Mesir

Apabila Ribuan Dibunuh, Tidak Wajar Memilih Untuk Berdiam Diri…

Apabila Ribuan Dibunuh, Tidak Wajar Memilih Untuk Berdiam Diri…

Di dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi, adalah menjadi satu kebiasaan bagi rakyatnya berkumpul untuk menunjuk perasaan sekiranya timbul isu-isu yang tidak disenangi rakyat. Oleh kerana itulah kita sering melihat rakyat di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat menunjuk perasaan terhadap pemerintah mereka. Begitu juga di Malaysia, kita juga sering menyaksikan insiden tunjuk perasaan oleh rakyat yang tidak berpuas hati dengan sistem demokrasi yang diamalkan. Di antara yang paling besar adalah BERSIH 2.0. Berapakah jumlah orang yang terkorban dalam tunjuk perasaan tersebut? Tidak ada seorang pun! Namun demikian, telah dilaporkan bahawa seorang penunjuk perasaan telah meninggal dunia akibat sakit jantung. Yang penting diambil perhatian di sini ialah pihak polis langsung tidak melepaskan satu tembakan pun dengan menggunakan peluru hidup. Yang digunakan hanyalah gas pemedih mata dan semburan air.

Namun, pada hari Rabu yang lepas di Kahirah, Mesir, ribuan penunjuk perasaan aman telah terkorban. Hampir kesemua dari mereka mati ditembak oleh pihak polis dan tentera Mesir. Bukti dari tempat kejadian menunjukkan peluru yang digunakan adalah jenis Senapang Mesin Kegunaan Am atau SMKgunA (GPMS atau General Purpose Machine Gun). Akibatnya kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah sangat mengerikan. Badan dan kepala mereka berkecai. Pihak tentera dan polis Mesir menganggap para penunjuk perasaan aman yang juga termasuk orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak sebagai musuh di medan perang. Amat jelas bahawa mereka telah berniat dari awal lagi untuk membunuh `musuh’ mereka itu dengan menggunakan senjata berat.

Jika diimbas kembali, sebelum berlakunya kejadian pembunuhan beramai-ramai oleh tentera dan polis Mesir, ramai dari kalangan puak liberal di Mesir dan dari tempat-tempat lain telah mengkritik pentadbiran Morsi. Menurut mereka, Morsi tidak memberi peluang kepada pihak lain untuk bersama-sama dalam mentadbir Mesir. Menurut mereka lagi, Morsi tidak memahami erti demokrasi yang sebenar kerana Morsi tidak bertolak ansur terhadap pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau.

Namun, semasa pemerintahan Morsi yang singkat itu, apa yang tidak boleh dinafikan ialah beliau langsung tidak memenjarakan atau membunuh seorang pun dari musuh politik beliau. Memang ada pengkritik beliau yang sedang dituduh di mahkamah, tetapi semua tindakan tersebut adalah mengikut undang-undang dan perlembagaan negara yang sah. Seperti di mana-mana negara demokrasi lain pun, jika pemerintah merasakan pengkritik telah memalsukan fakta dan menyalahi undang-undang dalam kritikan yang dilemparkan, adalah menjadi hak pemerintah untuk menggunakan saluran undang-undang untuk mendakwa pengkritik tersebut. Seperkara yang amat penting dan amat jelas semasa pemerintahan Morsi juga, beliau tidak pernah menggunakan sebarang senjata seperti pistol untuk membunuh pengkritik beliau, apatah lagi Senapang Mesin Berat (Heavy Machine Gun) dan kereta kebal.
Hakikat yang sedang berlaku sekarang ini di Mesir adalah satu jenayah berat apabila pihak tentera dan polis membunuh rakyatnya secara beramai-ramai dengan sokongan beberapa individu yang memegang kuasa yang tidak dipilih/dilantik oleh rakyat secara demokrasi. Dalam erti kata yang lain, satu jenayah terhadap kemanusian telah berlaku di Mesir. Oleh itu, penjenayah yang terlibat mesti ditangkap dan dihadapkan ke Mahkamah Undang-undang antarabangsa (MUUA atau ICC).

Apa yang sedang berlaku di Mesir juga akan dapat mendedahkan sikap sebenar kerajaan, kumpulan, serta individu yang sering melaung-laungkan suara demokrasi dan kebebasan. Jika mereka semua betul-betul menghayati kata-kata mereka sendiri yang ingin mendaulatkan kebebasan, keadilan dan demokrasi maka mereka sepatutnya tidak akan teragak-agak untuk menyatakan hakikat bahawa pemimpin Mesir sekarang yang tidak dipilih/dilantik rakyat itu adalah sebenarnya sekumpulan pembunuh dan penjenayah yang bukan sahaja patut digulingkan bahkan juga ditangkap, didakwa dan dihukum atas perbuatan mereka yang tidak berperikemanusiaan itu.

Kita semua maklum bahawa kumpulan Ikhwanul Muslimin di Mesir telah menyatakan pendirian mereka sekali lagi bahawa mereka tidak akan berundur dari perjuangan mereka untuk menegakkan kebebasan dan demokrasi dan penentangan mereka terhadap apa-apa bentuk rampasan kuasa oleh pihak tentera dan polis. Ikhwanul Muslimin tidak akan berundur dari usaha untuk menjatuhkan pemimpin yang tidak sah di Mesir dan menggantikan mereka dengan pemimpin yang sah yang telah dilantik secara demokrasi. Oleh yang demikian, kita bakal menyaksikan lebih banyak pembunuhan orang-orang awam yang tidak berdosa oleh regim Mesir yang tidak sah itu.

Sepatutnya para penyokong perjuangan kebebasan dan demokrasi tahu pihak manakah yang selayaknya disokong dan dibela tanpa berbelah bagi. Mereka yang tidak ikhlas dalam kata-kata mereka sama ada akan berdiam diri atau mempunyai sikap yang ambivalen. Hakikat sebenarnya apabila seseorang bersikap sedemikian sedangkan di hadapannya berlaku pembunuhan terhadap orang awam yang tidak berdosa, maka orang ini  sewajarnyalah dilihat sebagai bersekongkol dengan kejahatan.

——————————————

Prof.  Dr. Mohd Nazari Ismail

Ketua
Jabatan Polisi dan Strategi Perniagaan
Fakulti Perniagaan dan Perakaunan
Universiti Malaya
50607 Kuala Lumpur

[Sumber gambar: http://www.flickr.com/photos/mosaaberising/9516382533/]