Kenyataan PAKSI

Kenyataan Media PAKSI: Menolak Manipulasi Terhadap Fakta Bersih 4

Memerhati keadaan politik-sosial-keagamaan masyarakat kita hari ini yang nampaknya semakin keliru, gelisah dan kacau, akibat pentadbiran negara yang lemah, elitis dan kurang peduli-rakyat, (walaupun himpunan Bersih.4 pada 29-30 ogos lalu berlangsung dalam suasana aman dan mesra); kami NGO Gatera, ASASI, Muafakat, Paksi dll merasa terpanggil untuk tampil membuat kenyataan berikut:

1. Menuntut pihak kerajaan supaya memberi respon positif kepada lima tuntutan Bersih yang telah diulangi sebanyak empat kali, iaitu:
1. Pilihan raya yang bebas dan adil,
2. Pemerintahan yang bersih,
3. Hak untuk memprotes,
4. Memperkasakan demokrasi berparlimen,
5. Selamatkan ekonomi Malaysia.

2. Membantah usaha pihak-pihak tertentu yang cuba memanipulasi berita mengenai Bersih.4 dengan membuat gambaran palsu bahawa ia dikuasai oleh pihak Yahudi dan Cina DAP, tanpa bukti bagi mengesahkan dakwaan tersebut. Kami melihat itu adalah helah pihak tertentu untuk lari daripada menghadapi realiti sebenar atau gelodak dan gelisah batin rakyat yang berasa terlalu lama tertindas oleh pelbagai kerenah pentadbiran kerajaan yang kurang peduli-rakyat.

3. Kehadiran dalam himpunan Bersih.4 seramai lebih 200 ribu orang itu dianggarkan 65 peratus terdiri dari orang Cina, 25 peratus Melayu dan 10 peratus India dll itu jelas menunjukkan bahawa orang Melayu kini berada dalam keadaan yang keliru disebabkan oleh permainan politik-berlebihan ditambah dengan sentimen ketuanan dan kefahaman Islam sempit di kalangan mereka; manakala orang Cina pula dalam keadaan yang lebih yakindiri disebabkan oleh kurang sentimen politik-berlebihan akibat daripada mereka lebih aktif dalam ekonomi dan budaya. Hal ini tentulah perlu diberi perhatian dan diusahakan bagi mengatasinya segera.

4. Keadaan ekonomi negara yang semakin merosot, dengan nilai wang yang jatuh teruk akibat masyarakat antarabangsa semakin hilang kepercayaan kepada kepemimpinan negara ini, bukanlah sesuatu yang boleh disembunyikan lagi dengan helah-helah perkauman yang bertujuan menakut-nakutkan rakyat dan mengalih perhatian mereka daripada pelbagai skandal kepemimpinan negara yang tak terjawab, khasnya isu 1MDB dan wang ‘derma’ RM2.6 bilion itu.

5. Kepada sekumpulan orang Melayu yang melaung-laungkan slogan membela Melayu dan menyalahkan Cina konon hendak merampas hak Melayu, kami bertanya kenapakah mereka tidak turun membela orang Melayu di Kg Banda Dalam, Kg Puah, Kg Chubadak dan sekitarnya yang sedikit demi sedikit dihalau, dan rumah-rumah mereka diroboh; sedangkan inilah kampung-kampung warisan Melayu yang menyimpan nilai-nilai seni-budaya Melayu yang sangat tinggi nilainya, yang masih ada di ibukota Kuala Lumpur hari ini? Terbukti bahawa laungan mereka membela Melayu itu hanyalah untuk bermuka-muka dan tidak ikhlas. Mereka tak pernah membela Melayu sebaliknya hanya untuk memperalatkan mereka.

6. Kami masyarakat NGO yang prihatin dengan permasalahan yang dinyatakan di atas menyeru rakyat Malaysia umumnya supaya bertenang dalam keadaan yang bergelora hari ini, dan janganlah mudah terpengaruh dengan dakyah atau kempen pihak-pihak tertentu yang menunjukkan semangat dan sikap yang kurang adab dan kurang kemanusiaan serta membenci kaum-kaum tertentu di kalangan sesama rakyat negara ini.

Sekian. Terima kasih.

18 NGO BERSAMA PAKSI

18 NGO yang bersama dengan PAKSI (Seniman Paksi Rakyat) mengadakan Sidang Media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor-KL (KLSCAH) jam 11 pagi, 9 Sept 2015 (Menolak Manipulasi Terhadap Fakta BERSIH.4) ialah:

1. Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA),

2. Permuafakatan Perkampungan Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MUAFAKAT),

3. Akademi Sains Islam (ASASI),

4. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI),

5. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),

6. Otai Reformis,

7. suaraanakmudabatu,

8. Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Rakyat Selangor (ProRakyat),

9. Jingga 13 Malaysia,

10. Persatuan Anak Muda Pandan (AMP),

11. Pertubuhan Angkatan Amilin Malaysia (Panglima Malaysia),

12. Pertubuhan Prihatin Rakyat Selangor (Prisel),

13. Persatuan Ummah Sejahtera (PASMA),

14. Majlis Tindakan Kuala Lumpur (BERTINDAK),

15. Pertubuhan Komuniti Madani Selangor,

16. Pertahankan Warisan Kita,

17. Universiti Terbuka Anak Muda Malaysia (UTAM),

18. Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA).