Keadaan Hutang Kerajaan Malaysia – Selamat atau membimbangkan?
Baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan berkata kepada pengundi-pengundi di Tanjung Malim:
“Kalau kita doa BN menang (pilihan raya) lagi, BR1M tiga, empat, lima dan enam selama-lamanya mungkin kalau kerajaan BN berkuasa lagi semula dengan pendapatan yang baik, hasil pungutan cukai kita sampai RM125 bilion melimpah ruah dalam tabung Perdana Menteri, kalau minta naik pun saya fikir boleh dipertimbangkan,”
Pada 30 April 2013 pula, Dato’ Sri Najib menjanjikan kepada rakyat Malaysia satu juta unit rumah murah akan dibina oleh kerajaan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan BN telah menjadi begitu `pemurah’ dalam minggu-minggu dan hari-hari akhir sebelum pilihanraya.
Persoalannya adalah adakah ini bermakna kerajaan Malaysia telah berjaya dalam menguruskan ekonomi negara kita sehingga mampu memberi pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada rakyat dan oleh itu perlu dibenarkan kekal memerintah Malaysia untuk lima tahun lagi?
Jawapan kepada persoalan itu boleh didapati dengan memerhatikan apa yang telah berlaku kepada beberapa negara lain dan mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku di sana.
Salah satu dari negara tersebut ialah Greece. Ia adalah sebuah negara maju di mana pendapatan per kapita pada tahun 2012 berjumlah USD$27,875 (atau RM84,112) yakni jauh lebih tinggi berbanding dengan Malaysia. Tetapi seluruh dunia juga mengetahui apa yang sedang berlaku di Greece. Ekonominya telah lingkup dan hancur dan jutaan rakyatnya sedang menderita. Tunjuk perasaan yang ganas berlaku setiap bulan semenjak 3 tahun lepas lagi. Pakar-pakar ekonomi semua berpendapat bahawa rakyat Greece akan menderita untuk tempoh yang lama di masa hadapan kerana mereka tidak yakin Greece akan dapat mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapinya.
Tahukah anda apakah punca utama masalah ekonomi Greece? Jawapannya ialah hutang. Hutang kerajaan Greece telah menjadi terlampau tinggi kerana semua bantuan kerajaan kepada rakyat selama ini adalah dengan menggunakan dana yang dipinjam dari bank German dan Perancis. Oleh kerana pihak pemiutang merasakan jumlah hutang Greece akan sukar ditangani oleh kerajaan, maka kadar bunga telah dinaikkan dan ini membuatkan Greece tersepit. Untuk meyakinkan pihak pemiutang, kerajaan Greece telah terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan oleh itu belasan ribu pekerja sektor awam telah dibuang kerja manakala selebihnya dipotong gaji. Bahkan duit untuk pesara pun turut dipotong. Akibatnya ramai rakyat menderita, terutamanya dari kalangan yang miskin dan lemah, termasuk warga tua. Puluhan ribu kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tidur di tepi-tepi jalan.
Negara kedua yang boleh diambil iktibar ialah Sepanyol, iaitu sebuah lagi negara maju dengan pendapatan per kapita pada tahun 2011 sebanyak USD$32,900 (atau RM100,098). Sebelum 2008, Sepanyol telah mengalami kadar pertumbuhan ekonomi yang cukup memberangsangkan.
Namun apa yang gagal diberi perhatian oleh kerajaan Sepanyol adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonominya iaitu sektor hartanah yang telah berkembang pesat melalui pembiayaan dengan hutang. Dan masalah menjadi lebih serius lagi dengan kewujudan elemen spekulasi dalam pertumbuhan tersebut. Akibatnya harga hartanah melambung tinggi dan ramai rakyat Sepanyol telah berhutang untuk melabur dalam sektor tersebut.
Pada tahun 2008, susulan dari kemelesetan ekonomi dunia akibat dari krisis ekonomi `sub-prime’ di Amerika Syarikat, ekonomi Sepanyol juga telah meleset dan harga hartanah jatuh menjunam. Ramai pelabur yang berhutang menghadapi masalah dan ramai juga menjadi muflis. Dalam usaha untuk melonjakkan balik ekonominya, kerajaan Sepanyol terpaksa berbelanja dengan banyak dan akibatnya hutang kerajaan Sepanyol meningkat dengan mendadak. Nisbah hutang kerajaan Sepanyol berbanding KNK adalah 55.2% pada tahun 2009. Tetapi ianya telah melonjak naik dengan cepat dan dianggarkan menjadi 90.5% pada akhir tahun 2013.
Sekarang ini Sepanyol dilanda krisis ekonomi akibat dari krisis hutang tersebut. Akibatnya Sepanyol menghadapi krisis pengangguran yang paling teruk di Eropah iaitu pada kadar 26.3%. Di kalangan golongan muda (berumur 16-25 tahun), kadar pengangguran adalah 55.7%.
Negara terakhir yang sepatutnya menjadi iktibar kepada kita ialah Ireland. Negara tersebut mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat di antara pertengahan tahun 1990 ke tahun 2007. Tetapi di antara 2002 sehingga 2007, pertumbuhan ekonominya banyak bergantung kepada pertambahan kredit, yakni hutang. Hutang isi rumah meningkat dengan cepat akibat dari kenaikan harga dalam sektor hartanah. Sektor pembinaan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan juga peluang pekerjaan.
Oleh kerana bank adalah sumber utama kepada pertumbuhan ekonomi Ireland, maka saiz bank menjadi besar dan mereka juga mula berhutang daripada sumber-sumber luar Eropah. Kerajaan Ireland juga mula berbelanja dengan banyak.
Apabila krisis ekonomi dunia melanda pada tahun 2008, seperti apa yang telah berlaku di Sepanyol, harga hartanah di Ireland juga telah menjunam. Banyak bank di Ireland dalam keadaan tenat dan mengalami kerugian akibat dari kegagalan pembeli rumah membayar hutang mereka. Untuk menyelamatkan sektor perbankan di Ireland, kerajaannya telah menyuntik modal ke dalam bank tersebut dengan menggunakan dana awam. Akibatnya hutang kerajaan sendiri meningkat naik dan kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan. Ini telah mengakibatkan ramai rakyatnya sengsara.
Persoalannya adakah apa yang telah terjadi kepada negara Greece, Sepanyol dan Ireland mungkin berlaku di Malaysia?
Satu cara untuk kita menilai keadaan di Malaysia ialah dengan memerhatikan tren pertumbuhan hutang di negara kita di dalam sektor awam dan juga sektor swasta. Salah satu ukuran penting ialah nisbah hutang kerajaan berbanding KNK negara. Nisbah ini telah turun naik di masa lepas dan puratanya ialah 47.63%. Ianya berada pada tahap paling tinggi pada tahun 1990 iaitu 79.8% dan berada pada tahap paling rendah pada tahun 1997 iaitu 31.8%. Sekarang ianya berada di tahap 53.1%.[1]
Dari aspek jumlah sebenar pula, hutang kerajaan Malaysia pada tahun 1970 hanyalah RM3.5 billion. Pada akhir 2012 jumlah hutang kerajaan telah meningkat menjadi RM503 billion. Semenjak tahun 1994, perbelanjaan kerajaan adalah melebihi pendapatnya pada setiap tahun dan oleh kerana itulah jumlah hutang belum berbayar kerajaan sentiasa meningkat.
Sama ada perkara ini membimbangkan atau tidak bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk menangani masalah tren hutangnya yang sentiasa meningkat. Untuk membantu pembaca menjawab persoalan ini, kita hanya perlu bertanya sama ada kerajaan pernah atau tidak membentangkan kepada kita satu perancangan yang jelas dan meyakinkan tentang bagaimana ianya bercadang untuk menyelesaikan hutang terkumpulnya yang sentiasa meningkat itu.
[1] Sumber: http://www.tradingeconomics.com/malaysia/government-debt-to-gdp
Oleh Prof. Mohd Nazari Ismail, Ahli GATERA