Sebahagian ahli awal GATERA

Hebahan Media ke-5: Ketiadaan Budaya Tanggunghisab dan Tanggungjawab Pengurus dan Pemimpin Kita

Hebahan Media GATERA ke-5, 5 Julai 2013= 26 Sya‘aban 1434

Ketiadaan Budaya Tanggunghisab dan Tanggungjawab Pengurus dan Pemimpin Kita

Satu daripada indeks utama ketamadunan bangsa ialah para pengurus dan pemimpin bangsa itu di setiap peringkatnya menghayati prinsip tanggunghisab dan tanggungjawab pada tahap yang cukup tinggi. Prinsip ini dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai accountability dan responsibility manakala dalam Islam ialah al-musaa’alaht المساءلة dan al-mas’uwwliyaht المسؤولية. Dalam Islam seseorang memang dituntut supaya sering bermuhasabah diri sendiri dengan tujuan bukan sahaja memperbaiki diri sendiri tetapi orang yang di bawah tanggungannya sehingga beliau dianggap perihatin kepada tanggunghisab (accountability, al-musaa’alaht)  yang terpaksa dijunjungnya kerana kepengurusannya. Begitu juga dengan keperluan seseorang ketua untuk sentiasa menilai prestasi orang bawahannya dalam konteks tahap kesannya (positif dan negatifnya) terhadap orang terbanyak bawahannya sehingga beliau dianggap perihatin kepada tanggungjawab (responsibility, almas‘uwwliyaht) yang terbeban ke atasnya kerana kepemimpinannya. Orang yang menghayati nilai tamadun atau peradaban yang tinggi khususnya nilai Islam itu (yang berakhir dengan hisab Allah SAW) semestinyalah mengambil langkah yang biasa diamalkan oleh para pemimpin di negara bertamadun atau berperadaban tinggi itu, yang memang serasi dengan tamadun Islam juga, iaitu bukan sahaja memohon maaf ke atas kesilapan anak buahnya atau kesilapannya sendiri tetapi juga perlu bertindak lebih mulia lagi jika kesilapan itu menyentuh kepentingan umum yang meluas, iaitu dengan mengundurkan diri secara sukarela dan terhormat daripada beban tanggunghisab dan tanggungjawab selama ini. Malangnya, budaya ini boleh dikatakan tidak pernah menjadi amalan para pemimpin kita yang saban hari mungkin beretorik tentang nilai mulia atau keunggulan nilai Islam sekalipun.

Dalam contoh terbaharu ini ialah perihal tanggunghisab atau tanggungjawab pengurus atau pemimpin kita dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.  Satu daripada isu yang agak besar dalam PRU13 ialah “Dakwat Kekal” . Rakyat diyakini bahawa dengan penggunaan dakwat ini tidak mungkin lagi seseorang melakukan pengundian lebih daripada sekali kerana kekalnya dakwat itu. Kini tidak kekalnya dakwat ini sudah diakui oleh pengurus dan pemimpin berkenaan (Ketua Eksekutif SPR dan seorang Menteri) setelah diasak oleh rakyat terbanyak untuk melakukannya. Rakyat juga sudah mendesak supaya pengurus atau pemimpin berkenaan itu bertanggunghisab dan bertanggungjawab lalu meletak jawatannya. Malangnya sehingga kini, pengurus atau pemimpin berkenaan itu berpendirian amat tidak bertamadun. Sebaliknya mereka ini sibuk dengan menceritakan kesedihannya (tanpa memohon maaf), dan sebab-musababnya dakwat itu tidak kekal. Ini amat tidak relevan sekarang. Tidak pula mahu didedahkan siapakah pembekal dakwat ini. Rakyat sudah terasa benar yang mereka sudah ditipu oleh pihak SPR.

GATERA berpendirian dan berpendapat rakyat kini menuntut dua perkara:

Pemimpin atau pengurus berkenaan memohon maaf dan meletakkan jawatan dan mereka yang menipu SPR, atau kerajaan, atau rakyat ditangkap atas tuduhan penipuan dan penyalahgunaan kuasa.

 

Yang benar,

Dr. Shaharir bin Mohamad Zain
Ketua GATERA

Print Friendly, PDF & Email