntut pendidikan universiti dalam bahasa Melayu seperti pra PPSMI dilakukan?
Nah, Pemimpin yang memencilkan, menguncupkan atau memelukutkan bahasa sendiri, pemimpin yang tiada wawasan “maju dalam bahasa sendiri”, bahkan selama ini rakyatlah yang sentiasa mengadakan demonstrasi demi demonstrasi menuntutnya, perlulah disingkirkan menerusi demonstrasi di kotak undi.
ILMU
Ilmu akal (Barat) dan ilmu wahyu menegaskan agama dan bahasa tidak terpisah daripada penyibaran ilmu dan pengembangan ilmu. Pemimpin kita serlama ini tidak menghormati hakikat ini. Itulah terjadinya usaha pemimpin tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan ilmu seperti di bawah projek PPSMI dan kini diteruskan di universiti. Itulah terjadinya pemimpin kita tidak percaya bahasanya sendiri mampu mengembangkan ilmu …. Itulah yang menjadikan negara kita semakin banyak yang mendapat cemerlang di sekolah tetapi semakin banyak pulalah peningkatan lulusan sekolah yang dirunguti masyarakat dan universiti. Masyarakat merungut kerana moral dan adab pelajar semakin
teruk; di universiti para pensyarah merungut pelajarnya semakin rendah daya fikirnya dan “suka disuap” sahaja. Dalam aspek lain pula semakin banyak universiti semakin banyak pula lulusan universiti yang tidak menghayati nilai-nilai manusia terdidik, manusia berfikir atau manusia inovatif dan kreatif.
Penyibaran ilmu (pendidikan di semua peringkat) dan pengembangan ilmu di bawah kepemimpinan yang ada sejak 50-an tahun ini tidak mengizinkan berlakunya tarbiyah atau takdib yang sewajarnya. Sudah sampai masanya kita mengubah set kepemimpinan yang ada sekarang bagi memperbaiki keadaan ini.
GATERA Siri 1 - dari Prof Dr Shaharir bin Mohamad Zain, Ketua GATERA