Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA) ditubuhkan oleh sekumpulan ilmuwan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat masyarakat. Kumpulan ini bertekad untuk menyedarkan rakyat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab. Kami melihat persekitaran politik Malaysia kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013 ini. Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuwan, dan ulama ternyata tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini.
*
Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tidak menghiraukan batasan agama dan budi bahasa yang diamalkan oleh masyarakat bertamadun. GATERA bertekad tampil ke medan masyarakat untuk mengemukakan segala kebobrokan di atas dan menolak mereka dan amalan yang menghalalkan budaya ini.