Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Punca Kemelut dan Penyelesaiannya
Sudut Pandangan Ahli GATERA 3
Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA): Punca Kemelut dan Penyelesaiannya
Prof. Mohd Nazari Ismail
Satu isu hangat yang sedang dipedebatkan di negara kita dan beberapa negara lain adalah berkenaan perjanjian perdagangan yang dikenali sebagai Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA), atau Perjanjian Kerjasama Transpasifik (PKTP). Perjanjian ini yang dalam proses rundingan adalah satu bentuk perjanjian perdagangan bebas dan melibatkan negara-negara berikut : Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Jepun.
Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk terus terlibat dalam rundingan ini kerana berkeyakinan bahawa sebagai sebuah negara yang bergantung kepada kegiatan (aktiviti) perdagangan antarabangsa, ia akan mendapat banyak manfaat hasil dari perjanjian perdagangan bebas ini.
Namun demikian, terdapat beberapa pihak di negara kita yang tidak bersetuju dengan perjanjian berkenaan dan mahukan kerajaan menarik diri dari perjanjian tersebut atau menangguhkan dari menandatanganinya. Walaupun begitu, terdapat juga pihak di negara kita yang sangat-sangat menyokong perjanjian ini. Akibatnya ramai yang agak keliru tentang adakah TPPA ini baik atau tidak untuk masa depan Malaysia.
TPPA adalah satu bentuk perjanjian bebas yang para penandatangannya (signatorinya) nanti akan berusaha untuk mewujudkan suasana dalam keadaan kegiatan perdagangan dan pelaburan yang merentasi sempadan negara akan dapat dijalankan oleh syarikat-syarikat perniagaan di semua negara yang terlibat. Di samping itu, sekatan kepada aktiviti pelaburan dan perdagangan bebas seperti cukai, syarat pengimpotan dan pelaburan serta sekatan bukan tarif lain akan dihapuskan atau diminimumkan.
Persoalannya sekarang ialah apakah perspektif yang patut dilihat oleh seseorang Islam berkenaan perjanjian perdagangan TPPA ini dan juga perjanjian-perjanjian perdagangan bebas yang lain.
Kita semua tahu bahawa dari perspektif Islam, aktiviti perdagangan dan pelaburan adalah dibenarkan. Perkara ini telah diterangkan dengan jelas di dalam Suraht al-Baqaraht, ayat 275:-
yang bermaksud:
“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Rasulullah SAW sendiri semasa hayatnya adalah seorang ahli perniagaan. Bahkan beliau adalah ahli perniagaan antarabangsa kerana pernah berdagang hingga ke negara Syams atau Syria.
Walaupun begitu, kita juga perlu menyedari bahawa terdapat beberapa batasan yang dikenakan oleh Syariah terhadap kegiatan perniagaan ini. Secara umumnya perniagaan yang melibatkan produk yang boleh membawa keburukan kepada masyarakat adalah tidak dibenarkan. Begitu juga jika kaedah perniagaan yang diamalkan adalah bertentangan dengan Islam, kaedah itu juga haram.
Sebagai contoh, kita tidak dibenarkan untuk berdagang barangan seperti minuman keras, dadah, dan majalah lucah serta tidak boleh terlibat dalam perniagaan yang melibatkan kegiatan perjudian dan pelacuran. Kontrak perniagaan juga tidak dibenarkan wujud jika terdapat keadaan atau unsur yang tidak dibenarkan oleh Islam, seperti monopoli, penindasan dan penipuan yang akan menzalimi mana-mana pihak yang berniaga.
Persoalannya sekarang, adakah TPPA mempunyai unsur yang boleh membawa manfaat atau mudarat kepada masyarakat? Dari satu aspek, oleh kerana TPPA berusaha untuk menghapuskan sekatan kepada perdagangan sudah tentu terdapat unsur bermanfaat di dalamnya. Apabila TPPA dilaksanakan, cukai kepada kebanyakan barangan import akan dihapuskan dalam pelbagai kategori keluaran. Ini akan menguntungkan rakyat yang akan memperolehi keluaran yang diimpot pada harga yang lebih murah. Di samping itu, pengguna (konsumer) juga akan dapat menikmati berbagai keluaran bermutu tinggi dari pelbagai negara.
Di bawah TPPA akan berlaku peliberalan (liberalisasi) pelaburan. Oleh itu, pelabur asing akan lebih bebas untuk melabur di negara yang mempunyai tenaga buruh yang mahir dan murah. Sudah tentu ini termasuk Malaysia. Hasilnya akan wujud peluang pekerjaan yang lebih banyak untuk golongan muda yang ramai sedang menganggur sekarang. Ini semua adalah kebaikan yang boleh didapati untuk rakyat kecuali jika pelaburan tersebut adalah dalam sektor yang boleh membawa banyak keburukan seperti sektor perjudian, arak dan hiburan.
Namun demikian, terdapat juga aspek-aspek TPPA yang berpotensi untuk menyusahkan masyarakat setempat. Di antaranya adalah tempoh paten kepada keluaran seperti ubat-ubatan akan ditambah jangka masanya dari 20 tahun menjadi 25 tahun. Akibatnya, ubatan-ubatan yang generik yang jauh lebih rendah harganya tidak akan dapat dibekalkan kepada pesakit sehingga pesakit akan terpaksa membayar kos yang tinggi untuk mendapatkan ubat-ubatan yang telah dipaten oleh syarikat-syarikat luar ini.
Di samping itu juga, syarikat-syarikat pelabur akan mempunyai hak untuk menyaman kerajaan yang mengadakan peraturan atau undang-undang yang merugikan pelabur asing dan proses perbicaraan akan dilakukan di luar negara oleh pihak yang berkecuali dan bukan di dalam mahkamah sesebuah negara yang menerima pelaburan itu.
Ini akan merugikan masyarakat dalam beberapa hal. Sebagai contoh, kerajaan negara yang menerima pelabur asing tersebut akan disekat dari memperkenalkan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk menjaga kesihatan ahli masyarakatnya seperti dalam pelaburan oleh syarikat rokok dan arak. Selain itu, kerajaan juga akan disekat dari mengenakan cukai yang tinggi kepada syarikat rokok dan arak ini di masa hadapan kerana dilihat akan merugikan syarikat-syarikat tersebut.
Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama peraturan TPPA di atas akan melindungi pelabur-pelabur dari Malaysia yang melabur di luar negara dalam industri yang tidak membahayakan masyarakat kerana kerajaan di negara tersebut tidak akan dibenarkan mengadakan peraturan yang akan merugikan syarikat-syarikat kita.
Satu perkara yang harus disedari ialah apabila terdapat peliberalan dalam perdagangan dan pelaburan, maka banyaklah organisasi yang akan menghadapi tekanan persaingan yang lebih sengit. Akibatnya akan wujud syarikat yang terpaksa ditutup kerana tewas dalam persaingan atau yang kerugian terpaksa memindahkan operasi ke negara lain yang kos tenaga buruhnya lebih rendah. Akibatnya ialah peningkatan kadar pengangguran di negara yang menjalankan operasi di peringkat awal kerana peluang pekerjaan telah hilang.
Sebenarnya fenomena pemindahan operasi dari satu negara ke negara lain adalah lebih serius di negara berpendapatan tinggi seperti negara-negara Barat dan Amerika Syarikat. Ini kerana banyak syarikat di negara-negara tersebut yang akan memindahkan operasi dari negara asal mereka ke negara-negara yang sedang membangun yang menganggotai TPPA untuk menjimatkan kos seperti Vietnam dan negara-negara di Amerika Selatan itu.
Oleh sebab itulah kita dapati penentangan terhadap apa-apa bentuk perjanjian perdagangan bebas termasuk TPPA juga sangat kuat berlaku di negara-negara membangun seperti Amerika dan Eropah terutama sekali oleh kesatuan buruh serta persatuan industri yang tidak berdaya saing dan oleh itu merasa terancam dalam persaingan antarabangsa. Sebenarnya banyak syarikat yang telah dan akan muflis dan jutaan pekerja telah dan akan kehilangan pekerjaan akibat dari perdagangan bebas antara Amerika dan negara-negara lain.
Hakikat bahawa di antara kumpulan yang paling terkesan secara negatif akibat dari perjanjian ini adalah kumpulan pekerja-pekerja di Amerika menunjukkan bahawa adalah silap jika kita mengatakan bahawa TPPA adalah satu bentuk penjajahan baharu Amerika ke atas negara lain atau penindasan Amerika ke atas negara lain.
Apa yang harus disedari ialah kemuflisan syarikat perniagaan serta pengangguran yang tinggi akibat dari perdagangan bebas adalah sebenarnya hasil dari fenomena `Persaingan Melampau-lampau’ atau Hiper-persaingan yang sedang berlaku dalam dunia perniagaan antarabangsa. Persaingan yang terlampau sengit ini bermakna mana-mana syarikat yang tidak mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa akan berada dalam keadaan kewangan yang sangat perit dan mungkin muflis bila-bila masa dan pada masa yang sama akan mengakibatkan mereka terpaksa membuang pekerja dengan banyak.
Dua faktor utama yang menyumbang kepada kewujudan Hiper-persaingan ini adalah kewujudan syarikat gergasi dalam dunia perniagaan serta tahap hutang yang terlampau tinggi di kalangan mereka.
Sebagai contoh, berikut adalah beberapa syarikat perniagaan gergasi di Amerika serta jumlah hutang yang ditanggung oleh mereka pada akhir tahun 2012:
Syarikat | Hutang |
Exxon Mobil | USD11.5 bilion/milyar/serijuta |
Johnson& Johnson | USD16 bilion |
Pfizer | USD37 bilion |
Philip Morris | USD 22 bilion |
Jelaslah bahawa syarikat yang tersenarai itu bukan sahaja besar saiznya bahkan juga sangat besar hutangnya. Jika mereka tewas dalam persaingan dan tidak berupaya menambahkan pendapatan dari jualan, nilai modal pasaran mereka boleh menjunam jatuh dengan tiba-tiba dan mereka boleh jatuh muflis bila-bila masa sahaja. Akibatnya persaingan di kalangan mereka adalah sangat sengit.
Di bawah pula adalah senarai syarikat pembuat kereta di Amerika Syarikat serta beban hutang mereka:
Syarikat | Jumlah hutang |
Ford Motor Co. | USD107.6 bilion/milyar/serijuta |
General Motors Company | USD18.4 bilion |
Honda Motor Co. Ltd. | USD62.2 bilion |
Kandi Technolgies Group Inc. | USD68.7 bilion |
SORL Auto Parts Inc. | USD24.8 bilion |
Toyota Motor Corporation | USD179.6 bilion |
Tata Motors Limited | USD7.8 bilion |
Kesemua syarikat di atas sangat memerlukan kepada pendapatan yang tinggi untuk membiayai perbelanjaan perniagaan serta menjelaskan beban hutang yang tinggi. Oleh yang demikian, syarikat-syarikat berkenaan perlu berusaha untuk mendapatkan pasaran dari luar negara. Mereka akan berusaha untuk memasuki pasaran luar dan seterusnya cuba untuk mengalahkan dan menghapuskan persaingan.
Namun demikian, langkah atau strategi yang sama juga dilakukan oleh syarikat-syarikat pembuat kereta lain dunia seperti di Jepun, Korea, China dan juga Malaysia. Semuanya cuba untuk menghapuskan pesaing lain kerana semua dalam keadaan bahaya untuk jatuh muflis akibat beban kewangan yang sangat tinggi. Tetapi untuk menjadi kuat mereka terpaksa menjadi besar dan untuk menjadi besar mereka juga tidak dapat lari dari behutang dengan banyak kerana itulah yang dilakukan oleh pesaing mereka yang lain. Dalam suasana perniagaan seperti ini, kegiatan perniagaan dan perdagangan bukan lagi menjadi penyumbang kepada kesejahteraan hidup manusia. Sebaliknya kegiatan perdagangan menjadi sumber kepada tekanan kehidupan manusia di seluruh dunia, terutama sekali di negara di tempat beban hutang syarikat dan individu adalah tersangat tinggi.
Apa yang ingin disampaikan di sini ialah dalam membicarakan isu TPPA dan perjanjian perdagangan bebas yang lain, permasalahan yang dihadapi oleh semua pihak yang terlibat adalah hanya tanda-tanda luaran, gejala atau simptom kepada masalah yang lebih pokok iaitu sistem ekonomi yang salah. Jika kita menyekat perdagangan bebas dari berlaku, tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah, terutama pada jangka panjangnya. Sebaliknya pengguna akan rugi kerana tidak dapat menikmati barangan berkualiti dari luar negara pada harga yang murah. Sebagai contoh, akibat dari sekatan perdagangan, rakyat Malaysia terpaksa membayar harga yang mahal, kadangkala puluhan ribu ringgit lebih mahal, untuk membeli kereta yang diimpot dari luar negara. Ini bukan sahaja tidak adil bahkan juga menjadi beban kewangan kepada pengguna dan masyarakat.
Apa yang perlu difikirkan bersama ialah bagaimana masalah ini boleh diselesaikan dalam jangka panjang. Satu perkara penting ialah sistem ekonomi yang mewujudkan suasana dalam keadaan syarikat gergasi yang berhutang dengan banyak bersaing antara satu sama lain hendaklah ditukar kepada suasana dalam keadaan para pesaing adalah syarikat yang tidak mempunyai beban hutang.
Sebenarnya salah satu dari punca utama kepada suasana di atas adalah kewujudan industri hutang yang menggalakkan syarikat berhutang dengan banyak. Industri hutang sebenarnya tidak dibenarkan oleh Islam kerana ia adalah industri riba. Amalan riba yang berleluasa di seluruh dunialah sebenarnya yang menjadi punca utama kepada masalah yang kita hadapi sekarang. Oleh itu, dalam konteks perbincangan berkenaan TPPA, langkah penyelesaian kepada masalah yang dhadapi boleh dibahagikan kepada langkah untuk jangka pendek dan langkah untuk jangka panjang. Untuk jangka pendek kita harus memberi beberapa tekanan kepada kerajaan seperti berikut:
1. Kerajaan Malaysia hendaklah lebih telus dalam perbincangan mengenai TPPA dan hendaklah membekalkan maklumat kepada rakyat Malaysia berkenaan dengan perkara-perkara yang dibincangkan
2. Kerajaan diminta supaya tidak bersetuju dengan apa-apa syarat dalam perjanjian yang mengakibatkan harga barang keperluan mutlak seperti ubatan menjadi lebih tinggi.
3. Kerajaan hendaklah tidak bersetuju dengan apa jua syarat yang memberikan kebebasan kepada syarikat dalam industri yang merosakkan masyarakat atau amnya bertentangan dengan Islam seperti syarikat judi, arak dan rokok.
4. Kerajaan hendaklah tidak bersetuju dengan apa jua syarat yang mengimplikasikan terhalangnya, apatah lagi terhapusnya, sebarang dasar tindakan afermatif kerajaan selama ini dan kelak.
Untuk jangka panjang, masyarakat Malaysia harus sedar bahawa sistem ekonomi perlu diubah supaya industri riba dapat dihapuskan sama sekali. Kerajaan, syarikat dan individu di dalam negara kita hendaklah lari dari sikap suka berhutang terutama sekali dari sumber riba. Usaha untuk mendidik masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa tentang bahaya industri hutang hendaklah ditingkatkan agar satu hari nanti, industri ini akan dihapuskan sama sekali demi kesejahteraan manusia sejagat.
Ingatlah pesanan dari Allah SWT dalam Suraht al-Baqaraht ayat 276
yang bermaksud:
“Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.”
%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%% 17/7/2013=7 Ram 1434%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%%